Posted by: zabidin | Julai 22, 2008

WIJAYA MALA Novelis Perak Darul Ridzuan (1923-1980)

null

Oleh Zabidin Hj Ismail 

Sesudah Jepun menyerah kalah, semenanjung Tanah Melayu mula dilanda perubahan mendadak. Selain memuncaknya semangat kebangsaan di kalangan nasionalis dan rakyat Malaya, tetapi juga suasana perubahan itu turut melebar ke arena persuratan Melayu yang dikesani sebagai pemangkin kepada penyemarakan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada genggaman penjajah Inggeris.

Menyelusuri rentetan perjuangan politik yang panjang itu, sejarah telah melakarkan peranan badan-badan sastera sebagai penyumbang saham yang bukan sedikit ke arah memerdekakan negara ini. Pembabitan badan tersebut ke kancah perjuangan politik kerana pendukung-pendukungnya terdiri dari pemimpin-pemimpin politik dan wartawan yang menggunakan dua bentuk komunikasi sekaligus iaitu lisan dan tulisan dalam wadah perjuangan mereka.

Justeru itu, pergerakan Angkatan Sasterawan atau lebih tersohor sebagai ASAS 50 telah mencatatkan pembabitan seorang pengarang anak Perak yang berhijrah ke Kota Singa (Singapura) semata-mata untuk menerjuni kancah persuaratan Melayu di bawah payung ASAS 50 di samping membabitkan diri dalam pergerakan nasionalisme Melayu.

Beliau ialah Wijaya Mala. Nama sebenarnya Abu Yazid Zainal Abidin dan dilahirkan pada tanggal 27 Oktober 1923 di Bota Kiri, Parit, Perak. Dia memulakan pendidikan dasar di sekolah Melayu pada tahun 1931 manakala pada sebelah petang mengaji agama di sebuah sekolah rakyat di kampung kelahirannya. Pada tahun 1936, Wijaya Mala lulus darjah V sekolah Melayu dan darjah IV sekolah agama. Kemudian berbekalkan kelulusan tersebut, dia menyambung pendidikannya di sekolah Arab Idrisah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar (1937-1941) sehingga lulus darjah VI.

Peniaga Getah

Sewaktu Jepun menjajah Tanah Melayu, dia berkesempatan belajar di Sekolah Latihan Pemuda di Ipoh selama enam bulan. Tidak berapa lama setelah Jepun kecundang di tangan British, dia memasuki alam perniagaan sebagai peniaga getah di Bota Kiri (1947-1949). Tetapi, atas desakan jiwa merdeka, dia memberanikan diri berhijrah ke Singapura.

Di Kota Singa ini dia bertugas di Royal Electrical Mechanical Engineers (REME) sebagai penyelenggara stor selama lima tahun. Kemudian Wijaya Mala bekerja pula sebagai pembaca pruf Melayu Raya selama tiga bulan sebelum dilantik sebagai pemberita dan penyunting. Di samping itu, dia juga berpeluang menuntut ilmu di City Commercial College mulai tahun 1951 hingga 1953 di samping pernah bertugas sebagai kerani di Malay Seamen Union sekaligus bekerja bagi pihak Kesatuan Pegawai Perkapalan Singapura.

Apabila Balai Pustaka (kini:Dewan Bahasa dan Pustaka) ditubuhkan di Johor Bahru, Wijaya Mala diterima bertugas sebagai penyiasat luar. Kemudian DBP berpindah ke Kuala lumpur, dia ikut serta dan pada tahun 1960 Wijaya Mala dinaikkan pangkat sebagai penyunting dan pegawai penyelidik (1968 hingga November 1978) di Bahagian Perkembangan Sastera, kemudian ditukarkan ke Bahagian Penerbitan Umum sehingga bersara wajib. Semasa berkhidmat di DBP, dia pernah mengikuti kursus di International Students Institute (ISI) Tokyo, Jepun dari tahun 1967 hingga 1968.

Penglibatan Wijaya Mala sebagai penulis bermula dengan kelahiran sajaknya “Jasa Tak Hilang” tersiar dalam Majlis, terbitan 4 Oktober 1946. Pembabitan awalnya cenderong menulis sajak, tetapi kemudian beralih ke penulisan cerpen dan novel.

Bakatnya dalam penulisan genre cerpen dan novel cukup terserlah. Wijaya Mala telah melahirkan 123 cerpen yang pernah tersiar dalam akhbar dan majalah terkenal tanah air. Pada sekitar 1950-an dan awal 1960-an dia memenangi pelbagai anugerah dan hadiah. Antaranya peraduan mengarang anjuran Jabatan Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu dan “Kawan Lama Berpisah” dipilih sebagai cerpen terbaik di samping mengondol hadiah RM100 oleh akhbar Berita Harian sebagai karya yang pertama menjadi pilihan akhbar tersebut.

Pengarang yang menulis sehingga akhir hayat

Sebagai seorang pengarang dia menulis dalam banyak bidang. Dia berkebolehan menulis cerpen dan esei tetapi lebih menonjol dalam penulisan novel. Gaya penulisan novelnya digarap secara sederhana dan memikat pembaca. Kegigihan, keyakinan dan sikapnya yang tidak mengenal erti jemu dalam menghasilkan karya telah meletakkan dirinya sebagai satu-satunya pengarang yang menulis sehingga ke akhir hayat.

Berbeza dengan rakan seangkatan yang tergolong dalam penulis ASAS 50, Wijaya Mala tidak pernah “bersara” dari menulis sebaliknya penanya tidak pernah kekeringan dakwat. Hasil dari pengamatan dan ilmu yang dipelajarinya, Wijaya Mala berjaya mengungkapkan kembali setiap peristiwa yang dialaminya dengan menterjemah ke dalam karya terutama genre novel.

Membaca novel-novelnya, kita diutarakan dengan persoalan-persoalan masyarakat, perubahan fikiran dan sikap melalui watak yang diciptanya. Umpamanya, melalui “aku” dalam novel “Mata di Jendela”, Wijaya Mala merakamkan penglihatannya sewaktu menempuh zaman persekolahan hingga ke zaman pra-kemerdekaan negara. Pandangannya terhadap pergolakan politik dan isu semasa ketika itu sekaligus mendedahkan kita betapa Wijaya Mala juga sebenarnya seorang pejuang kemerdekaan menerusi cara dan gaya tersendiri.

Namun begitu, tidak semua novelnya merakam pengalaman yang pernah dilaluinya. “Sejuk-sejuk Tokyo” nyata sekali tidak menyentuh pengalaman sewaktu menuntut di Tokyo. Sebaliknya dia mengungkapkan peristiwa-peristiwa bermakna yang berlaku di negara matahari terbit itu. Kelancaran dan peristiwa mengesankan yang beliau ungkap dalam Sejuk-sejuk Tokyo kerana dia sendiri rasa “berada” dalam masyarakat Jepun dengan bahasa pertuturan yang difahaminya. Kelicikannya “menyerap” masuk ke dalam masyarakat tersebut dilihat sebagai kebolehan peribadi yang jarang-jarang benar dapat dilakukan oleh kebanyakan orang ketika berada di perantauan.

Dua buah karya yang dijadikan contoh itu, jelas menggambarkan kemampuan Wijaya Mala menggarap peristiwa yang berlainan latar, masa, suasana dan budaya. Kecekapannya mengutip peristiwa dan pengalaman serta menterjemahkan dalam genre novel, di samping tidak jemu-jemu melahirkan tujuh buah karya sepanjang hayatnya telah “meletakkan” beliau sebagai novelis mapan tanah air kebanggaan negeri ini dari kalangan novelis-novelis terkemuka kelahiran Perak seperti gemulah Ahmad Boestamam, A Talib Hassan, Hasan Ali, Ahmad Mahmud, Malim Ghozali Pk dan Baharudin Kahar (sekadar menyebut bebarapa nama).

Wijaya Mala seorang insan yang sederhana, tenang dan lembut tetapi cukup mudah berjenaka dengan rakan-rakan. Barangkali kerana sikap dan sifat yang dimiliki ini, dia tidak pernah menghumbankan dirinya ke kancah polemik berjela-jela dan berpanjangan iaitu “Seni untuk Masyarakat” dan “Seni untuk Seni” yang tercetus semasa beliau berteduh di bawah bumbung ASAS 50. Dia tidak memihak ke mana-mana gagasan tersebut, sebaliknya Wijaya Mala mengambil jalan tengah dengan menulis dan terus menulis tanpa menghiraukan perang dingin yang melanda badan sastera itu.

Petua

Justeru itu, dalam sejarah kesusasteraan Melayu tanah air, Wijaya Mala tergolong sebagai penulis daripada golongan ASAS 50 tetapi kehadirannya dalam badan sastera itu dikenali sebagai penulis yang “merancakkan pena” bukan sebagai peneraju organisasi. Dia sebenarnya tidak cergas dalam berorganisasi. Namun dia adalah contoh seorang penulis prolifik. Baginya untuk menjadi seorang penulis yang berjaya, petuanya begini:

 

“Untuk berjaya menghasilkan karya-karya yang baik dan bernilai, kesungguhan dan ketelitian       adalah faktor penting.” (Wajah Biografi Penulis, DBP: 1981 :631)

 
 

Demikian Wijaya Mala dengan segala sifat dan sikap yang dimiliki terus-menerus menggerakkan pena sehingga melahirkan banyak karya yang kini menjadi khazanah berharga. Antara cerpennya yang dibukukan ialah Aku di Sebuah Pulau dan lain-lain (antologi bersama – 1957), Dua Zaman (antologi bersama – 1963), Di Laut dan Darat (1980), Tinta Pena (antologi bersama-1981), Titisan Indah di Bumi Merkah (antologi bersama-1985). Manakala novel-novelnya yang diterbitkan ialah Muda Tak Sudah (1948), Saka Kampung Gergasi (1950), Mata Intan (1957), Sisa Laut (1964), Cinta Orang Tua (1967), Sejuk-sejuk Tokyo (1973) dan Mata di Jendela (1977). Di samping menghasilkan karya sastera, Wijaya Mala berhasil pula menulis buku umum seperti Cerita-cerita dari Abdullah Munshi 1776-1854 (1967), Bendahara Garang (1973) dan Kebangkitan Semula Jepun (1979).

Wijaya Mala novelis Perak ini berhenti menulis setelah nyawa bercerai dari badan. Buktinya, setelah bersara dari DBP pada tahun 1978, dia masih menulis cerpen dan tersiar di dalam majalah Dewan Masyarakat dan akhbar Mingguan Malaysia. Di waktu yang sama juga, dia menulis kisah perjalanan (Catatan Perjalanan Ke Tanah Suci) di dalam majalah Dewan Siswa. Tetapi malangnya, karya itu sempat menemui pembaca sebanyak dua siri sahaja (siri terakhir keluaran Mei 1980) kerana Wijaya Mala dipanggil mengadap Ilahi pada 8 Mei 1980 akibat serangan jantung.

Kepulanganya ke sisi Allah s.w.t bererti dunia kesusasteraan Melayu kehilangan seorang sasterawan yang tersohor sebagai karyawan yang gigih, yakin diri dan memiliki sikap gemar menulis hingga ke akhir hayat. Malahan negeri Perak pula menangisi kepulangan ini sebagai suatu kehilangan seorang novelis anak negeri yang sukar dicari ganti. Al-Fatihah buat Allahyarham.

 
 

Rujukan:

”Wijaya Mala: Pengarang yang Punya Prinsip Sendiri”, Mastika, Jun 1973, hlm.14-20
“Wijaya Mala Sebagai Sasterawan, Penanya Terus Tajam Meskipun Selepas Bersara,” Dewan Siswa, Mei 1979,hlm.20-21
”Mengenang Wijaya Mala”, Dewan Sastera, Mei 1980, hlm. 60
Wajah Biografi Penulis, 1981. Kuala Lumpur: DBP
Yahaya Ismail, 1976. Sejarah Sastera Melayu Moden. Petaling Jaya: Fajar Bakti.

Responses

  1. Assalamualaikum,

    Saya ingin memaklumkan saya telah mengambil sedikit sebanyak maklumat mengenai penulis ini untuk dimasukkan ke dalam bank data di Goodreads: http://www.goodreads.com/author/show/6968554.Abu_Yazid_Abidin_Wijaya_Mala_

    Mohon maaf kerana tidak meminta izin terlebih dahulu.


Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: