Posted by: zabidin | September 20, 2008

KEMULIAAN AIDILFITRI DALAM BAIT PUISI

Pada satu Syawal tahun hijrah, agenda tahunan umat Islam ialah menyambut kedatangan Aidilfitri, hari kebesaran dan kegembiraan, setelah berupaya menunaikan ibadat puasa sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak dengan mampu menepis gelodak hawa nafsu tajaan syaitan.

Kemenengan inilah yang dirayakan pada hari itu dengan penuh rasa keinsafan, kaum muslim akan saling bermaaf-maafan di pagi lebaran dan berpusu-pusu pula ke masjid dan surau menunaikan solat sunat Aidilfitri. Berkumandanglah di segenap ceruk lafaz takbir memuji-muji Ilahi:

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar segala puji-pujian untuk Allah. Allah Maha Besar Teramat Besar. Segala puji-pujian untuk-Nya sebanyak-banyaknya. Maha Suci Allah dari pagi hingga petang. Tiada Tuhan melainkan Allah. Tiada lagi yang berhak disembah melainkan Dia dengan hati yang ikhlas mengerjakan agama untuk-Nya sekalipun orang-orang kafir membencinya.

Tiada Tuhan melainkan Allah sahaja. Janji-Nya sentiasa benar. Dia selalu menolong hamba-Nya. Allah sentiasa memuliakan pejuang-Nya dan menaklukkan pasukan musuh dengan zat-Nya sendiri.

Umat Islam bertakbir membesarkan nama Allah s.w.t kerana Dialah yang member petunjuk kepada kita sehingga dapat melaksanakan ibadah puasa selama sebulan. Inilah pengucapan syukur kepada-Nya. Justeru sebuh hadis riwayat Abu Nu’aim dan Anas menganjurkan kita bertakbir di hari raya: Hiasilah dua hari raya (Aidilfitri dan Adha) kamu dengan membaca tahlil, takbir, tahmid dan taqdis.

Demikian anjuran agama Islam yang maha suci dalam merayakan Aidilfitri atau Aiduladha. Pun begitu bagi penyair, kekudusan satu Syawal Berjaya mengugah kotak fikir mereka. Pada setiap agenda tahunan itu menjelang tiba, garapan bait-bait puisi mendapat tempat di hati mereka. Kepuitisan bahasa puisi adakala boleh mengusik jiwa di pagi raya apatah lagi ketika keseorangan di perauntauan. Walaupun ia tidak sehebat lagu-lagu raya.

Hakikatnya, lagu-lagu raya dapat dinikmati dengan melodi serta suara penyanyi di samping menghayati lirik yang boleh memukau pendengar. Umpamanya, Musafir di Aidilfitrievergreen sehingga kini. dendangan gemulah S Jibeng menjadi

Namun demikian, penghasilan puisi lebih merupakan produksi yang mementingkan daya ingatan dan intelek dan penghayatan jitu tanpa menelurkan ciri glamour seperti lagu.

Puisi Aidilfitri lebih merupakan rakaman pengalaman, perasaan dan khayalan penyair. Misalnya, puisi Adi Badiozaman Tuah berjudul Salam Aidilfitri yang termuat dalam kumpulan puisi Nafas Kemanusiaan (DBP:8) merakamkan kehadiran satu Syawal yang syahdu di Miri, Sarawak.

Kedatangan Syawal telah menggamit hati Adi Badiozaman Tuah untuk bermaaf-maafan dengan sanak saudara dan rakan taulan serta mengeratkan lagi tali silaturrahim di samping memahatkan ke hati perasaan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. Hayatilah puisi itu sepenuhnya:

bersama azan di hujung minaret
sayup dan syahdu
mengembang kepak syawal
kutebarkan rimbunan doa maaf
kemesraan sezaman dalam ucap selamat
setia jujur ikhlas budi
dalam member dan menerima
memang semanis semulia ini
kita pahatkan di hati
rasa kecintaan sejagat

-Miri, 1974

Berbeza dengan Adi, penyair Cheng Poh Hock yang telah memeluk aga Islam menyifatkan kedatangan Syawal menawarkan keadaan keterasingan pada dirinya dalam kelompok masyarakat Muslim yang baru digaulinya. Perasaan yang berjauhan dengan ibunya serta sahabat begitu dirasakan. Lihat puisi beliau berjudul Aidilfitri 1396 (Nafas Kemanusiaan:41) merakamkan seperti berikut:

Syawal menghiasi dada pagimu: Pagiku
aku jauh dari sahabat
juga berjauhan dengan seorang mama,seorang Min
dan asing bagi kebudayaan lain
kumiliki situasi ini, kekasih
betapa seksanya
kutelan diri

Namun sebagai seorang Islam dia tetap tabahkan diri dan memberi senyum pada mereka yang mengucapkan Selamat Hari Raya kepadanya. Seperti katanya:

Aku masih tersenyum
bila manusia-manusiamu di daerah asing
mengucapkan padaku:
“selamat hari raya aidilfitri!”

Begitulah pengalaman Cheng Poh Hock atau nama Islamnya Muhamad Yusri Cheng, penyair dari Perlis ini ketika merayakan hari lebaran buat pertama kalinya setelah dia menerima hidayah Allah s.w.t.

Manakala Nawawee Mohammad menyatakan kesyukurannya pada setiap kali bulan Syawal tiba. Dalam puisinya, Aidilfitri (Utusan Zaman, 5.10.1975) dia berkata:

Setiap hilal Syawal
adalah kesekian kali
tafakur dan bersyukur
erti segantang fitrah
mengakhiri musafir suci
oleh Ramadan Mubarak

Perasaan kesyukurannya ke hadrat Allah s.w.t bertolak dari kemampuannya menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadan. Bayangkanlah ibadah yang menuntut seseorang itu berlapar dan dahaga dari waktu imsak sehingga waktu berbuka dengan disulami ibadah-ibadah lainya merupakan suatu kemenangan jika dapat dilakukan sepenuhnya. Bagi Nawawee, kesempurnaan itu tertunai sudah.

Begitupun, kadangkala hari raya disambut dengan duka nestapa. Kehibaan bersarang di dada lebih-lebih lagi berpulangnya kea lam baqa orang kita sayangi. Lantaran itulah penyair Jafri BN dari Kerian, Perak menasihatkan seseorang dalam puisi berjudul Aidilfitri (lihat Mingguan Timur, 3.10.1976 bersamaan 9 Syawal 1396) berkata:

Dan Aidilfitri menjenguk lagi
dengan takbir dan tahmid
adalah silaturrahim
yang kejap,
di sinipun jangan biarkan dukamu melara
hentikan airmata di pipi
yang berjujus
atas kehilangan sastriamu

Tema kesedihan dalam puisi Aidilfitri memang tidak lepas daripada garapan penyair kerana kebanyakan mereka pernah mengalami keadaan itu. Badarudin MZ menulis puisi bertajuk Aidilfitri dalam Mingguan Timur edisi 11.9.1977 bersamaan 27 Ramadan 1397. Dia mengeluh:

Maharinduku di pagi mulia ini
pada ibu
yang bernama aku
si anak piatu.

Kesimpulannya, puisi Aidilfitri memancarkan sikap positif penyair terhadap kemunculan satu Syawal dengan memberi harapan baru dalam memperbaharui azam bagi menangani masalah peribadi, agama mahupun isu antarabangsa. “Selamat Hari Raya Aidilfiri, maaf zahir batin,” kata-kata puitis berusia berabad-abad itu dikira dapat menyimpulkan topik ini – Zabidin Hj Ismail

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: