Posted by: zabidin | Oktober 18, 2008

DATO’ HAJI HASSAN ADLI:Tokoh Politik dan Pejuang Islam yang Tegar ( 1929-1987 )

Bagan Datoh sememangnya tersohor dengan Beting Beras Basah di muara Sungai Perak bahkan melebar pula sebagai pusat pengajian Islam yang ulung dan unggul setanding dengan Gunung Semanggol tetapi dikenali juga sebagai sebuah pekan terpencil yang telah banyak berjasa melahirkan mualim dan ulama.

Di pekan terpencil inilah muncul seorang tokoh politik dan pejuang Islam yang berani menghadapi ranjau-ranjau cabaran serta tidak gentar mengharungi denai-denai dugaan demi menegakkan syiar Islam di bumi bertuah ini.

Tokoh berketurunan Banjar ini bernama Hassan Adli. Bapanya, Haji Muhammad Arshad Haji Muhammad Salleh seorang ulama besar yang berasal dari sebuah perkampungan kecil di Kei, Daerah Tual, Provinsi Maluku Tenggara di kepulauan Indonesia. Pada tahun 1918 Haji Muhammad berlayar dari Banjarmasin dan menetap di Tanah Melayu.

Ketika di Bagan Datoh, Allahyarham Haji Muhammad berkahwin dengan Saiyah Ujal. Hasil perkongsian hidup ini, mereka dikurniakan Allah seorang putera. Anak itu dilahirkan di Kota Makkah pada tanggal 17 April 1929 kemudian dibesarkan di Kampung Parit Dayang Bagan Datoh, kampung kelahiran bondanya.

Hassan Adli merupakan anak tunggal bagi keluarga tersebut. Ketika usianya sekitar lima dan enam tahun, dia sudah diasuh mengaji Al-Quran, fardu Ain dan adab sopan sebagai anak orang Islam. Dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Bagan Pasir sebelum menyambung pelajaran selama dua tahun di kelas Ibtidai di Madrasah Al Ulum Al Syariah yang diasaskan oleh bapanya.

Pada tahun 1941, dia meninggalkan Al Ulum dan belajar pula di Madrasah Al-Akhlak Al Islamiah, Masjid Tinggi, Bagan Serai. Di situ, dia berguru dengan seorang ulama terkenal bernama Haji Abdul Rahman Arshad yang juga mudir Madrasah tersebut.

Tujuh tahun kemudian dia pulang ke Al Ulum sebagai guru. Di sinilah dia menubuhkan Persatuan Guru-guru Sekolah Agama Rakyat Perak bersama-sama Haji Abdul Samad Noh pada tahun 1954. Kerjaya sebagai seorang guru di Al Ulum terhenti pada tahun 1955 apabila dia mula aktif dalam politik partisan.

Ibadah

Menyedari hakikat bahawa menuntut ilmu adalah suatu ibadah maka proses pendidikannya melebar dengan mempelajari bahasa Inggeris secara sambilan di samping menelaah pelbagai kandungan buku dalam bahasa Arab dan Inggeris. Dia banyak membaca buku karangan ulama dan cendikiawan Islam seperti Muhammad Abduh, Hassan Al-Bana dan Mustafa Al-Ghalayin.

Minatnya yang mendalam terhadap pemerintahan Islam telah mendorong beliau menelaah buku politik Islam karya ahli-ahli politik yang beragama Islam dari Pakistan dan Arab. Seterusnya kecenderungan ini melebar dengan mengkaji dan meneliti pemikiran-pemikiran baru alim ulama seperti Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Fadhlullah Shuhaimi, Dr. Burhanuddin Al Helmi dan Ustaz Abu Bakar Baqir dari negara ini serta Prof. Hamka, Muhammad Natsir, Hassan Bandong dan Abdul Qahar Muzakkar dari negara jiran, Indonesia yang kemudian membentuk dirinya menjadi seorang pemimpin masyarakat.

Allahyarham Dato’ Haji Hassan Adli bin Haji Muhmaad Arshad seorang tokoh politik dan pejuang Islam yang terkenal semasa hayatnya. Orangnya tegap sasa dan petah berpidato dengan suara garau dan bersemangat. Tidak hairanlah dia amat meminati gaya pengucapan Allahyarham Presiden Sukarno berpidato yang kerap didengarinya menerusi corong radio RRI.

Menurut Allahyarham Ustaz Haidir Jamal (bekas pelajar Al Ulum yang juga mantan guru dan Imam Masjid Daerah Hilir Perak di Teluk Intan) semasa membicarakan Majlis Mengenang Allahyarham Dato’ Hassan Adli di Madrasah Al Ulum, Bagan Pasir, Bagan Datoh beberapa tahun lalu menyatakan bahawa Hassan Adli amat meminati puisi karya penyair Angkatan 45 Indonesia, Khairil Anwar yang berjodol Aku.

Kata Ustaz Haidir, Allahyarham sering membacakan sajak tersebut dalam ucapannya kerana bait-bait puisi itu memancarkan semangat perjuangan yang kental menentang penjajahan.

Sikap Allahyarham yang taat kepada ibu bapa dan menghormati sesiapa sahaja menyebabkan dia disenangi ramai. Justeru itu, Allahyarham lantas diterima sebagai ahli Parti Islam seMalaysia (PAS) ketika berusia 24 tahun pada tahun 1953. Namun demikian sebelum aktif dalam politik, dia adalah seorang petani di samping tenaga pengajar Al Ulum. Dalam pada itu, Allahyarham turut bergiat di arena penulisan dalam genre rencana, sajak dan cerpen yang kesemuanya bercorak keIslaman.

Penyertaan dalam parti tersebut telah membawanya menjelajah ke seluruh negara. Berkat kesungguhannya, Allahyarham diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Tetap Kongres PAS. Pada tahun 1954 beliau dipilih pula sebagai Ketua Pemuda. Dia mengosongkan jawatan tersebut apabila dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS pada tahun 1958 semasa Dr. Burhanuddin Al Helmi sebagai Yang Dipertua.

Panglima Jihad

Muktamar Pehimpunan PAS tahun tersebut telah memberikan penghormatan kepadanya dengan gelaran “Panglima Jihad” kerana mengenangkan jasanya terhadap parti dan juga perangsang kepada beliau untuk terus melanjutkan agenda perjuangan menegakkan pemerintahan Islam di negara ini.

Sebelum itu, pada tahun 1955 beliau pernah bertanding dalam pilihanraya merebut kerusi Parlimen kawasan Teluk Anson (ketika itu termasuk Bagan Datoh) menentang calon UMNO Encik Bahaman Shamsuddin tetapi beliau kecundang.

Namun begitu, dia mencuba pada thun 1959 dan kali ini merebut kerusi Parlimen kawasan Kuala Terengganu Utara dan dia berjaya di perantauan mengalahkan calon UMNO. Sebaliknya, apabila bertanding di tempat sendiri, dia tewas buat kali kedua di tangan calon UMNO bagi merebut kerusi Parlimen kawasan Hilir Perak pada Pilihanraya Umum 1964.

Walaupun tewas, Allahyarham tidak patah semangat bahkan melipat-gandakan usaha menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air berkempen membantu calon-calon PAS dalam pilihanraya umum 1969 meskipun dia tidak terpilih menjadi calon.

Kerjayanya dalam PAS memuncak sehingga terpilih sebagai Timbalan Presiden pada tahun 1962. Allahyarham seorang yang lantang dan berani memikul risiko di atas kelantangannya. Dia sanggup menjadi pembangkang dalam parti semata-mata menegakkan prinsip kepartian. Dia mampu berhujah, petah berdebat dan bebas berkata-kata.

Semasa Allahyarham Tan Sri Asri Haji Muda menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1965, Dato’ Hassan Adli kekal sebagai Timbalan Yang Dipertua sehingga tahun 1972 dan menjadi orang harapan walaupun dalam banyak hal Asri amat mencurigainya kerana dialah satu-satunya tokoh PAS yang mampu menggugat dan menandinggi ketokohan Asri.

Ketika PAS bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1974, Allahyarham pernah menganjurkan Persidangan Pengerusi-pengerusi Sekolah Agama Rakyat di Al Ulum yang bertujuan mendapatkan resolusi mengenai sukatan pelajaran sekolah agama rakyat. Persidangan ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Dato’ Abdul Rahman Talib.

Pada bulan Ogos tahun yang sama beliau telah dilantik oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat setelah memenangi kerusi Parlimen Bagan Datoh atas tiket BN.

Setahun selepas itu, beliau pernah ditugaskan sebagai salah seorang salah seorang anggota perwakilan Malaysia ke Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu yang diadakan di New York selama tiga bulan.

Apabila berlaku rombakan kabinet Tun Hussein Onn pada tahun 1976, Allahyarham dilantik pula sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan.

Dipecat

Zaman gerhana dalam PAS bermula dalam tahun 1977 ketika tercetusnya krisis dalaman parti di Kelantan. Kaedah penyelesaian krisis yang dibuat oleh Yang Dipertua PAS, Tan Sri Asri Haji Muda tidak dipersetujuinya dan mengakibatkan Hassan Adli dipecat daripada parti berkenaan pada 8 November 1977. Setelah tiada berparti, Allahyarham menubuhkan Persatuan Amal Ma’aruf dan beliau menjadi presidennya.

Apabila pilihanraya umum tahun 1978 diadakan, Allahyarham bertanding sebagai calon BN merebut kerusi Parlimen Bagan Datoh walau pun tidak menganggotai mana-mana parti sama ada PAS mahupun UMNO. Namun begitu dia mencatat sejarah satu-satunya calon pilihanraya yang tidak berparti mampu meraih sebanyak 14,294 undi menewaskan calon PAS; parti yang pernah didokongnya.

Kemenangan ini telah membawa tuah kepadanya. Kerajaan telah melantik beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke negara-negara Mesir, London dan Sudan. Semasa bertugas di Kaherah, beliau bersama-sama pelajar anak Perak di Mesir telah berusaha mendapatkan sebuah bangunan asrama untuk pelajar Malaysia yang bernilai RM600 ribu.

Baktinya bukan setakat itu tetapi bekerja keras memperolehi pengiktirafan Universiti Al Azhar bagi pemegang sijil empat senawi Madrasah A Ulum supaya dapat diterima masuk ke mana-mana fakulti di univesiti berkenaan. Usaha beliau berjaya.

Semasa di Mesir juga Allahyarham berjaya mengesani kehidupan seorang ulama yang banyak mengarang kitab termasuk yang dikenali umum berjudul Kamus Marbawi iaitu Sheikh Idris Al Marbawi yang berasal dari Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak yang telah menetap di Mesir selama 55 tahun. Atas cadangan beliau, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Sheikh Idris Al Marbawi.

Sekembalinya dari Mesir, Allahyarham tidak lagi bergiat dalam politik dan bersara dari jawatan kerajaan. Sesungguhnya kehidupan Allahyaram Dato’ Haji Hassan Adli penuh dengan warna-warni. Barangkali kerana ketokohan dan sebagai mengenang jasa, pelbagai anugerah dikurniakan kepadanya. Antaranya anugerah Tokoh Sasterawan Islam oleh Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak (PESAKA) yang diterimanya pada 2 November 1985 di Ipoh dan gelaran Dato’ oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada tahun 1974.

Allahyarham yang telah banyak berjasa kepada nusa ini telah kembali ke sisi Allah swt pada bulan Oktober 1987 dengan meninggalkan seorang isteri, Datin Hajah Fatimah Sahara binti Haji Nasir serta Sembilan orang anak; lapan perempuan dan seorang lelaki – al-fatihah – Zabidin Hj Ismail.

Rujukan

Jabatan Agama Islam Perak, 1983. Sejarah Perak dalam Kebangkitan Ulamak (Kertas Kerja)

Mingguan Tempo, 28 Februari 1993

Ramlah Adam, 1996. Burhanuddin Al Helmi suatu kemelut politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sabri Haji Said, 1983. Madrasah Al Ulum: Satu Kajian Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Utusan Kiblat, September 1980


Responses

  1. […] Datoh yang terkenal, tapi mungkin ramai yang terlupa, sebab dia dulu orang kuat PAS. Beliau ialah Dato’ Hassan Adli.  Ustaz Hassan Adli adalah antara bekas guru emak dan makcik saya. Jasa beliau pada Bagan Datoh […]


Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: