Posted by: zabidin | September 13, 2008

RAMADAN: TEMA KEGEMARAN PENYAIR

Pada setiap kali kemunculan Ramadan al mubarak, bulan lebih baik daripada seribu bulan, maka tema puisi garapan penyair akan lebih menjurus terhadap bulan mulia itu.Sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh an-Nasa’I bermaksud: “apabila saja menjelang bulan Ramadan pintu-pintu syurga akan dibuka, sementara pintu-pintu neraka akan ditutup.”

Daripada keterangan hadis itu amat jelas kerahsiaan Ramadan yang perlu dipenuhi dengan beribadat kepada Allah s.w.t. Selain bertadarus, bertarawikh, witir, qiamulail dan banyakkan sedekah di samping mengerjakan ibadat puasa sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu semua berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu semua bertakwa.” – (al-Baqarah:184).

Bertolak dari keinsafan itulah, ramai penyair menuangkan gelodak rasa mereka ke dalam bait puisi yang antara lain menyatakan kekudusan Ramadan. Hadzrami A.R dalam kumpulan puisinya Dunia di Bibir Kiamat menyatakan:

Lahir pada kandungannya aksara gunung
pernah mengukir gading dunia
gading sejarah
yang agung.
Ramadan tertusuk pada tubuh pada seluruh
seperti mulia laut melimpah ruah bertabuh.
-Ramadan 22.12.65

Meskipun bulan Ramadan menguji sejauh mana takwa seseorang itu namun di sebalik ujian itu tersirat suatu nikmat yang sukar diungkapkan. Berpuasa di kampung tradisonal Melayu mengimbau rasa syahdu yang manis membelenggu kehidupan. Penyair Mokhtar Yassin dalam Ramadan, Berita Minggu (BM) edisi 24 Februari 1963 berkata:

Terasa lenguhnya leher menjenguk waktu
lambat detiknya dari satu ke satu
entah Maghrib menjelang tabuh lambat digenderang
fakir menunggu waktu di surau terlentang.
Malamnya sesegar nikmat syurga
sejuknya menyapu tubuh menjelang Subuh
di desa sahut menyahut beduk dan tabuh
mesranya malam dengan amal dan pahala.

Mokhtar Yassin dengan penuh keinsafan pula mengakui bahawa Ramadan adalah bulan yang mengukur usia dan pahala. Beliau lantas berkata:

Sebulan penuh menghukum diri
segala amalan berbakti membersih diri
detik sepanjang musim mengukur usia dan pahala
ke mana langkah diayun kembali ke Tuhan Esa.

Malah Salmi Manja dalam Ramadan, Dewan Masyarakat edisi Disember, 1968 menyifatkan bulan itu sebagai wadah pengujian iman, ketakwaan serta keredaan yang menjadi milik umat Islam menyatakan tindakan pengabdian kepada Allah. Antara lain Salmi menyebut:

Adalah keredaan berkaca
dari percikan iman manusia
Ramadan kepunyaan kita
kita kepunyaan Tuhan.

Bulan Ramadan menjelma setelah terurainya Syaaban. Di bulan ini, kita disuruh memperbanyakkan ibadah yang akan menjadi “saham” di akhirat kelak. Begitulah antara lain pandangan Ahmad Sabree H.O dalam puisi Ramadan siaran Warta Jabatan Agama Johor, edisi November, 1973:

semoga wanginya semerbak
melambai-lambai di hari muka
di bawah payung mahkota Tuhan
tumpang rahmat-Nya.

Bagi insan yang bertakwa, Ramadan memang dinantikan walaupun lambat terasa iaitu setahun cuma sekali tetapi kehadirannya begitu bermakna oleh Jalidar Abdul Rahim. Lihat Ramadan, Sabah Times edisi 19 Julai 1980. Dia menyatakan isi hatinya seperti berikut:

Ramadan
kali ini berulang kisah lama
di bulan ini kasih pada-Mu kian mesra
walau setahun aku menantimu
bersama irama simfoni getaran hidup
luka-luka yang kubawa berlari
kian belum jua sembuh
kutunggu engkau Ramadan
kan kuadukan di malam syahdu nanti
di dinihari di malam yang lebih baik
dari seribu bulan
kan kuceritakan pada-Mu ya Tuhan
deburan badai melanda tepian hidupku.

Begitulah, bagi mereka yang tahu rahsia Ramadan. Tanpa dipaksa, mereka akan menanti penuh setiaketibaannya. Pun begitu, ketibaan Ramadan bagi gemulah Mokhtar Mimi (meninggal dunia pada hujung Mac 2008) menelurkan kita kepada peperangan hawa nafsu yang sukar dibenteras. Bulan inilah yang akan mengajar kita erti kesabaran dan menginsafi kemiskinan saudara Muslim yang kurang berada. Lantaran itulah, Allah s.w.t mewajibkan kita berpuasa dengan memberikan hikmah yang tidak terkira. Seperti dalam puisinya, Ramadan, Dewan Sastera, Jun 1985 Mokhtar Mimi merintih:

buat sekian kalinya Ramadan mengajak kita berperang
mengajar bermain pedang, tapi kesekian itu juga
kita lupa rentak gendang menangkis tiap serang
kerana aku melihat pusu-pusu manusia berangkat
menuju jantungmu
sekembalinya sebilangan yang berdarah
ramai yang parah
tak kurang yang rebah

Bulan Ramadan yang diselami oleh penyair hanya tertumpu kepada hikmah –hikmah yang dijanjikan Allah kepada umat-Nya. Nyata sekali mereka terlupa memperkatakan beberapa peristiwa yang terjadi di dalam bulan yang mulia itu. Antara peristiwa penting yang tidak disentuhi ialah Kitabullah, al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w oleh Allah s.w.t dan Malam Lailatul Qadar yang memberikan “saham” akhirat berlipat ganda.

Di sebalik hikmah yang tersirat dan tersurat itu, penyair terlupa juga menggarap cerita-cerita nostalgia di bulan puasa. Cerita-cerita lama yang memagari Ramadan di kampung-kampung seperti majlis more di masjid atau surau tidak langsung diberi perhatian.

Malam tujuh likur bermula 27 Ramadan amat manis dan nostalgik jika ditangani penyair dalam bait-bait puisi. Hal ini perlu diketengahkan kerana arus pemodenan kampung telah menolak unsur cerita pemasangan panjut dari minyak kelapa yang bersumbukan tali guni pada kulit kerang yang kini jarang benar diketahui generasi mutakhir. Oleh Zabidin Hj Ismail


Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: