Posted by: zabidin | Mac 15, 2009

Apa kata Dato Baha Zain

bahazain-2Disalin daripada bahazain.blogspot.com

PPSMI YANG KELIRU DAN MENGELIRUKAN
Merujuk BH Sabtu 14 Mac 2009, kata Mahathir:

“Pemimpin negara harus bertanggungjawab memastikan …(PPSMI) dilaksanakan tanpa masalah supaya generasi muda tidak ketinggalan atau hilang daya saing kerana gagal menguasai bahasa global itu.”

Kenapa mesti pemimpin negara memastikan cara yang tidak cerdik ini untuk menguasai bahasa Inggeris melalui sains dan matematik? Ini perbuatan yg tidak bertanggungjawab kerana kalau hendak mahir dan cekap menguasai bahasa Inggeris perhebat dan pertingkatkan kaedah dan cara guru mengajar dan murid belajar bahasa supaya generasi muda boleh pasih bercakap, lancar membaca , kreatif menulis dan hebat berdebat dengan menggunakan metafora, peribahasa , lojik, ilmu dan gaya pengucapan yang kreatif serta berkesan. Bukan melalui istilah teknikal sains dan matematik . Apa yang penting ialah ilmu daripada sains dan matematik itu. Tidakkah sudah lebih 30 tahun ilmu tersebut di ajar dalam bahasa Melayu sehingga berpuluh-puluh ribu yang lulus . Apakah Angkasawan Malaysia pertama itu disekolahkan di England dan belajar sains dan matematik sejak darjah satu dalam bahasa Inggeris?

Jangan juga membuat kesimpulan yang mudah bahawa kalau tak belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris generasi muda akan ketinggalan dan hilang daya saing. Ini fikiran yang sangat simplistik. Bagaimana halnya dengan ramai diplomat antarabangsa yang berkelulusan undang-undang, falsafah, sejarah, sosiologi, politik atau ekonomi yang sangat pasih dan pintar berbahasa Inggeris , tetapi belajar sains dan matematik dalam bahasa kebangsaannya (bahasa Jepun, Perancis, Jerman, Russia, Sepanyol, Melayu etc) di sekolah ? Apakah dia hilang daya saing dan ketinggalan sebagai Duta atau diplomat negaranya? Selain itu kualiti manusia untuk berdaya saing bukan sahaja faktor sains, matematik dan bahasa Inggeris. Sikap mental, moral yang bersih, pegangan agama, pengalaman yang luas, dan keyakinan akan jati diri, latihan khusus dlm bidang-bidang tertentu sehingga menjadi ahli adalah sangat penting. Semua ini harus diperhalusi kalau kita hendak membina generasi muda yang tahan bersaing dan berjuang.

Contoh pemimpin yang bersih dan adil, dan persekitaran politik yg tidak korup juga sangat mustahak untuk melahirkan generasi yang dinamik.

Inilah masalah besar Malaysia: pemimpinnya taksub kemajuan kebendaan, dan memandang ringan warisan budaya, moral dan etik , dan sudahnya kita bukan melahirkan ramai mansuia yg beradab, tetapi haiwan politik dan haiwan ekonomi. Kalau kita imbas kembali skandal BMF dan kes-kes rasuah sekarang, tidakkah mereka yg didapati bersalah adalah orang yang hebat-hebat bahasa Inggerisnya, dan global wataknya?

Bekas Perdana Menteri juga berkata; ” …Korea Selatan dan China kini giat menggalakkan rakyat mereka belajar bahasa Inggeris kerana sedar komunikasi menjadi asas penting dalam meningkatkan daya saing global dan ilmu pengetahuan.”

Kalau Korea Selatan dan China baru kini menggalakkan belajar bahasa Inggeris, Malaysia sejak zaman Tunku dan Tun Razak lagi sudah memastikan bahasa Inggeris di ajar sejak tahun satu lagi. Kenapa pelajar kita dianggap tak pintar juga berbahasa Inggeris selama 11 tahun di sekolah ? Tentulah sistem persekolahan dan pemerintahan negara kita harus menjawab dan bertanggungjawab. Selama 22 tahun bekas Perdana Menteri ini berkuasa apa yang dibuatnya untuk memperbetulkan sistem pendidikan sehingga 11 tahun belajar bahasa Inggeris pelajar masih dianggap tongong menguasai bahasa ajaib yg konon boleh menyelamatkan segala masalah negara?

Cuba juga selidik apakah Korea Selatan dan China mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mulai tahun satu (seperti kita) atau bermula di sekolah menengah. Cuba juga rajin-rajin bertanya apakah mereka menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matematik dan sains –seperti yang negara ini lakukan sejak 2003 . Mustahil pemimpin politik dua negara ini melaksanakan kereja bodoh mengajar anak-anak bangsanya yang baru hendak membaca dan menulis belajar sains dan matematik dan mata pelajaran lain dalam bahasa asing.

Jadi tak kena betul untuk menyebut Korea Selatan dan Cina sebagai contoh. Bagi orang yang singkat akal dan berfikiran sempit tentulah terjun merumuskan bahawa orang yang menentang PPSMI ini anti bahasa Inggeris kerana Korea Selatan dan China yg maju itu pun menggalakkan belajar bahasa Inggeris. Menggalakkan bagaimana ? Bukan semberono seperti kita sehingga menghina bahasa kebangsaan sendiri. Kajilah betul-betul apa yang negara-negara maju lain amalkan seperti Korea Selatan dan China itu. Tak payah pergi jauh-jauh , tanya saja kedutaan

Korea Selatan dan China di tepi-tepi Jalan Ampang, K. L. betulkah mereka mengajar sains dan matematik di sekolah dengan menggunakan bahasa asing itu.

Orang yang menyokong PPSMI ini pun sama bebalnya, atau memang lihai atau licik untuk tujuan-tujuan keuntungan peribadi tertentu. Bayangkan berapa bilion ringgit [ 3 atau 4 bilion ?] telah dibelanjakan daripada wang rakyat untuk melaksanakan kerja PPSMI yang diperkenalkan dengan mendadak oleh Tun Mahathir pada 2003. Apakah ini suatu perbuatan yang bertanggungjawab?

“Saya lihat kebanyakan yang membantah isu ini sendiri berpendidikan Inggeris dan petah berbahasa Inggeris, tetapi tidak mahu pula generasi muda kita menguasai ilmu sama. Saya tidak faham motif sebenar mereka,” katanya kepada pemberita.

Memang betullah ramai yang menentang PPSMI petah bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris seperti Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Prof . Shahrir (ahli matematik), Tan Sri Prof Ismail Hussein (Ketua 1 Gapena), Prof. Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara dan penulis puisi Inggeris/Melayu), Prof. Emeritus Bakar Hamid, Prof. Dr Abdullah Hassan, dan malah Prof. Di Raja Ungku Aziz. Tetapi apa buktinya yang mereka tak mahu generasi muda menguasai bahasa Inggeris? Tohmah? Justeru itulah yang mereka ajukan agar pelajar dididik menguasai bahasa Inggeris melalui kaedah yang betul supaya berilmu dan fasih berbahasa Melayu dan Inggeris seperti mereka. Tetapi bukan dengan cara yang salah atau keliru melalui PPSMI.

Kenapa susah sangat memahami maksud dan tujuan mereka? Tak ada apa-apa yang terselindung. Mereka ilmuwan dan budayawan yang berhasrat menyatakan kebenaran. Mereka telah dilatih dengan prinsip keilmuan, iaitu menerangkan kebenaran . Mereka bukan orang politik yang memetingkan kekuasaan , dan tidak bertungkus lumus untuk memperolehinya sehingga kalau perlu menjatuhkan orang . Apatah lagi untuk menjatuhkan kebudayaan bangsanya.

Isu PPSMI ini bukan sekadar isu di sekolah, tetapi isu besar tamadun dan jati diri Malaysia , terutama bangsa Melayu. Ia akan menjadi masalah yang lebih besar dan berlarutan kalau tidak dikembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik ( di sekolah rendah dan di sekolah menengah). Tun Mahathir telah meninggalkan beban dan masalah yang berat kepada UMNO yang sekarang sudah tertangkap dalam lingkaran kemelut yang kusut. Tetapi kenapa seluruh bangsa Melayu harus terseret dalam kemelut pendidikan yang menjejaskan maruah dan kedaulatan bahasanya akibat daripada PPSMI yang Tun Mahathir sendiri menjadi puncanya?

Kenapa mesti penulis, pengarang , pelajar, ilmuwan dan budayawan yang apolitikal, yang tidak campur dalam politik kepartian, terpaksa mencari rakan perjuangan daripada ahli-ahli politik? Kenapa mesti mereka bertindak melapor kepada polis; dan sekarang memohon kepada pihak istana dan raja-raja untuk menyelamatkan bahasa Melayu? Apakah pemimpin -pemimpin kerajaan yang hebat berkuasa sekarang menganggap ini perkara remeh temeh, dan mereka itu semua tidak penting dan tidak bermakna kepada masalah sekarang dan nasib bangsa pada masa hadapan ?

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: