Posted by: zabidin | Julai 19, 2009

Buku Sekondakhati muncul di UPSI

Muka DepanSempena Seminar Melayu Rao Malaysia tiga buah buku akan muncul serentak pada 25 Julai nanti iaitu Rao di sana-sini, Puisi Rao Nusantara dan Sekondakhati. Buku sekondakhati diterbitkan oleh Altacom, penerbit Melayu di Jitra Kedah yang menawarkan isi berwarna-warni berbentuk eksklusif serta setiap pembelian Sekondakhati akan diberi percuma car sticker.  Buku ini mengandungi 10 bab yang mencangkupi pelbagai segmen mengenai masyarakat Rao termasuk makanan, coretan serta tokoh. Anda tidak bisa melepaskan peluang ini.Akan muncul pada 25 Julai 09 di UPSI

Advertisement
Posted by: zabidin | Julai 12, 2009

RAO DI SANA SINI MUNCUL DI UPSI PADA 25 JULAI 2009

Kulit brosur Seminar Melayu Rao Malaysia pada 25 Juai di UPSI

Kulit brosur Seminar Melayu Rao Malaysia pada 25 Julai di UPSI

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kertas Kerja dan Penerbitan Buku sempena Seminar Melayu Rao Malaysia, Hj Zabidin Ismail yang juga Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) memaklumkan bahawa semua kertas kerja yang dibentang dan kertas kerja sisipan akan dibukukan supaya dapat dijadikan rujukan baik untuk pusat sumber di Malaysia mahupun di Indonesia, khususnya di Sumatera Barat serta dijual kepada awam khususnya orang Rao dalam usaha menambah dana JARO. Justeru setiap pembelian buku ini bermakna anda telah menyumbang sedikit wang untuk tabung JARO.

Buku terbitan JARO ini disunting oleh Prof Dr HM Bukhari Lubis (Timbalan Presiden Karyawan Pk), Prof Madya Dato’ Paduka Dr Mohd Rosli Saludin (UPSI) dan Dr Talib Samat (Ahli Jawatankuasa Karyawan Pk) dan direka-bentuk oleh Redzuan Shah b. Datu Sahadun (UPSI). Tajuk buku ini ialah RAO DI SANA-SINI yang mengandungi 12 kertas kerja berikut:

• Asal Usul Orang Rao: ditinjau dari Peninggalan Kebudayaannya
Dt Amran Dpt Jorajo S.Pd (Rao, Pasaman, Sumatera Barat)

• Sejarah Penghijrahan dan Diaspora Masyarakat Rao di Malaysia
Prof Dr HM Bukhari Lubis (UPSI/Karyawan Pk) dan Afriadi Sanusi (Universiti Malaya)

• Sumbangan Tokoh-tokoh Rao Terpilih dalam Tamadun Bangsa Melayu di Malaysia
Dr Hj Talib Samat (UPSI/Karyawan Pk)

• Tuanku Rao: Riwayat Hidup Tokoh Paderi di Kawasan Utara Minangkabau
Prof Dr Mestika Zek (Universiti Padang, Sumatera Barat)

• Hubungkait Adat dan Budaya Minangkabau Pagar Ruyung dengan Masyarakat Rao Malaysia
Prof Dr Puti Reno Raudha Thaib (Universiti Andalas, Padang, Sumatera Barat)

• Komunikasi Puisi Tradisional Rao
Prof Madya Dato’ Paduka Dr Mohd Rosli Saludin (UPSI)

• Sejarah Asal Usul Rao
Syamsuruddin (Rao, Pasaman)

• Peranan dan Aktiviti Surau dalam Masyarakat Melayu Rao
Afriadi Sanusi (Universiti Malaya, Kuala Lumpur)

• Adat dan Seni Budaya Rao
Edi Erman S.Ag. M.A (Rao, Pasaman)

• Bosar Limo Boleh Rao
Edi Erman S.Ag. M.A (Rao, Pasaman)

• Hubungan Rao dan Perak Melalui Penerokaan Penempatan Baru
Zabidin Hj Ismail (Karyawan Pk)

• Kedatangan Rao ke Negeri Sembilan dan Hubungan dengan Adat Perpatih
Prof Madya Dato’ Paduka Dr Mohd Rosli Saludin (UPSI)

Buku Rao di Sana Sini setebal melebihi 300 halaman dengan cetakan kulit tebal dan tipis serta memuatkan intisari kata pengantar oleh Dato’ Seri Mohd Khalil Hj Hussein, Yang Dipertua JARO, Profesor Dato’ Dr Aminah bt Ayob, Naib Canselor UPSI dan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad. Tidak ketinggalan juga disisipkan rumusan kertas kerja oleh Dato’ Mohammad Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Seminar Melayu Rao Malaysia.

Buku ini boleh didapati semasa seminar berlangsung di UPSI dan sekarangpun boleh ditempah bagi mengelakkan kehabisan kerana JARO menerbitkannya dalam jumlah naskhah yang terhad. Tempahan boleh dibuat melalui Setiausaha JARO, Encik Tahirruddin Ahmad, No 6C Ruang Niaga, Dewan Bandaraya Ipoh (DBI), Jalan Ghazali Jawi, 31400 Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Telefon: 05-5480462 / 016-5200550.

Posted by: zabidin | Julai 7, 2009

JEMPUTAN KE SEMINAR MELAYU RAO MALAYSIA

poster raoSemua orang yang berminat mengenai kajian etnik adalah dijemput menghadiri Seminar Melayu Rao Malaysia yang akan diadakan di UPSI, Tanjong Malim, Perak pada 25 Julai 2009 mulai jam 8.30 pagi anjuran bersama Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) dan Institut Peradaban Melayu dan Fakulti Bahasa, UPSI dengan kerjasama Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Sebanyak 6 kertas akan dibentangkan oleh pakar sejarah dan sarjana yang membicarakan khusus mengenai Rao. Penyertaan adalah terhad, siapa yang mendaftar dahulu akan diutamakan.

Sebanyak tiga buah buku mengenai Rao akan turut dijual pada masa seminar. Buku-buku tersebut ialah Rao di sana sini (Kumpulan 11 kertas kerja yang dibentang dan sisipan), Sekondakhati dan Puisi Rao Nusantara. Turut dijual ialah sticker sekondakhati.

Difahamkan beberapa buah bas akan datang memberikan sokongan moral kepada penganjur kerana ini adalah seminar kali pertama dalam sejarah perkembangan etnik Melayu di Malaysia. Rao Pahang, Pasir Mas, Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur dan beberapa tempat di Perak akan datang ke seminar tersebut. Jangan lepaskan peluang bertemu sanak saudara.

SEMINAR INI TERBUKA KEPADA SEMUA

Tun (Dr) Ahmad Sarji bin Abdul Hamid akan menyampaikan ucap utama dan kemudiannya memukul kerantung dan diikuti dengan tayangan montaj sebagai gimik pelanjaran. Turut menyerikan auditorium UPSI ialah pameran dan jualan khazanah Rao sperti artifak, makanan (gelamai), foto-foto lawatan/aktiviti JARO dan tokoh-tokoh Rao. Seminar akan tamat pada 4.30 ptg dan diteruskan dengan Mesyuarat Agung JARO kali ke-2 yang hanya membentang dan meluluskan Penyata J/Kuasa/Kegiatan dan kewangan- tiada sebarang pemilihan J/kuasa.

Pada hari tersebut pendaftaran baru keahlian JARO juga dibuka kepada pengunjung. Keahlian JARO ditawarkan kepada mereka yang berketurunan Rao atau bukan Rao tetapi bersemenda dengan etnik tersebut.

Posted by: zabidin | Julai 7, 2009

Antologi Puisi Rao Nusantara

Puisi-Rao-Nusantara-FinalManuskrip ini sedang dicetak di Jitra, kedah dan akan dipasarkan semasa Seminar Melayu Rao Malaysia berlangsung pada 25 Julai 2009 di UPSI, Tanjong Malim. Anda adalah dipelawa membelinya. Seramai 24 penyumbang terdiri daripada penyair Malaysia dan Indonesia turut menjayakan antologi ini dengan menampilkan puisi-puisi mengenai etnik Rao. terdapat sesuatu yang istimewa dalam antologi ini. Pembaca akan terpegun mengenai kandungannya.

Penulis dan penyelidik etnik Melayu diundang ke Seminar Melayu Rao Malaysia yang akan diadakan pada 25 Julai 2009 di UPSI, Tanjong Malim, Perak. Ucaputama akan dilakukan oleh YABhg Tun Dr Hj Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pengerusi PNB. Sebanyak 6 kertas akan dibentangkan- 3 dari Malaysia dan tiga lagi dari Rao, Sumatera Barat. Urus Setia berhasrat membukukan kertas kerja yang dibentangkan serta ditambah dengan kertas kerja sampingan dan akan dijual pada hari berkenaan. Dua lagi buku iaitu antologi Puisi Rao Nusantara dan Sekondakhati akan turut dijual. Pendaftaran dibuka sekarang. Sila hubungi Urus Setia seperti yang tertera dalam brosur. Tempat adalah terhad. Untuk keterangan lanjut sila klik di sini.

Posted by: zabidin | Mei 6, 2009

Jam Gadang Menara Condong Teluk Intan

dsc_0016Menara Condong ini dilengkapi sebuah jam gadang pada bahagian atas sebelah hadapan. Ia diimport khas dari Kota London . Jam ini perlu disita setiap hari Rabu dengan menggulung rantai sebesar jari ibu kaki manusia menggunakan engkol. Rantai sepanjang kira-kira 6.3 meter ini di hujungnya tergantung tiga buah pendulum untuk jarum saat, minit dan jam. Jikalau penyitaan tidak dilakukan seminggu sekali, ketiga-tiga pendulum itu akan terdampar ke lantai menara di aras bawah sekaligus jam tersebut tidak dapat berfungsi seperti biasa.

Jam ini berbunyi setiap lima belas minit . Bunyi dentingan jam ini mampu di dengar sejauh lima kilometer jika pada waktu malam hening. Pada peringkat awal, operasi jam tersebut digerakkan oleh kuasa air tetapi apabila proses penyaluran air dari Sungai Perak ke tangki di atas menara dihentikan, penyitaan jam dilakukan secara mekanikal dengan menggunakan kudrat manusia seperti sekarang.

Komponen dalaman jam tersebut adalah asli dan tidak pernah diganti kecuali pada tahun 1969 kerana rosak dan telah diperbaiki oleh seorang tukang jam berbangsa Cina. Semenjak itu jam itu tidak pernah rosak dan masih berfungsi sebagai perakam waktu untuk penduduk yang tinggal atau yang menjalankan aktiviti di bandar Teluk Intan.

Fungsi Asal

Ketika British menguasai Telok Anson, peranan asal menara ini adalah tempat meletakkan sebuah tangki air sebelum pekan tersebut menerima sistem bekalan air moden pada tahun 1919 . Ia direka khas menempatkan mesin penyedut air dari Sungai Perak dan menakongnya ke dalam sebuah tangki yang berada di tingkat tiga menara. Air dipam dan dirawat untuk bekalan kepada penduduk melalui sebuah pili. Tangki ini mampu membekalkan air untuk kegunaan harian kepada kira-kira seramai lapan ribu penduduk Telok Anson terutama ketika berlaku kemarau pada tahun 1888. Malahan air takongan itu juga digunakan apabila kebakaran berlaku di pekan tersebut.

Posted by: zabidin | Mei 5, 2009

PPSMI: Sasterawan Negara sanggup lepaskan gelaran

Selasa Mei 5, 2samad-muhhammad009

SASTERAWAN Negara, Datuk A Samad Said (kiri) dan Prof Muhammad Haji Salleh membayangkan sanggup melepaskan gelaran berkenaan jika ia menjadi faktor penghalang untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap PPSMI.

KUALA LUMPUR: Lima Sasterawan Negara melahirkan sokongan terhadap kempen menggesa dimansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan dua daripada mereka sanggup melepaskan gelaran masing-masing.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan Prof Muhammad Haji Salleh membayangkan sanggup melepaskan gelaran berkenaan jika ia menjadi faktor penghalang untuk menyuarakan bantahan mereka.

Kedua-dua mereka menegaskan, tindakan susulan bagi memansuhkan PPSMI akan tetap diteruskan melalui usaha secara individu mengikut bidang masing-masing memandangkan terdapat beberapa Saterawan Negara yang telah uzur.

“Kami masing-masing menjalankan tugas mengikut dunia kami tersendiri, usaha berbeza tetapi matlamatnya sama.

“Kami memang sanggup (lepaskan gelaran), kalau dikiranya sasterawan negara itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya,” kata A Samad pada sidang media di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) di sini, hari ini.

Tiga lagi Sasterawan Negara yang menyokong bantahan tersebut ialah Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Abdullah Hussain dan Datuk Noordin Hassan.

Bagaimanapaun ketiga-tiga mereka tidak dapat hadir pada sidang media tersebut kerana mempunyai masalah kesihatan.

A Samad berkata, beliau akan berusaha keras dalam memastikan PPSMI dihapuskan dan sanggup untuk turun ke bawah bagi ‘merakyatkan’ orang ramai agar sedar mengenai dasar yang dikatakan menjadi ancaman kepada bahasa Melayu itu.

Ditanya sama ada pihaknya sudi untuk membincangkan isu itu sekiranya dipelawa oleh kerajaan, A Samad berkata, mereka tidak akan menolaknya sekiranya perbincangan itu diadakan dengan baik.

“Kalau pelawaan kerajaan yang baru baik… kita akan sambutlah dengan baik, tetapi kami tidak mahulah pertemuan ini hanya kiasan sahaja,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan perlu mengakui hakikat bahawa dasar PPSMI adalah salah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka perlu mengakui kesalahan dalam melanggari Perlembagaan.

“Tidak ada gunanya dibetulkan yang lain kalau Perlembagaan itu dilanggar,” katanya.

Sementara itu, Muhammad pula mendakwa, isu PPSMI merupakan satu musibah kepada nasib bangsa Melayu dan perkara seperti ini tidak pernah berlaku kepada bahasa-bahasa besar lain yang katanya mempunyai martabat yang tersendiri.

“Tidak pernah orang cuba sentuh bahasa Perancis. Cuba anda ubah bahasa itu kepada bahasa Inggeris, pastinya orang Perancis akan marah kerana mereka yakin bahasa mereka bahasa terbaik di dunia,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyokong dasar kerajaan untuk memperluaskan penguasaan bahasa Inggeris, namun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipinggirkan.

Kelima-lima sasterawan itu turut menggariskan beberapa hujah yang menyokong bantahan mereka terhadap PPSMI.

Antaranya ialah pencapaian bahasa Inggeris boleh diperbaiki dengan kaedah pengajaran yang lebih berkesan dan sikap terhadap bahasa yang lebih sihat.

“Pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang juga bukan saja datang dari negara-negara berbahasa Inggeris tetapi lebih banyak dari negara bukan berbahasa Inggeris seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol Switzerland, India dan Bangladesh.

“Selain itu, beberapa masalah yang dihadapi di negara kita bukan berpuncakan penguasaan bahasa Inggeris kurang cekap tetapi pada budaya kerja yang tidak rapi dan disiplin yang tidak ketat,” katanya-mStar online

Posted by: zabidin | April 27, 2009

Karyawan Pk sokong GAPENA

Presidenplug-utamakan-bm Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk], Hj Zabidin Ismail menyokong penuh saranan Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Prof Emiretus Dr Ismail Hussin agar Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan diperkasakan dalam konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, Karyawan Pk sudah lama memperjuangkan perkembangan Bahasa Melayu dan hari ini sudah sampai masanya setiap warganegara Malaysia fasih bertutur dalam bahasa Kebangsaan tanpa mengira keturunan. Tambahnya, setelah negara merdeka melebihi 50 tahun, sewajarnya setiap rakyat di negara ini mampu bertutur dan menulis dengan baik tanpa memperlekehkan bahasa rasmi itu.

Kelmarin 26 April 2009, Ismail Hussin dalam akhbar telah menyarankan bahawa Bahasa Melayu perlu diperkukuhkan dalam konsep Satu Malaysia kerana ia adalah aset berharga yang perlu dipelihara sebagai pusaka bangsa yang tiada tolok bandingnya.

Tambah Zabidin lagi, negara akan maju jaya dengan menggunakan satu bahasa dalam semua aspek kehidupan dan Malaysia berupaya mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai lingua frangka bagi Nusantara di zaman silam.
Sambil memberikan slogan “cinta Malaysia, cintailah bahasanya” Zabidin berharap Perdana Menteri akan berjaya dalam misinya untuk mengotakan konsep Satu Malaysia di negara ini.

Dicatat oleh tengkumenteri di 22:32  http://bukitgantang59.blogspot.com

Posted by: zabidin | April 19, 2009

Antologi puisi Rao Nusantara

pc210013Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] sedang berusaha mengumpulkan puisi yang berkaitan masyarakat berketurunan Rao (Rawa) sama ada mengenai politik, sosial, kebudayaan, ketokohan, geografi dan sejarah sebagai tema puisi pelbagai bentuk seperti sajak, pantun, nazam, seloka, gurindam, syair serta pepatah-petitih. Karya-karya ini InsyaAllah akan dibukukan dan diedar / dipasarkan semasa SEMINAR MELAYU RAO pada 25 Julai 2009 di UPSI, Tanjong Malim Perak.

Sehubungan itu, kami amat berbesar hati mempelawa anda sama ada penyair atau sesiapa sahaja di seluruh dunia terutama warga Rao di Nusantara menulis puisi untuk projek ini. Saudara bolehlah menghantar karya, biodata ringkas serta gambar berukuran passport melalui e-mel sekondakhati@gmail.com; karyawanpk@gmail.com; mas_onn@yahoo.com.my atau boleh bertanya kepada sdr Jari Basurek 012-5070513 atau sdr Onn Abdullah 016-5360864 (Setiausaha Agung Persatuan Karyawan Perak).

Karya hendaklah sampai kepada Urus Setia selewat-lewatnya 25 Jun 2009. Sebarang kelewatan tidak akan dilayan. Karya yang dihantar melalui pos juga tidak akan menarik perhatian penyelenggara projek. Untuk mendapatkan rujukan mengenai masyarakat Melayu Rao, anda bolehlah mengakses blog sekondakhati.

Ayuh! Bersama kita jayakannya.
Ayuh! Bersama kita jayakannya.
Ayuh! Bersama kita jayakannya.

Posted by: zabidin | April 9, 2009

Belasungkawa buat Raja Sabarudin Abdullah

Raja Sabarudin Abdullah

Raja Sabarudin Abdullah (1947-2009)

Hari ini (9 April 2009) saya terkedu apabila menerima pesanan ringkas Dr Talib Samat bertanyakan kesahihan berita Raja Sabarudin Abdullah, seorang penulis terkenal tanah air meninggal dunia. Saya jawab balik “tak tahu” sebab sibuk sangat bertugas di Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang dan baru semalam pulang ke rumah. Dr Talib balas; katanya dia mendapat perkhabaran daripada A Rahim Abdullah. Kemudian saya menghubungi Onn Abdullah di pejabatnya di Seri Iskandar dan dia kata Raja Sabarudin Raja Abdullah, 62 tahun sudah meninggal dunia secara mengejut pada 2 April 2009 di Hospital Putrajaya.

Sebenarnya saya sudah beberapa tahun tidak bersua dengan arwah. Semenjak beliau bersara sebagai Penolong Kanan di SMK Raja Shahriman, Beruas, Perak saya amat jarang ketemunya. Namun saya masih ingat satu hari saya pernah menjemputnya berbincang untuk menyiapkan skrip drama tv mengenai perjuangan bangsa Melayu menentang Inggeris di Pasir Salak. Kami berunding dengan sebuah penerbit TV swasta tetapi terbengkalai begitu sahaja. Semenjak itu kami tidak lagi ketemu.

Ketika Raja berugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Kinta, Ipoh sekitar 1990-an, saya sering djemput menyampaikan ceramah penulisan  kepada pelajar-pelajar maktab dan sebaliknya, saya juga kerap menjemputnya mengendalikan bengkel penulisan skrip drama radio / pentas semasa saya memimpin Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] – ketika itu di Teluk Intan. Kami sering bertukar-tukar kepakaran dan pengalaman dalam memajukan dunia kesusasteraan Melayu tanah air!

Raja Sabarudin amat petah tentang kisah Pasir Salak. Dia gemar sejarah. Acapkali dia menerima anugerah dan hadiah bersabitan dengan penulisan skrip drama tv atau pentas. Dia juga giat menulis cerpen, novel, puisi serta esei kritikan. Cerpennya Tok Rabok dan Pasir Salak kedua-duanya tersiar di Berita Minggu sekitar 1980-an masih menjadi ingatan saya.

Saya amat mengingati cerpen tersebut kerana Raja mengirimkannya apabila saya memintanya mengirimkan cerpen-cerpen bertemakan perjuangan bangsa Melayu di Pasir Salak untuk diantologikan. Malangnya antologi itu masih lagi terbengkalai walaupun sebanyak lebih 20 cerpen berjaya dikumpulkan. Hal inilah yang sering ditanya arwah jika bertemu dengannya. Entahlah  bila akan terbit! Apapun  sehingga sekarang saya masih lagi menyimpan manuskrip antologi itu.

Saya mengenali Raja semenjak tahun 1986 lagi ketika arwah bertugas di Melaka dan menerajui Persatuan Penulis Melaka (PENAMA) dan saya menukangi Persatuan Penulis Daerah Manjung (PEDOMAN) bersama-sama arwah Mokhtar Mimi. Raja selalu mengulas tulisan saya di akhbar terutama di Berita Harian apatah lagi mengenai PEDOMAN kerana dia amat prihatin tentang Manjung kerana dia dilahirkan di Beruas, Perak. Novelnya, teks KOMSAS; “Meniti Kaca (DBP:1974) berlatar belakangkan Kg Kota, Beruas; kampung kelahiran arwah.

Saya pernah sampai ke kampungnya pada tahun-tahun 1986-1989 menyelongkari sejarah kewujudan Kerajaan Melayu Beruas (1400-an) dan Kerajaan Gangga Negara (2 masehi). Arwah Pak Syed banyak memberikan saya maklumat mengenai kedua-dua kerajaan kuno tersebut. Kebetulan pula Pak Syed adalah bapa saudara Raja Sabarudin.

Ketika menubuhkan PEDOMAN yang terlibat sama ialah Raja Khairuddin dan saya cukup mengenalinya dan sekarang agaknya sudah lama bersara daripada Jabatan Kesihatan, Sitiawan. Kenalan rapat saya ini adalah abang kepada Raja Sabarudin Abdullah. Saya memanggilnya sebagai Abang Raja sahaja. Dia  periang dan intim dengan saya semata-mata kerana saya bersahabat baik dengan adiknya.

Inilah sifat pengalaman; bertemu dan berpisah sudah menjadi asam garam kehidupan. Itulah apabila menerima berita daripada Dr Talib Samat di Tanjong Malim, terdetik di hati saya untuk menghubungi Abang Raja  tetapi malangnya saya sudah bertahun-tahun tidak bersua apatah lagi menyimpan nombor telefonnya. Justeru saya tidak dapatlah memberikan butiran lengkap tentang kematian Raja Sabarudin Abdullah. Menurut anak Raja Sabarudin, Abang Raja juga sudah meninggal dunia (kemaskini: 11.11.2010)

Namun begitu saya amat sedih di atas kepulangannya dalam waktu yang kita sudah lama tidak berjumpa. Sesungguhnya kita memiliki kelemahan kerana tidak begitu mengambil berat tentang kenalan dan sahabat handai. Setelah dia bersara dan kurang menulis, kitapun terikut-ikut dengan gaya kesibukan dunia yang tak pernah kunjung padam sehinggakan kadang-kala kita terlupa hubungan silaturrahim itu perlu dibugarkan. Nah! apabila dia berpulang ke kg kekal abadi, kita yang hidup ini rasa menyesal tak sudah. Sesal dahulu berpendapatan; sesal kemudian tak berguna. Al-fatihah buat sahabatku; Raja Sabarudin Abdullah.

« Newer Posts - Older Posts »

Kategori