Posted by: zabidin | Januari 16, 2009

HAJI BUYUNG ADIL Sejarawan Tanah Air (1907-1976)

Oleh Zabidin Hj. Ismail

buyong-adil1“Sejarah Negeri Perak yang dihidang dalam buku ini, secara ringkas dapatlah dikatakan meliputi seluruh sejarah negeri itu dari zamam sebelum sejarah lagi, iaitu Zaman batu hinggalah ke zaman sekarang (Kurun masehi yang ke-20). Sejak Zaman batu yang dikatakan itu hingga ke kurun masehi yang ke 14, sejarah Negeri Perak yang diceritakan dalam buku ini bolehlah dikatakan sejarah yang agak samar kerana huraian mengenai sejarah zaman itu hanya berdasarkan bukti daripada batu dan barang-barang peninggalan zamam purba sahaja. Setelah memasuki akhir kurun masehi yang ke 14, baharulah sejarah Negeri Perak itu dapat dihuraikan dengan jelas, iaitu sejak wujudnya perhubungan di antara kerajaan Melayu Melaka dengan daerah sekarang disebut negeri Perak.”

Sejarah Perak (1981), DBP hlm,vii

Begitulah pernyataan Allahyarham Haji Buyung Adil, sejarawan terkemuka tanah air yang mengungkap kembali salasilah negeri kelahirannya ketika menulis buku Sejarah Perak, kira-kira lima tahun sebelum beliau pulang menemui Allah Azawajalla buat selama-lamanya.

Baginya menulis sejarah adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan demi kepentingan generasi akan datang supaya mereka tidak lupa kepada “akal budaya” dan asal-usul bangsa.

“Hapus sejarah hilanglah bangsa!” Demikianlah pengertian sejarah menurut Allahyarham. Betapa cintanya dia terhadap nusa dan bangsa dapat digambarkan dengan kegigihan serta semangat kental yang sukar ditandingi dalam usahanya menyiapkan buku-buku sejarah kerana proses penulisan sejarah agak rumit; memerlukan ketekuan, kesabaran, penyelidikan serta sanggup mengorbankan masa walaupun usianya ketika itu sudah dimamah zaman.

Allahyarham tidak memikirkan jumlah royalti yang diperolehi hasil daripada penulisan tersebut sebaliknya dia menganggap sejarah sesuatu bangsa itu perlu diangkat, dijunjung dan dimartabatkan oleh bangsa itu sendiri bukanya orang asing sebagaimana yang dilakukan oleh Orientalis Barat seperti W.G. Shellabear, R.O. Wingstedt atau Tom Pires terhadap sejarah bangsa Melayu di Nusantara pada kurun ke – 19.

Sejarah katanya, wajar dinobatkan sebagai ilmu teras dalam sistem pendidikan sesebuah negara kerana untuk mengenali tamadun sesuatu bangsa itu, tiada lain unsur utama melainkan sejarah. Sejarah sebenarnya tidak mati. Ia hidup selagi manusia ingin menjadikan sejarah sebagai iktibar yang tidak kunjung padam. Semasa dilanda kemelut, sejarah akan mengajar kita bagaimana menemui erti jalan penyelesaian.

Ganjil

Buyung sebetulnya bukan nama asal Allahyarham. Namanya yang sebenar ialah Yusof bin Adil. Nama Buyung menjadi “miliknya” ketika bapa saudaranya membawa beliau untuk mendaftar di sekolah rendah. Pada masa itu, bapa saudaranya terlupa akan nama sebenarnya lantas mendaftarkan nama “Buyung” dan melekatlah nama itu sehingga akhir hayatnya.

Nama ganjil inilah yang memasyhurkannya sebagai sejarawan dan pendidik terkemuka negara. Di kalangan rakan seperjuangannya, dia cukup mesra dikenali sebagai Cikgu Buyung sahaja.

Cikgu Buyung dilahirkan pada bulan Januari 1907 di Teluk Intan, Perak. Dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Teluk Anson sebelum memasuki Sultan Idris Training College (SITC), Tanjong Malim pada tahun 1924.

Semasa menuntut di SITC dia pernah terpulih sebagai pelajar terbaik dan menggondol hadiah wang bernilai RM200. Namun begitu, sekitar tahun 1936 bibit-bibit anti penjajahan sudah mula berputik di SITC . Jiwa raga guru-guru pelatih di situ telah mula dibakar dengan luapan semangat kebangsaan oleh beberapa pensyarah seperti Ahmad Bakhtiar, Harun Aminur Rashid dan Pendeta Za’ba.

Hasilnya lahirlah nasionalis di kalangan guru-guru Melayu seperti Ibrahim Haji Yaakob, Ahmad Murad Nasaruddin, Ngumba (Dato’ Embong Yahya), Muhammad Yassin Makmur (Pungguk), Mohd Isa Sulaiman, Senu Abdul Rahman,(Allahyarham), Ghaffar Baba (Tun) dan tidak ketinggalan Cikgu Buyung.

Semasa di SITC jualah Cikgu Buyung mula berjinak-jinak di alam penulisan. Pada peringkat awal usia kepengarangannya, dia banyak menulis cerpen dan sajak yang bertemakan nasionalisme. Tema yang cukup intim dengan situasi di SITC yang kian terbakar dengan luapan semangat kebangsaan.

Namun begitu, corak penulisannya bertukar kepda genre sejarah setelah menjadi pembantu Cikgu Abdul Hadi Hassan, seorang guru sejarah di pusat pendidikan tersebut. Minat terhadap sejarah mula terpupuk dan dibajai sepanjang berada di SITC. Apabila Cikgu Abdul Hadi bertukar ke Kelantan, minat tersebut diteruskan sehinggalah dia mampu melahirkan karya sejarah berbentuk buku.

Pegawai Penerangan

Cikgu Buyung pernah mengikuti kursus perguruan Jepun di Tokyo Shihan Gakko, Kajang Selangor ketika pemerintahan Jepun di Malaya. Setelah Jepun meninggalkan Malaya kemudian Inggeris pula mengambil alih tampuk pemerintahan di Tanah Melayu, dia dilantik oleh Britiah Militry Administration (BMA) sebagai guru besar di Ipoh.

Ketika di Ipoh dia bergiat cergas dalam Perikatan Melayu Perak (PKP). Pada 22 Februari 1948, PKP dibubarkan secara rasminya kerana memberi laluan penubuhan cawangan UMNO yang pertama di Perak. Dalam mesyuarat agungnya yang diadakan di Madrasah Paloh, Ipoh, Cikgu Buyung telah dilantik sebagai Pegawai Penerangan manakala Allahyarham C.M. Yusof Syed Abdul Rahman terpilih sebagai Yang DiPertua.

Kegiatannya menentang Inggeris semasa di Ipoh tidak begitu disenangi British lalu pada 1 mac 1950, penjajah tersebut melantiknya sebagai Ketua Siaran Sekolah-sekolah Melayu, Radio Malaya yang ketika itu berpusat di Singapura bagi mengekang keaktifannya dalam UMNO.

Akan tetapi jiwa nasionalisnya cukup kental dan tegar maka di Kota Singa dia bertindak pula menganggotai Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS). Menerusi KGMS kegiatan anti penjajahannya kian melebar sehinggalah Cikgu Buyung terbabit mengadakan satu perjumpaan di kelab Kota Raja untuk menubuhkan Lembaga Bahasa Melayu (LBM).

Lembaga ini ditubuhkan pada 2 Oktober 1950 (dua bulan sesudah penubuhan ASAS 50) kerana mahu mengawal, memperbaiki, memperluas, memperkaya dan mengembangkan bahasa Melayu.

Satu hal yang menarik dalam senarai ahli Jawatankuasa LBM terdiri dari tokoh-tokoh politik berjiwa kebangsaan. Antaranya Dr. Burhanuddin al-Helmi (yang DiPertua), Abdul Rahman Haji Said dan Cikgu Buyung (Naib Yang DiPertua), Mahmud Ahmad (Setiausaha), Hamzah Hussein (Penolong Setiausaha) dan Amir Haji Lana (Bendahari). Memang sifatnya sentiasa berjuang menentang Inggeris walau di manapun dia berdagang dan merantau.

Catatan

Cikgu Buyung seorang yang tekun bekerja, rajin membaca dan membuat catatan. Menurut Sasterawan negara, Dato’ Abdullah Hussin, Allahyarham semasa hayatnya sentiasa menulis catatan dan nota pada kertas-kertas kecil serta rajin menyimpan guntingan akhbar sebagai rujukan untuk bahan penulisannya. Dia juga memfail tentang banyak perkara termasuk mengenai hal ehwal keretanya dengan lengkap sekali.

Berdasarkan pengalaman SN Abdullah Hussin bersama Cikgu Buyung, Allahyarham merupakan “buku rujukan” yang baik sekiranya beliau menemui jalan buntu tentang sesuatu tarikh, misalnya tentang tenggelamnya kapal “The Flame” yang khabarnya membawa banyak karya sastera Melayu dari Nusantara. Tanpa melihat buku, Cikgu Buyung memberitahu tarikh yang tepat di mana kapal itu tenggelam serta jarak berapa jauh dari pantai Bangkahulu, Indonesia.

Bersara

Allahyarham berkhidmat dengan kerajaan khususnya dengan Kementerian Pendidikan kira-kira tiga puluh tahun dan bersara pada tahun 1962. Tetapi setelah bersara, dilantik pula menjadi ahli Perkhidmatan Awam Singapura mulai 1963 hingga 1969.

Sekitar tahun 1964 hingga 1970, dia giat menyusun buku-buku sejarah walaupun usianya sudah menjangkau enam dekad. Buku-buku tersebut ialah Sejarah Johor, Sejarah Selangor, Sejarah Perak dan Sejarah Pahang kesemuanya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bagaimanapun, karya awalnya ditulis pada tahun 1939 ketika di SITC iaitu Sejarah Alam Melayu Penggal IV dan Sejarah Alam Melayu V.

Pada tahun 1970 dia membantu Allahyarham Tan Sri Senu Abdul Rahman menyiapkan buku Revolusi Mental dan ketika inilah Cikgu Buyung dipelawa oleh Tun Abdul Razak Hussein (Perdana Menteri Malaysia ke-2) untuk bertugas di DBP.

Pada tahun 1971 Cikgu Buyung mula bertugas di DBP sebagai Penyelidik Sejarah serta meneruskan penulisan buku-buku sejarah negeri-negeri Melayu seperti Sejarah Sarawak, Sejarah Perlis, Sejarah Negeri Sembilan, Sejarah Melaka, Sejarah kedah, Sejarah Terengganu dan Sejarah Kelantan di samping menulis fiksyen untuk bacaan kanak-kanak.

Semasa di DBP, beliau juga berkesempatan menyiapkan buku berjudul Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad ke-15 hingga 19 yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 1983 setelah Cikgu Buhung meninggal dunia.

Sebagai mengenang jasa bakti beliau, Kementerian Pendidikan telah menamakan sebuah sekolah menengah di Tapah dengan nama ganjilnya itu Sek. Men. Buyung Adil pada tahun 70-an dan nama itu kekal sehingga sekarang.

Sesungguhnya, sejarawan dan pendidik terkemuka ini telah meninggalkan karya sejarah yang bertimbun untuk tatapan dan bacaan anak bangsanya. Sejarawan tanah air ini sudah berpulang ke alam bawa pada tahun 1976 dalam usia 69 tahun. Al-Fatihah buat Allahyarham.

Rujukkan : Buyung Adil, 1981. Sejarah Perak (DBP)* Abdullah Hussain, 1982. Harun Aminurrashid : Pembangkit Semangat Kebangsaan (DBP)* Abdullah Hussain, Hilangnya Seorang Sejarawan Tanah Air, Sarina, Oktober 1976* Imej dan Cita-Cita : Kertas kerja Hari Sastera 1980 (DBP)* Ensaiklopedia Sastera dan Kebudayaan Melayu 1994 (DBP) hlm. 521-522


Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: