Posted by: zabidin | Mei 19, 2008

Dari Suara Merdeka ke Dewan Sastera

Suatu perjalanan suku abad

Puisi dicerminkan sebagai karya yang tinggi nilai seninya. Hakikat ketinggian nilai ini pernah disuarakan oleh para peneliti dan pengkritik puisi dalam pelbagai tanggapan. Misalnya Robert C. Pooley[1], antaranya menyuarakan begini:

Orang yang menutup telinga terhadap puisi akan terpencil dari suatu wilayah yang penuh harta kekayaan berupa pengertian manusia, pandangan perseorangan, sensitiviti yang menonjol; oleh itu, upaya yang dituntut untuk memahami serta menghayati puisi menjadi sama pentingnya dengan upaya yang dituntut oleh setiap bentuk kehidupan manusiawi lainnya.

Kefahaman inilah barangkali banyak penyair tergerak dan merasa gatal tangan untuk mencipta puisi, tetapi tidak pada saya. Pada peringkat awal, saya digerakkan untuk mencipta hanya sekadar ingin melihat nama terpampang di akhbar walaupun ketika itu (1975) nama saya sudah “tercatat” pada dada akhbar-akhbar tabliod – Suara Merdeka dan Bintang Timur atau yang lebih ternama di dalam Berita Harian melalui tulisan rencana dan berita. Puisi-puisi nostalgik Arif Mohamad (yang ketika itu sedang belajar di Universiti Lucknow, Uttar Pradesh, India)[2] kepada Norhisham Mustaffa (yang berada jauh di Gual Periok, Kelantan) cukup mengesan; mengimbau perasaan halus untuk mencipta.

Hakikatnya, terlampau acapkali “meratah” puisi-puisi Arif di Majalah Filem terbitan Shaw Brothers, Singapura yang dihidangkan kepada pelanggan sebuah kedai Keling Gunting Rambut di Temoh, Perak (terletak 8 km dari Tapah) adalah daya getar yang bukan main-main menggesa naluri saya untuk beralih angin dari rencana dan berita kepada sajak. Tetapi bertahun sebelum itu, Sasterawan Negara Usman Awang telah lebih dulu menjentik sensitiviti saya menerusi antologinya “Duri dan Api” teks sastera yang saya “kunyah” sewaktu mengambil peperiksaan MCE di Government Secondary English School, Tapah (1973-1974). Saya perturunkan petikan sajak Arif sekadar buat renungan pembaca:

Jika aku tidak pulang ke pangkuanmu / di akhir tahun nanti / tentunya aku lama dalam kembara / mencari nilai hidup / sebagai lelaki……./ ……Jika terdakdir aku pulang / rasanya belum berakhir kembaraku / kerana sebelah tanganku masih kosong / untuk sebuah cinta yang agung.

: (Surat Untuk Norhisham Mustaffa : Majalah Filem, November 1975)

Justeru puisi-puisi Arif Mohamad dan Usman Awang adalah catalyst yang harus tidak dapat dilupakan apabila merenung kembali sejarah saya mula-mula menukangi puisi. Kemudian naluri mencipta dilebarkan lagi oleh puisi-puisi melankolik Kasajisa A.S dalam Sarina (terbitan Amir Enterprise) dan ruangan Suara Hati (siaran Radio Malaysia, jam 11.00 malam setiap hari Khamis) kelolaan beliau. Saya masih mengingati sajak Kasajiza A.S berjudul Anum: Memori Tiga (Sarina, Mac 1977:128), begini coretnya:

Rembang petang dan senja Hutan Melintang / telah kau temui / daun sendayan dan Jalan Tanjung Bayan / telah kau lalui / di samping kau renungi sungai / tempat dulu aku bermandi / di samping kau renungi surau / tempat dulu aku mengaji.

Puisi bagi saya adalah perakam peristiwa. Tanpa episod peristiwa saya agak perih untuk mencipta. Saya tegar menyenangi sejarah dan tidak senang pula, puisi dimanipulasikan sebagai pembuka marah dan sumpah seranah. Puisi tidak wajar dicemari dengan susunan kata-kata bombastik yang kosong simbolisme; yang nihil “jiwa”nya. Puisi itu seni. Seni itu estetika. Cantuman permainan bahasa dengan rakaman sejarah, melahirkan keindahan. Misalnya, ‘buah langsat kuning mencelah / senduduk tidak berbunga lagi (ini rakaman peristiwa – suatu suasana yang kontra) sudah dapat gading bertuah / tanduk tidak berguna lagi. Nah! Jelas puisi itu sebagai perakam kepada dua keadaan dan perlakuan yang berbeza.

Dalam pada itu puisi juga sering menjadi sejarah. Ia hidup sepanjang zaman kerana sejarah tidak pernah mati, meskipun penciptanya sudah berkurun lama berumah di alam barzah. “Aku” dan “Doa” buah tangan Chairil Anwar; Mi Ultimo Adios (Jose Rizal); Asrar-I-Khudi (Iqbal); Ke Makam Bonda, Gadis Di Kuburan (Usman Awang); Padamu Jua (Amir Hamzah) dan Tanahair (Muhammad Yamin) antara sajak yang sudah menjadi sejarah.

Antara sajak dengan cerpen; sajak, saya kemudiankan menulisnya, meskipun sajak mampu mengangkat nama saya di Dewan Sastera, tetapi jumlah cerpen tidak pun sampai dua dozen, anehnya genre itu pula yang pernah memberikan saya anugerah! Lantas jika tidak menukang sajak mahupun cerpen, saya menulis biografi atau memoir. Penciptaan genre ini secara tiba-tiba saja tumbuh dan bercambah setelah sekian lama saya “meninggalkan” sajak dan cerpen.

Pamitan sementera saya dari dunia persajakan tanah air kerana ia telah dicemari. Saya merenungi dan meneliti segelintir sajak / puisi mutakhir yang agak nakal membina dan menyusun kata-kata epigram kemarahan, ode umpatan, satire kebobrokan, elegi ampuisme dan romance keberahian yang kosong aliterasi; yang hilang asonansi; yang terkikis enjambemannya akibat terlalu mengejar eksprimen yang menerapkan pelbagai teori Barat, konon untuk meneroka perubahan – ucul[3] – lantas menepis konsep ‘seni untuk masyarakat’ yang hanya melebarkan idealisme ‘seni untuk peribadi’, mana mungkin khalayak sasaran tergugah akan kehadirannya. Kita penyair, yang “sesat” dalam dunia kepenyairan sendiri; yang ‘terlupa” kepada jatidiri, justeru melahirkan sajak-sajak yang kehilangan estetika; yang tercabut nilai seninya. Bukan benci dan mencemburui tukangan rakan-rakan itu, tetapi jiwa tegar ini terlalu payah untuk merelakan!

Akan tetapi, dalam pada itu saya sedar bahawa kesempurnaan penciptaan yang diungkapkan; hanya sekadar tanggapan, malah saya sendiri tidak tergapai untuk mencapai “buah-buah rindu” yang tersurat itu. Bak kata Baha Zain: antara bakat yang giat menunjukkan azam serta keterlibatan dalam puisi[4], juga seperti komentar Lim Swee Tin: ..dan kekuatan-kekuatan tertentu dalam dua puisinya (Pagi Di Kundasang & Gunung Kinabalu) beliau perlu diberikan perhatian untuk meletakkannya penulis angkatan baru yang menjanjikan[5].

Begitulah saya, suku dekad[6] berjalan-jalan di denai puisi; bermula dari Suara Merdeka menuju ke Dewan Sastera, tidakpun terdaya menukil seratus kuntum puisi dalam sepanjang perjalanan yang panjang itu. Saya sebenarnya merindui nostalgia; tercari-cari sentuhan puisi-puisi Arif Mohamad dan Kasajiza A.S yang sudah tercicir di sepanjang jalan kenangan itu.

Zabidin Haji Ismail

Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Selasa 19 Februari 2002 / 6 Zulhijjah 1422


[1] Henry Guntur Taringan 1984. Prinsip-prinsip Dasar Sastera. Penerbit Angkasa: Bandung hlm. 2

[2] Personaliti ini sehingga sekarang tidak pernah saya kenali secara bersua muka, apatah lagi menatap foto wajahnya.

[3] Tidak terikat; bebas-sebebasnya.

[4] Baharuddin Zainal (Dato’) 1996. Rupa dan Kata: Apa Ertinya (Kata Pendahuluan buku kumpulan puisi, lukisan, arca dan foto) Yayasan Kesenian Perak: Ipoh hlm. 6-7

[5] Ulasan sajak oleh Lim Swee Tin dalam Mingguan Watan, 5 Februari 1995.

6 Tempoh antara pertengahan tahun 1970-an hingga 2001.


Responses

  1. Salam Zabidin, saya dah beri komen pada post yang sama yang saudara hantar dalam wall GAPENA


Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: