Posted by: zabidin | Februari 12, 2010

Menggali Pemikiran Sasterawan FELDA

Oleh DR. TALIB SAMAT

Seminar membicarakan karya-karya sasterawan yang berasal dari Felda sudah dua kali diadakan. Kali pertama diadakan pada 2007 dan yang kedua pada Oktober tahun lalu yang memfokuskan sasterawan Ramli Daud.

Pada tahun ini Seminar Pemikiran Sasterawan Felda ke-3: Fokus Abu Hassan Morad, pada 2011 pula Seminar Pemikiran Sasterawan Felda ke-4: Fokus Aminah Mokhtar dan pada 2012 pula Seminar Pemikiran Sasterawan Felda ke-5: Fokus Gunawan Mahmood.

Beberapa sasterawan Felda yang lain seperti Omar Ahmad atau nama penannya Tombak Sawit banyak menghasilkan puisi. Begitu juga Allahyarham Darmin Darini dari Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor banyak menghasilkan skrip drama radio dan disiarkan di Radio Singapura.

Presiden Persatuan Karyawan Perak, Haji Zabidin Haji Ismail dalam kertas kerjanya, Ramli Daud Sasterawan Felda yang saya kenali, melontarkan beberapa cadangan bernas yang perlu diberi perhatian oleh pihak Felda.

Dalam rumusannya beliau mencadangkan pihak pengurusan Felda mengiktiraf sumbangan sasterawan Felda sama ada daripada kalangan peneroka sendiri atau anak peneroka yang sudah mendapat pengiktirafan di peringkat nasional. Caranya ialah dengan membeli dan mengedarkan buku-buku karya sasterawan Felda kepada peneroka di seluruh negara antara 100,000 hingga 150,000 buah naskhah satu judul.

Penjualan atau pengedaran 100,000 hingga 150,000 buah buku atau karya terbaik seseorang sasterawan Felda itu perlu dibuat dengan cara yang terancang dan serius.

Menurut Haji Zabidin, dengan cara ini akan menghidupkan budaya membaca, mencintai ilmu dan menghargai perjuangan penulis yang merupakan pemikir, jurubicara masyarakat.

Beliau beliau juga mencadangkan agar pihak pengurusan Felda memberi geran penyelidikan kepada para sasterawan Felda mahupun untuk membuat sesebuah karya berupa novel, buku umum dan buku tokoh Felda atau anak-anak Felda yang berjaya. Ini boleh dijadikan motivasi kepada generasi Felda yang berikutnya.

Pihak Felda disarankan juga memberi derma cipta, makalah sastera atau hadiah penyelidikan kepada mereka untuk memastikan mereka terus berkarya dan menghasilkan karya-karya terbaru untuk tatapan khalayak.

Insentif

Haji Zabidin mencadangkan agar pihak pengurusan Felda memberi insentif dan kemudahan seperti yang dimiliki oleh Sasterawan Negara misalnya kemudahan perubatan kelas pertama, pembelian buku-buku dengan jumlah yang besar untuk diedarkan secara percuma ke seluruh sekolah-sekolah khususnya di tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Hal ini cukup penting untuk mereka mengenali sumbangan besar sasterawan Felda, karya-karya dan intipati pemikirannya yang selama ini tidak dipedulikan atau diabaikan.

Beliau menekankan, jika selama ini Felda melabur berjuta ringgit untuk membuat filem Bilut, drama-drama bersiri tentang Felda atau pelbagai pelaburan di luar negara sudah sampai masanya pihak Felda mengiktiraf sumbangan sasterawan dari Felda.

Beliau berkata, pihak Persatuan Karyawan Perak akan menghantar memorandum atau hasil rumusan seminar kepada pihak Felda dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi berhubung perkara-perkara tersebut.

Ini adalah suatu yang penting untuk pembangunan kemanusiaan dan pengiktirafan golongan sasterawan dan penulis di tanah-tanah rancangan Felda.

Pada masa yang sama beliau menyarankan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima dan mengiktiraf istilah “Sasterawan Felda” yang sudah digunakan dalam dua kali seminar iaitu Seminar Pemikiran Sasterawan Felda 1: Fokus Talib Samat (7 Ogos 2007), Seminar Pemikiran Sasterawan Felda Ke-2: Fokus Ramli Daud (11 Oktober 2009).

Katanya, Persatuan Karyawan Perak, UPSI mahupun institusi lain sentiasa bersedia untuk menganjurkan Seminar Pemikiran Sasterawan Felda setiap tahun untuk memastikan karya para sasterawan Felda diperkatakan, dikupas, diangkat ke permukaan supaya masyarakat dapat menggali pemikiran mereka.

Setiap sasterawan Felda perlu diperkatakan karya-Karyanya sama ada mereka masih hidup atau sesudah meninggal dunia. Dalam suasana kerajaan begitu menghargai golongan peneroka Felda dengan pemberian bonus dan sebagainya, tetapi sasterawan atau penulis yang terdiri daripada para peneroka Felda seperti terlepas pandang.


Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: