Posted by: zabidin | Mei 19, 2008

Mesej perkahwinan dan cinta dalam “Istana Kasih 2”

Pengenalan

Kajian ini khusus menilai mesej perkahwinan dan cinta yang terungkap melalui sajak-sajak yang termuat dalam antologi Istana Kasih 2 terbitan Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] selenggaraan Onn Abdullah dan Sabariah Bahari (2007). Walaupun buku ini agak tipis tetapi ia begitu fokus dan spesifik terhadap dua mesej utama tersebut yang digarap berdasarkan daripada beberapa sudut sehingga melahirkan kepelbagaian pandangan tentang perkahwinan dan cinta.

Kemunculan Istana Kasih 2 merupakan kesinambungan komitmen tinggi terhadap siri projek penerbitan buku Karyawan Pk (PINTAR) yang diterbitkan ekoran majlis perkahwinan Ahli Jawatankuasa (AJK)nya, Shakirah Abdul Rashid dan sebelum ini, M Shah (Istana Kasih I; 2002).

Kecenderungan para pemimpin Karyawan Pk melaksanakan projek tersebut dianggap sebagai langkah kanan kepada AJK bujang yang berada dalam arus perdana kepimpinan kontemporari di samping sebagai pendorong, penggalak serta penyubur semangat golongan muda sentiasa menceburi atau bergiat aktif menggerakkan sesuatu badan sastera itu.

Pendekatan Karyawan Pk ini dilihat sebagai imbuhan simbolik bagi menarik lebih ramai remaja bukan sahaja menganggotai badan penulis, bahkan juga sebagai platform penyediaan pemimpin pelapis; kerana waktu sekarang badan sastera mahupun bidang penulisan kreatif tidak lagi mampu meningkatkan keghairahan remaja untuk menceburinya.

Ini bukanlah disebabkan remaja sekarang sibuk dengan aktiviti individualistik tetapi mereka sebenarnya sudah ‘hilang’ semangat kesukarelaan ekoran kemewahan ibu bapanya atau bentuk kehidupan kini yang begitu kompleks, ritual, individualistik dan berpaksikan komersialisme – keuntungan; tidak lagi mengizinkan mereka terbabit dalam kegiatan kemasyarakatan.

Gejala subjektif ini adalah batu penghalang kepada remaja atau golongan pelapis untuk meneruskan idealisme sastera serta kegiatannya di masa akan datang, apatah lagi proses pencanaian minda sastera itu ‘sudah’ ditolak keluar oleh sistem pendidikan kontemporari yang hanya mementingkan sains dan teknologi tanpa menghiraukan keperluan atau santapan kerohanian serta kejiwaan seseorang itu.

Nah! Kita jangan mengeluh dan merungut terhadap tingkah laku remaja hari ini, sebaliknya lemparkan kemarahan itu kepada perancang sosial yang ‘tersilap” mengukir pelan induk perancangan sosial kerana perancangan itulah hasilnya seperti yang kita lihat hari ini betapa gejala sosial bermaharajalela melanda remaja kita, sehinggakan masyarakat seolah-olah berputus asa dan kehilangan langkah untuk membendungnya.

Berbalik kepada antologi Istana Kasih 2 ini, penyelenggara telah menetapkan konsepnya bahawa mesej sajak yang dimuatkan ke dalam antologi tersebut, hanya tertumpu pembicaraan terhadap perkahwinan dan cinta yang sesuai dengan tujuan ia diterbitkan iaitu untuk meraikan majlis persandingan salah seorang AJK Karyawan Pk seperti yang disebut oleh penyelenggaranya:

Koleksi ini memuatkan rangkaian puisi yang puitis penuh rasa romantika dan asmaradana yang tulus dari lubuk kalbu para penyair (Istana Kasih 2:vii).

Pemikiran yang terkandung dalam sajak-sajak Istana Kasih 2 digarap dengan jalinan ciri-ciri seninya- keindahan bahasa, keindahan gaya dan keindahan latar sehingga menimbulkan rasa indah yang menusuk kalbu pembaca. Dapat disebutkan bahawa kata, idea dan ungkapan berhubung rapat dengan pemikiran yang diluahkan oleh pengarang kreatif. Ini diakui sarjana;

Language used in imaginative works bodies forth action, the setting, and the characters; it witholds or give emphasis, emotional colerations, and interpretations. Therefore, the reader does well to notice how the author’s manner of using words, phrases, sentence, and rhythms relates to the achievement of the story…(Walter Blair, et.al.1996:73).

Demikianlah kedudukan bahasa dalam sastera, ia merupakan unsur terpenting dalam membentuk mesej yang ingin disampaikan kepada para pembaca. Antologi Istana Kasih 2 tidak mengecualikan hal ini selaras dengan dasar kemestian dalam proses penciptaan karya sastera.

 

Teori dan Kaedah

Analisis terhadap sesuatu teks lazimnya berlandaskan teori dan kaedah. Teori memandu penganalisis berada pada landasan kajian manakala kaedah membantunya untuk tiba ke destinasi kesimpulan tanpa sekatan dan halangan. Saya selalu beranggapan bahawa penyelidikan ialah proses mencari pengetahuan baharu.

Justeru penyelidikan merupakan cara manusia mencari kebenaran dan ketepatan. Tetapi, sebelum wujudnya gejala penyelidikan, terdapat golongan manusia yang belum sampai tahap pemikiran ilmiah mencari kesimpulan dengan pengaruh animistik dan tahayul. Setiap kejadian dikaitkan dengan akibat mengingkari kuasa ghaib atau meredah kediaman penunggu, hantu dan sebagainya. Namun demikian, kita masih beranggapan bahawa manusia mempunyai naluri ingin tahu fenomena sebab dan akibat sesuatu kejadian itu lantas tanpa memiliki pemikiran ilmiah, mereka meletakkan kesimpulan sedemikian rupa.

Oleh sebab itulah, saya cuba mengaplikasikan teori dan kaedah penyelidikan yang sesuai ke atas Istana Kasih 2 agar pembicaraan atau analisis mengenainya dapat menghasilkan pengetahuan baharu kepada sasaran serta menyimpulkan findings berwibawa.

Maka, teori resepsi atau resepsi sastera amat relevan dengan skop kajian kerana teori tersebut melihat bagaimana pembaca memberikan makna terhadap karya sastera yang dibacanya sehingga dapat memberikan reaksi atau tanggapan terhadapnya. Tyson dan Lois dalam bukunya; Critical Theory Today (1999: 153) mengkelaskan bahawa makna tanggapan itu ada dua jenis iaitu “pasif” dan “aktif”.

Maksud tanggapan pasif; bagaimana seseorang pembaca dapat memahami karya itu atau dapat melihat hakikat estetika yang ada di dalamnya. Manakala tanggapan aktif pula bermaksud bagaimana pembaca merealisasikan pembacaannya sehingga terjelma makna.

Oleh yang demikian dapat disimpulkan bahawa fungsi teori resepsi ialah proses pembacaan untuk mendapatkan makna dan lapangan pencariannya adalah luas dengan berbagai-bagai kemungkinan.

Teori ini berkait-rapat dengan cara dan teknik membaca, meneliti respon dan reaksi pembacaan dan akhirnya yang terpenting ialah bagaimana pembaca itu membentuk maknanya (Mana Sikana, 2005: 304).

Dalam mengaplikasikan teori resepsi ini, kita perlu tumpukan perhatian kepada dua perkara iaitu pembaca dan karya. Teori resepsi ini bertolak atau bergantung kepada pembaca di mana pembaca yang akan menentukan mutu sesebuah karya. Namun begitu, persoalan dalam penerimaan sastera ini selalu bergerak di antara dua perkara itu iaitu karya menguasai pembaca hingga pembaca menjadi pemakai pasif dari suatu benda sesuai dengan maknanya. Pendek kata apabila karya lebih berkuasa, pembaca menjadi lemah. Tetapi apabila pembaca yang lebih berkuasa, maka karya menjadi lemah.

Berlandaskan teori ini beberapa pembolehubah<!–[if !supportFootnotes]–>[1]<!–[endif]–> dan unit analisis<!–[if !supportFootnotes]–>[2]<!–[endif]–> direka bagi mencari makna terhadap sampel kajian (Istana Kasih 2) dengan menggunakan kaedah content analysis yang mampu mengenal-pasti dan mencerakinkan mesej dalam sampel kajian.

Kaedah content analysis paling sesuai kerana ia merupakan satu teknik untuk mengkaji komunikasi lahirah (bermaksud mesej yang tersurat dan tersirat) yang dilakukan secara objektif, sistematik dan kuantitatif dengan menyelidiki makna mesej yang dilontarkan oleh penutur bahasa (Berelson 1952). Bagaimanapun kaedah ini amat jarang digunakan dalam penyelidikan sastera Melayu moden di negara ini.

Walaupun kaedah ini jarang digunakan tetapi dalam menyelidiki mesej ia cukup berkesan. Mesej dapat dikenalpasti menerusi makna, lambang, imej, ujaran serta gambaran atau wacana pengarang yang tersorok dicelah-celah tema atau persoalan dan ini dinamakan unsur-unsur intrinsik manipulatif yang boleh dikutip menggunakan kaedah tersebut. Misalnya, melalui pembolehubah dan unit analisis, pengumpulan data dapat dicerakin bagi setiap sajak yang mengandungi mesej perkahwinan dan cinta.

Peratus dan jumlah sajak yang memaparkan mesej itu dengan mudah dikesan berdasarkan teknik tersebut. Hasil penemuan kuantitatif ini akan dianalisis melalui pendekatan penyelidikan sains sosial secara kualitatif dan deskriptif. Asas analisis adalah berlandaskan dapatan daripada unsur-unsur kuantitatif yang telah dicerakinkan itu.

 

Analisis Mesej Perkahwinan dan Cinta dalam Istana Kasih 2

Istana Kasih 2 mengandungi 56 kuntum sajak. Sebanyak 20 halaman (69-88) memaparkan psikologi perkahwinan sebagai lampiran yang ditulis dalam bentuk prosa sebagai tip untuk memahami topik perkahwinan itu secara mendalam. Berdasarkan gender, lelaki mengungguli penghasilan karya yang ditukangi oleh 12 penyair berbanding penyair wanita seramai 6 orang sahaja. Lihat jadual 1 di bawah bagi melihat kecenderungan gender dalam membicarakan mesej.

Jadual 1: Kecenderungan Gender Terhadap Mesej

Mesej

Lelaki

Wanita

Jumlah Sajak

Perkahwinan

14

5

19

Cinta

21

16

37

Jumlah

35

21

56

 

Dalam Istana Kasih 2 penyair lelaki menulis 14 sajak mengenai perkahwinan berbanding 21 sajak berkaitan mesej cinta. Ini bererti penyair lelaki menyumbang sebanyak 35 sajak dalam Istana Kasih 2 manakala 21 sajak oleh penyair wanita dengan pecahan di mana 5 sajak membawa mesej perkahwinan serta 16 sajak memperkatakan tentang cinta.

 

a) Mesej Perkahwinan

Istana Kasih 2 mengandungi 19 kuntum sajak atau 34% mesej perkahwinan. Daripada 19 sajak – 14 kuntum ditulis oleh penyair lelaki sebaliknya 5 kuntum oleh wanita<!–[if !supportFootnotes]–>[3]<!–[endif]–>. Tiada indikator kenapa penyair wanita kurang berminat memperkatakan tentang perkahwinan berbanding penyair lelaki. Apakah mereka (penyair wanita) beranggapan mesej ini tidak penting berbanding cinta?

Walau bagaimanapun, mesej perkahwinan boleh dianalisis berasaskan komponen mesej seperti nasihat, suami, isteri dan anak kerana kebanyakan penyair tidak membicarakan topik perkahwinan secara terus tetapi berlegar di sebalik tabir yang kita panggil komponen mesej seperti yang dinyatakan di atas. Lihat jadual 2 di bawah ini:

Jadual 2: Komponen Mesej Perkahwinan Mengikut Gender

Komponen Mesej

Jumlah Sajak

Lelaki

Wanita

Nasihat

10

8

2

Suami

5

2

3

Isteri

3

3

0

Anak

1

1

0

Jumlah

19

14

5

 

 

 

 

 

Berdasarkan jadual di atas, kita dapati bahawa kebanyakan penyair menggunakan peluang untuk memberikan nasihat mengenai perkahwinan barangkali ditujukan kepada pembaca atau khusus kepada Shakirah Abdul Rashid. Sebagai contoh lihat petikan sajak Ramli Daud yang berbunyi begini;

Bahkan perkahwinan adalah merupakan

tuntutan agama

mengikut sunnah Rasullullah s.a.w

 

(Perkahwinan: 39)

Kemudian Pena Mutiara pula menasihati. Katanya;

perkahwinan bukan sebuah sendiwara

untuk dihebahkan dalam media

dengan rasa megah dan riak

tapi akhirnya runtuh berselerak

 

(Perkahwinan: 38)

Kita melihat perkahwinan itu adalah kebahagiaan yang dikecapi dengan penuh rasa nikmat yang sukar digambarkan dengan kata-kata tetapi Mohd Hashim Osman mampu melakukannya menerusi bait-bait puisinya yang puitis dengan menggunakan unsur analogi dan personifikasi. Lihat kelembutan bahasa Mohd Hashim dalam Terima kasih perkahwinan: 21 seperti petikan di bawah ini:

Terima kasih perkahwinan

sudi menghantarku ke laman rumah tangga

untuk bersila di anjung harapan

meribai sebuah kebahagiaan

 

Terima kasih perkahwinan

telah mengiringiku ke sandingan realiti

 

Terima kasih perkahwinan

Memperkenalkan aku kepada tanggungjawab

 

Beberapa contoh di atas memperlihatkan Istana Kasih 2 adalah sebuah antologi yang tepu dengan mutiara iktibar yang adakalanya disulami pula luahan hati seorang isteri kepada suami sebagaimana harapan Sabariah Bahari kepada suami;

Di sini suami / mari kita bina astaka peringatan

kau dan aku akan bersatu / menjalin harmoni menyulam kasih /

mengalung mutiara cinta kita / biar bersih putih / dan wangi selamanya

 

(Mutiara cinta kepada suami; 47)

Harapan penyair wanita itu tentang perkahwinan cukup tinggi kerana harapan tidak semestinya menjadi kenyataan. Bak kata Saudah Mat Lazim;

Meski hasrat dan harapan / tidak ku gapai / aku tetap berdoa /

Jodohmu bersama dia / bahagia berpanjangan / diberkati Allah

 

(Doa dan harapan: 51)

 

Benarlah jodoh maut di tangan Tuhan, kita cuma mampu berdoa agar perkahwinan berpanjangan sehingga ke anak cucu. Paling ditakuti si isteri ialah usia perkahwinan tidak panjang; ia terkulai di tasik madu; rebah menyembah bumi. Menyedari hakikat itulah Tie Camar dengan tegas berjanji kepada suaminya. Katanya;

Kau lelaki terakhir / tetap aku di sini di sudut rusuk /

dan ingin sekali mengucup / pasrah di telapak kakimu

 

Hebat benar seorang suami betapa si isteri sanggup pasrah di telapak kakimu. Benar Hawa dijadikan daripada tulang rusuk Adam. Hakikatnya si isteri perlu patuh dan setia kepada si suami selagi si suami tidak berlaku mungkar. Sepatah sabda Nabi s.a.w; “jikalah boleh manusia menyembah manusia; nescaya ku suruh isteri menyembah suami ” dan anologinya syurga itu di bawah telapak kaki suami- wallahualam.

Demikian mesej perkahwinan yang digarap secara puitis oleh sebahagian penyair tanpa berselindung di sebalik tabir keikhlasan.

b) Mesej Cinta

Selain memperkatakan tentang perkahwinan, antologi ini tidak ketinggalan membicarakan mengenai cinta – menjadi rakan kembar kepada perkahwinan kerana ramai yang berpendapat bahawa seseorang itu perlu menempuh alam percintaan sebelum membuka pintu malam pertama. Kenyataan ini adalah hipotesis yang perlu pembuktian sahih. Namun demikian, Istana Kasih 2 amat menyerlah dengan mesej cinta berbandingan perkahwinan. Kajian mendapati sebanyak 37 kuntum sajak atau 66% membicarakan tentang cinta.

Penyair lelaki mendominasi penghasilan sajak cinta sebanyak 21 kuntum berbanding 16 sajak yang ditulis oleh penyair wanita. Statistik mengikut komponen mesej bolehlah dilihat jadual 3 dalam di bawah ini:-

Jadual 3: Komponen Mesej Cinta Mengikut Gender

Komponen Mesej

Jumlah Sajak

Lelaki

Wanita

Allah

4

2

2

Makhluk

30

17

13

Kematian

3

2

1

Jumlah

37

21

16

 

 

 

 

 

 

Daripada jadual tersebut jelas menunjukkan bahawa antologi ini mengandungi mesej cinta yang boleh dipecahkan kepada tiga komponen iaitu pembicaraan kecintaan terhadap Allah s.w.t., makhluk dan kematian. Namun demikian, kecintaan terhadap makhluk diperkatakan agak dominan (17 sajak) berbanding Allah s.w.t (4 sajak) dan kematian (3 sajak). Ini menggambarkan bahawa persoalan cinta yang dibawa oleh penyair Istana Kasih 2 masih di tahap rendah kerana kecintaan yang agung hanya kepada Allah s.w.t semata-mata. Lihat pujangga Iqbal menulis tentang cinta berbunyi begini:

“bila peribadi diperkuat oleh cinta / tangannya menguasai dunia semesta/ kyahi langit menghiasi angkasa dengan bintang gemintang /

Dipetiknya putik ini dari dalam peribadi / Tangannya menjadi tangan Tuhan/

Bulan pecah oleh jari-jemarinya / Dialah pelerai dalam semua sengketa

Dunia / perintahnya dituruti oleh Darius dan Jamsyid

 

(Bila Peribadi Diperbuat Oleh Isyq-Muhabbat (cinta) Maka Dikuasainya Tenaga-tenaga Alam Luar dan Dalam)

 

Demikian gambaran kehebatan cinta seorang insan kepada Khaliqnya seperti yang ditegaskan tokoh mistik, Hamka dalam petikan puisi berikut;

Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan matahari dan memberinya

cahaya / Allah yang menjadikan bunga dan memberi wangi / Allah menjadikannya tubuh dan memberinya nyawa / Allah menjadikan mata dan memberinya penglihatan /

 

(Tenggelamnya Kapal van der Wijck: 47 dan 48)

 

Cinta bagi Hamka ialah dasar kepada segala sesuatu di dunia dan di akhirat kelak. Ia menjadi tali antara dunia dan akhirat; antara Tuhan dengan hamba-Nya. Namun mesej cinta yang dipaparkan dalam Istana Kasih 2 amat sedikit membicara tentang kasih terhadap Khaliq; jika adapun – sajak Sabariah Bahari dijadikan contoh.

Dan di sisi-Mu / bersama sedar batin cinta / aku tergeliat dalam bahagia/

tidak lagi gusar menghitung janji / kerana persinggahan abadi ini /

ku temui maknawi / sebuah istana cinta abadi

 

(Inilah Sebuah Persinggahan Abadi; 49)

 

 

Onn Abdullah dalam Potret: 36 cuba menggarap kata-kata puitis tentang cinta kepada Allah s.w.t yang bersifat bombastik sehingga melonggarkan maksud. Petikan kata-kata Onn tentang Allah s.w.t.;

Dari zat alam takjub-indahnya keajaiban; aroma bunga-bunga

mesra / mengembang dalam suara damai kerdipan /

cakerawala langit malam pasrah sujud pada perintah-Nya

 

 

 

Selain itu, kecintaan terhadap kematian juga dipaparkan sepintas lalu seperti yang ditulis oleh Azies dalam Hantaran Keinsafan: 1 yang memperingatkan bahawa;

Kita telahpun bertunang dengan kematian / Cuma menunggu

hari perkahwinan / sebelum pengantin tidur di sisi / perlu ada

rasa menjalar / setitis air keinsafan / dari kelopak matamu /

buat mendiri mahligai taubat /

 

Begitulah kupasan kilas tentang mesej cinta terhadap Allah s.w.t dan kematian dalam Istana Kasih 2 dengan memberikan sedikit fokus kecintaan kepada makhluk (manusia) kerana klise dan lazim menjadi bahan pembicaraan kritikus sastera walaupun komponen mesej ini agak mendominasi di dalam antologi tersebut. Cinta kepada mahkluk kadang kala menyebabkan manusia itu hidup di alam khayal – mabuk cinta sehingga tahi pun dipandang bunga. Lihat Chai Loon Guan memperkatakannya begini:

Kekasih, dalam buana persetiaan / kaulakarkan lautan cinta/

Kaubirukan warna laut / bersama alunan rindu / mesra kasih

Yang dalam / aroma cinta yang wangi

 

(Warkah Buat Kekasih III; 6)

 

Demikian juga Nordin Hj Abdullah berjanji dan sanggup menghadapi halangan serta rintangan semata-mata kerana cinta. Konsep cinta dipaparkan terlalu ideal sehingga tidak berjejak di bumi nyata. Katanya:

Hari-hari mendatang / kau rela menempuhi / onak dan ranjau /

atas nama kehidupan / di dalam bahtera / yang didayungi

bersama-sama.

 

(Kasihmu; 30)

 

 

Akhirnya kerana cinta manusia itu tertewas dengan bayang-bayang sendiri lantas menyedari hakikat bahawa kecintaan terhadap makhluk tidak kekal lama sebagaimana yang diungkapkan Shakirah Rashid lewat sajaknya berjudul Detik Kau Hadir: 56 yang menyatakan kekesalannya;

Aku menyerah dan tertewas / di balik istana bertiangkan cinta /

menyeri dunia yang nyata /

 

 

Pada umumnya antologi Istana Kasih 2 mengandungi dua mesej utama iaitu perkahwinan dan cinta yang digarap begitu rupa supaya menjadi dokumentasi kasih kepada pembaca yang kebanyakannya sebagai iktibar untuk kehidupan berkeluarga.

 

Penutup

Kajian ini mendapati Istana Kasih 2 tepu dengan mesej cinta dan perkahwinan dengan memaparkan pandangan penyair terhadap aspek berkasih sayang hingga membawa ke jinjang pelamin dan berkeluarga serta mengharapkan istana itu terbina di lembah kasih bikinan sendiri seperti yang diimbau oleh Onn Abdullah;

Apa khabar istana kasih

sudahkah ada pengantin

yang singgah melepaskan resahrindu

setelah ditabalkan menjadi raja sehari

di pelamin cinta

 

(Istana Kasih: 34)

 

Sesungguhnya antologi Istana Kasih 2 berjaya dalam misinya untuk merakamkan mesej perkahwinan dan cinta hasil buah tangan ahli-ahli Karyawan Pk yang ada di antara sajaknya bermutu tinggi setanding dengan hasil penyair tersohor tanah air. Antologi ini bolehlah dianggap sebagai pusaka penting Karyawan Pk dalam penghasilan karya dan penerbitan berbentuk buku.

Nota Hujung

[1]<!–[endif]–> Perkahwinan dan cinta

<!–[if !supportFootnotes]–>[2]<!–[endif]–> Bagi “perkahwinan” – nasihat, suami, isteri dan anak manakala bagi “cinta” – Allah, mahkluk dan kematian

 

Rujukan

Berelson B (1952). Content Analysis in Communication Research. New York: The Free Press

Blair, Walter et.al. (1966). Literature, Better Reading Two (4th.ed).Illinois: Scott Foresman & Co.,

Hamka (1976)Tenggelamnya Kapal van der Wijck. Jakarta: Bukit Bintang.

Mana Sikana (2005). Teori Sastera Kontemporari. Bandar Baru Bangi: Penerbit Pustaka Karya

Onn Abdullah, Sabariah Bahari. 2007 (Peny.). Istana Kasih 2, Ipoh: Persatuan Karyawan Perak

Tyson,Lois.1999. Critical Theory Today, London: Farland Publishing

_______

*Makalah ini dibentangkan dalam Majlis Bicara Karya Sastera Penulis Perak di Bilik Gerakan, Dewan Bandaraya Ipoh [MBI] pada 24 Julai 2007 jam 8.30 pagi yang dianjurkan oleh Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dengan kerjasama DBP Wilayah Utara, Majlis Bandaraya Ipoh dan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)

 

 

 

 

zi/seminar Bkarya Pk/(C)/21.7.07

<!–[if !supportFootnotes]–>

<!–[endif]–>

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: