
Mohd Sayuti Omar bersama Samoza (kiri) Gambar 1984 drp MSO.blogspot.com
Berita kematian penulis Sabri Mohd Zain, 54 tahun di Utusan Malaysia hari ini ( 30 Januari 2009) mengejutkan saya. Bukan kerana saya tidak redha kepada ketentuan Ilahi tetapi amat terkilan kerana beberapa bulan lepas (Oktober, 2008) buat kali kedua saya bertemunya. Pertemuan terakhir ini kami berbual cukup mesra walaupun hakikatnya sebelum ini saya tidak pernah pun mengenalinya secara dekat. Namun seingat saya, kami pernah bertegur sapa ketika menghadiri majlis penyampaian hadiah pertandingan menulis biografi untuk kanak-kanak di Hotel Pan Pasific Kuala Lumpur pada tahun 1994 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Pada majlis itu dia memenangi hadiah sagu hati dengan penulisan buku bertajuk Long Yunus Putera Istana Berhati Waja manakala saya menerima hadiah kemenangan buku biografi Mokhtar Dahari Wira Bolasepak Negara. Pemenang lain yang masih saya ingat ialah HM Tuah (kini Dr merangkap pakar motivasi) dengan bukunya berjudul Abdul Rahman Ya’akub Kancil Sarawak dan Awang Abdullah dari Terengganu; JM Aziz: Penyair Berjiwa Besar. Kesemua hadiah disampaikan oleh Dato’ Mustapha Mohamad ketika menjadi Timbalan Menteri Kewangan.
Dalam majlis itu saya dan arwah cuma bertegur sapa tetapi pertemuan tahun lepas kami berbual dan berbincang seolah-olah telah lama kenal. Dari topik politik, sejarah, sastera sehinggalah drama pentas, genre yang paling disukainya. Entah kebetulan saya ketemunya di kantin Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak di Ipoh bersama Dr Talib Samat. Saya difahamkan mereka baru sahaja selesai berbincang dengan pegawai kebudayaan mengenai permohonan mendapatkan geran peruntukan untuk mementaskan skrip drama buah tangannya; Tengku Menteri Ngah Ibrahim berasaskan novel Tengku Menteri karya Talib.
Sabri nampak ghairah dan bersemangat tentang projek ini. Dia memberikan salinan skrip kepada saya dan barulah saya faham bahawa arwah mengangkat Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) sebagai penerbit manakala Kementerian Kebudayaan dan Kesenian sebagai penajanya. Mohon Seratus dua puluh ribu ringgit untuk projek besar ini. Selepas pertemuan itu saya langsung tidak mendengar khabar berita baik, tentang dirinya mahupun mengenai projek drama Tengku Menteri. Namun demikian saya diberitahu oleh Talib yang dia seakan-akan merajuk kerana Kementerian berkenaan hanya meluluskan lima belas ribu sahaja.
Pada 29 Januari 2009 jam 12.55 tengah hari itu, saya menerima pesanan ringkas daripada Jaafar Abdul Rahim menyebut: BERITA. Penulis Samoza ada Wad ICU Hos. Sg Buluh. Koma, pendarahan dlm. kepala. Masuk hos. hari ini. Ziarah dan doakan. Wslm. Saya tergamam, di kepala mula ligat memutarkan berita Ghazali Tokceh, Sazalee Yaakob dan Arena Wati. Ah! Kau perlu sihat Sabri, kata hati.
Samoza sudah pergi. Sebelum pulang ke kg kekal abadi, dia menderita komplikasi penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan empat orang anaknya.
Isterinya, Rashidah Ismail, 44, berkata, suaminya dimasukkan ke hospital semalam setelah mengadu sakit kepala selepas menunaikan solat Isyak.
“Seperti biasa, dia enggan pergi ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan. Selalunya, dia akan mengambil ubat penahan sakit untuk meredakan kesakitan.
“Pada mulanya, semuanya baik dan saya memintanya berehat. Tiba-tiba, dia tidak sedar diri dan ketika itu, saya meminta pertolongan jiran untuk membawanya ke hospital,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jenazah Allahyarham dibawa ke kampung halamannya di Kok Lanas, Kelantan dan dikebumikan selepas solat Zuhur hari ini.
Allahyarham yang dilahirkan di Bachok, Kelantan, turut meninggalkan empat orang anak iaitu Aida Nani, 31; Aida Haryani, 30; Mohd. Sariza @ Johan Farizal, 27; dan Ainol Mardhiah, 23.
Sepanjang penglibatan dalam bidang penulisan, Allahyarham telah berjaya mendapat beberapa anugerah. Antaranya adalah Hadiah Sastera Malaysia 1984/85 menerusi cerpen Satu Malam di Pergunungan, Hadiah Sastera Utusan Public Bank 1993, Sayembara Cerpen Esso-Gapena dan Hadiah Sastera Islam.
Beliau yang mula menulis sejak tahun 1975 turut menghasilkan beberapa buah novel iaitu Pemberontakan (1988), Wira Lubuk Manggis (1991), Wirawati (1993), Tragedi Kubang Labu (1995), Menangguk Buih (1996) dan Long Yunus Putera Istana Berhati Waja (1999).
Teater muzikal Rubiah arahan Ahmad Tarmimi Siregar dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 2005 dengan menampilkan Fauziah Latiff sebagai pelakon utama. Selain itu, teater muzikal Randai Menanti Kasih yang dihasilkan menerusi skrip tulisannya itu juga mendapat sambutan menggalakkan apabila dipentaskan pada Mei tahun lalu. Al-fatihah buat Allahyarham.
Tinggalkan Jawapan