Posted by: zabidin | Jun 26, 2008

Penulis Perak – Tidak nampak ceria?

Oleh PENA MUTIARA

APA khabar penulis Perak?.Apa khabar Persatuan Penulis di Perak?.Masih aktif lagi membangunkan sastera dan dunia penulisan?Walau apa pun jawapannya, yang nyata sejak beberapa tahunkebelakangan ini dunia sastera di Perak seakan-akan diselubungi mendung. Tidak nampak ceria. Suatu masa dahulu, iaitu sekitar tahun 60-an, 70-an dan 80-an, Perak adalah satu-satunya negeri yang kaya dengan persatuan penulis.Setiap daerah sekurang-kurangnya ada sebuah persatuan penulis. Masukera tahun 90-an kebanyakan persatuan penulis itu sudah tidak aktif lagi bergerak.

Ada yang kini tidak kedengaran lagi namanya. Entah ada lagi entah tidak. Malah ada juga persatuan penulis yang tenggelam timbul namanya. Persatuan penulis yang wujud di Perak adalah seperti PERENTAS di Parit Buntar. LEPAS di Kuala Kangsar, PESEDAR di Parit, ASPEK di Lenggong, GATRA II dan PESAKA di Ipoh, PEDOMAN di Sitiawan, PEDANG di Tapah, PENTAS di Telok Intan dan Karyawan Pk di Ipoh. Antara persatuan penulis yang disebutkan itu, hanya beberapa buah sahaja persatuan yang nampak masih bergerak dan mampu menjalankan beberapa program, walau pun bermusim. Yang lain-lain tenggelam entah ke mana. Tidak ada terdengar khabar berita lagi, barangkali sudah berkubur tanpa tanda.

PERENTAS, LEPAS dan Karyawan Pk adalah antara beberapa persatuan penulis yang masih aktif. Walau pun begitu, aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh persatuan penulis berkenaan sudah berkurangan. Setahun hanya ada satu dua kegiatan saja. Pada tahun 2000 lalu Karyawan Pk berjaya menerbitkan dua buah buku sastera karya penulis-penulis Perak iaitu antologi cerpen dan puisi. Buku-buku tersebut telah dilancarkan di Ipoh pada 5 Ogos 2000. Judul buku itu ialah Suratan dan Danau Hati. Cukupkah dengan dua buah buku saja diterbitkan untuk jangka masa lima tahun ini? PERENTAS dan LEPAS bagaimana? Mereka patut berbuat demikian memandangkan mereka adalah persatuan penulis yang masih wujud dan masih bergerak.

Jaafar A Rahim dan Malim Ghozali Pk

Jaafar A. Rahim, Malim Ghozali Pk. Pena Mutiara dan Zabidin

Dengan terbitnya buku-buku itu nanti, sekurang-kurangnya menjadi tanda akan kewujudan penulis-penulis di daerah yang mereka wakili atau pun boleh juga buku-buku itu merangkumi keseluruhan penulis Perak yang ada hari ini. Buku adalah bahan sejarah untuk tatapan dan kajian generasi akan datang apabila ingin mengetahui perkembangan dunia sastera dan penulisan di Perak.

Jelaslah tahun-tahun kebelakangan ini dunia penulisan oleh penulis-penulis Perak tidak cemerlang. Banyak penulisnya mendiamkan diri, seolah-olah sudah bersara menulis. Graf kerajinan mereka menulis benar-benar berada di tahap yang cukup mengecewakan. Mereka semacam tidak menghargai bakat yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Ini amat berbeza dengan apa yang berlaku dalam tahun-tahun 60-an, 70-an dan 80-an dulu. Tiga dekad tersebut merupakan dekad cemerlang dalam dunia penulisan Perak.

Waktu itu penulis lahir bagaikan cendawan tumbuh di musim hujan. Tidak hairan hal ini boleh berlaku kerana dalam tiga dekad tersebut persatuan penulis di Perak amat aktif mengadakan kursus, bengkel atau pun ceramah mengenai penulisan. Tokoh-tokoh sastera yang berwibawa serta editor-editor sastera di akhbar arus perdana dan majalah terkenal dijemput untuk mengendalikan bengkel atau kursus itu. Keadaan ini membuatkan suasana dunia penulisan di Perak cukup segar dan meriah.

Kesan dari aktiviti-aktiviti yang merangsang/mencabar itu maka dalam dekad 60-an dan 70-an itu Perak berjaya melahirkan beberapa orang penulis berbakat besar seperti Baharuddin Kahar, Jaafar Abdul Rahim, Zahari Hasib, Raja Sabaruddin Abdullah, Rizi S. S, Lahsani, Pena Mutiara, Najmi, Zakaria Salleh, S. Hamisal, Baharin Ramly, Jaffri B. N., M. Salleh Mahyat, Mishar, Azdi, Azimad Mahmud, Zabidin Hj Ismail, Aiel Khadijah, Malim Ghozali Pk, Ramli Daud, Ahmad Mahmud, Kasajiza A. S. dan Mohd Hadri Talib

Berbakat

Sepanjang dekad 80-an dan awal tahun 90-an beberapa orang lagi penulis muncul di Perak. Antara mereka yang nampak berbakat dan ada potensi untuk maju dan berjaya sebagai penulis ialah Raja Yusoff Arifin, Ijamala M. N., Al-Hisham, Norza, M. Shah, Nordin Haji Abdullah, J. Jamal, Chai Loon Guan, Sabariah Bahari, Jamaluddin Ahmad, A. Wahab Hamzah, Onn Abdullah dan Amirul Fakir.

Melihat barisan penulis yang agak ramai seperti yang disebutkan di atas, dunia penulisan di Perak tidak seharusnya sepi dan dingin seperti yang berlaku dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Nampaknya ramai penulis Perak sudah ingin bersara dari menulis, walau pun mereka berbakat besar. Hanya beberapa orang saja yang nampak rajin menulis seperti Raja Yusoff Arifin, Nordin Haji Abdullah, Zahari Hasib,  Al-Hisham, Jaafar Abdul Rahim, Chai Loon Guan, Ijamala M. N. dan Amirul Fakir.

Dunia penulisan dan sastera di Perak wajar dimeriahkan semula seperti yang berlaku dalam dekad 60-an, 70-an dan 80-an. Penulis-penulis yang tidak rajin perlu dirangsang untuk aktif menulis semula. Mereka yang telah menunjukkan kebolehan menulis dengan baikdan cemerlang seperti Malim Ghozali Pk, Baharuddin Kahar, Kasajiza A.S. dan Baharin Ramly hendaklah kembali menulis lebih rajin. Mereka tak seharusnya lebih banyak mendiamkan diri kerana sumbangan karya mereka masih diperlukan. Mereka perlu menyumbangkan sesuatu untuk mengisi erti kemerdekaan negara ini. Penulis ada peranan dan  tanggungjawabnya yang tersendiri dalam membangunkan negara.

Kelesuan dan kemuraman yang melanda dunia sastera dan penulisan di Perak hari ini hendaklah diatasi segera. Langkah pertama ke arah menceriakan suasana itu ialah dengan mengadakan pertemuan penulis-penulis Perak dalam empat dekad, iaitu 60-an, 70-an, 80-an dan 90- an. Seluruh penulis Perak dalam empat dekad itu, walau pun di mana mereka berada hari ini, perlulah hadir dalam sebarang pertemuan ini.

Dengan berkumpul dan bertemu penulis-penulis Perak dari empat dekad ini, maka akan lahirlah semangat baru, fikiran baru dan azam baru dalam dunia penulisan. Penulis-penulis muda akan dapat bertukar- tukar fikiran dan idea dengan penulis-penulis mapan Perak yang kaya dengan pengalaman seperti Suhaimi Haji Muhammad, Hassan Ali, Baha Zain, Mana Sikana, Yahaya Ismail dan Muhammad Haji Salleh. Banyak manfaatnya bila orang baru bertemu dan berbincang dengan orang lama.

Antara persatuan penulis yang ada di Perak hari ini, persatuan yang sudi tampil ke depan sebagai pelopor pertemuan bersejarah dan julung-julung kali diadakan di Perak ini? Sama-sama  kita tunggu reaksi dari mereka. Dan untuk pertemuan bersejarah ini, rasanya Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dan membantu demi kemajuan dan pembangunan sastera dan penulisan di Perak.

Advertisements

Responses

  1. Tuan,

    Saya berpendapat, persatuan penulis di Perak, perlu di`remaja’kan. Usaha bersungguh-sungguh perlu dibuat untuk menarik golongan muda dan remaja untuk bersama-sama mewarnai dunia penulisan. Sayabg sekali jika pengalaman para penulsi mapan Perak tidak dikongsi dan diwarisi oleh generasi seterusnya.


Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: