Posted by: zabidin | Mei 18, 2008

Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk]

Persatuan Karyawan Perak atau nama rengkasnya Karyawan Pk telah ditubuhkan pada 15 Februari 1992 di Teluk Intan, Perak oleh beberapa orang penulis, antaranya, Zabidin Hj Ismail, Mokhtar Mansor (pencipta Kaedah Mokhdar), M Saleh Mahyat, Abu Bakar Sidek Hashim, Idris Noor, Jamaludin Ahmad. Peranannya sebagai badan penulis dan sastera yang bertaraf negeri. Ia mempunyai cawangan di beberapa bandar utama di Perak yang dikenali sebagai Sudut Karyawan Pk cth Tanjong Malim diketuai Chai Loon Guan, Kuala Kangsar; Al Hisyam; Bagan Datoh; Nordin Abdullah. Kini pejabat operasinya ialah di No 51,Wisma Jauhari, Lengkok Kledang Raya, Taman Kledang Jaya, 30100 Ipoh tel; 05-5262117 faks; 05-5266117. Anggotanya terdiri daripada kalangan penulis dan peminat sastera di Perak seramai kira-kira 200 orang. Antara aktiviti yang dijalankan ialah penyelidikan, penerbitan dan penulisan, keterangan lanjut sila layari [1] atau e-mel: karyawanpk@yahoo.com

Karyawan Pk 1992-2002: Kembali menyusur denai sejarah yang ditinggalkan

Latar Belakang
Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) ditubuhkan pada 15 Februari 1992 di kediaman rasmi Majistret Kanan, Teluk Intan –Tuan Makhtar Mansor . Namun rentetan kelahiran Karyawan Pk bukan bermula dari situ, tetapi di pejabat Utusan Melayu, Jalan Sungai Nibong, Teluk Intan dengan nama asalnya; Persatuan Penulis Islam Perak (3PI) yang diasaskan pada 13 Mei 1991. Badan ini memohon didaftarkan pada 30 September 1991 yang beralamat JKR 613 Jalan Sultan Abdullah, Teluk Intan . Setelah melebihi setahun 3PI menanti kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan tetapi tiada jawapan, pada 8 Mac 1992 kami berbincang di bilik bacaan Makhtar mengenai 3PI sekaligus mengambil keputusan bertemu pihak berkenaan, namun atas pengaruh jawatan Makhtar, pegawai Pendaftar Pertubuhan Perak sebaliknya berkunjung ke Teluk Intan dan kami berbincang di rumah rehat dan memutuskan menyambung semula permohonan 3PI tetapi dengan nama Karyawan Pk pula. Setahun kemudian ia diluluskan Pendaftar Pertubuhan Malaysia bertarikh 15 Februari 1993 ( No. Pendaftaran: 3552/93 Perak).
Makhtar kekal sebagai Ketua I Penaja sehingga 2 September 1992, kemudian dipangku Abu Bakar Al Sidek Hashim sehingga mesyuarat agung pertama di SM Raja Perempuan, Bainon, Ipoh (17 April 1994) yang disempurnakan Pengarah Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Negeri Perak, Encik Mustapha Kamal Tajudin. Dalam rekod penulis jawatankuasa penubuhan terdiri seramai 17 orang yang mewakili 5 daerah di Perak. Manakala dalam Penyata Jawatankuasa 1992/1993 peneraju Karyawan Pk pada peringkat awal penubuhannya adalah seramai 15 orang sahaja. Mesyuarat agung pertama mengesahkan pemilihan J/Kuasa yang menyaksikan Ketua Dua disandang Hj Kamarudin Mohd Dani manakala jawatan Setia Usaha satu dan Bendahari bertukar tangan antara Zabidin Hj Ismail dan M Saleh Mahyat serta beberapa muka baru terpilih sebagai J/kuasa iaitu Che Su Deraman (Sitiawan), Sabariah Bahari (Ipoh), Maznah Mohamed @ Malina M (Taiping) dan Aminah Abdul Malik (Gopeng).Mesyuarat ini juga mencatat sejarah kerana membangkit beberapa usul bertaraf negeri dan nasional seperti berikut:

• Penubuhan Akademi Penulis Perak di Tanjong Malim • Anugerah Penulis Perak ( berjaya dilaksanakan pada 1995 oleh Kerajaan Negeri Perak setelah menerima memorandun Karyawan Pk) • Merayu Kerajaan Malaysia menarik balik arahan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam bidang sains dan teknologi di universiti tempatan. • Menyaran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan memendekkan tempoh pengajian Diploma Penulisan Kreatif di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dari empat ke satu tahun serta menggugurkan syarat kelayakan masuk lulus matematik (Walaupun tidak dipenuhi tetapi usul ini mendapat respons kementerian berkenaan)
Penulis sengaja memaparkan kembali usul-usul berkenaan bagi melihat sejauh mana kemampuan dan kematangan badan ini dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan kesusasteraan dan persuratan Melayu ketika usianya setahun jagung. Justeru dengan penampilan tersebut tidaklah boleh kita melontarkan tafsiran serong bahawa dalam mesyuarat agung yang terkemudian, usul tidak dibahaskan. Perbahasan usul yang kontemporari sifatnya tetap ada pada hampir setiap kali mesyuarat agung. Catatan A Rahim Abdullah (Berita Minggu, 31 Dis.1995:22) misalnya menyebut:

“Sebuah lagi persatuan yang memperjuangkan bahasa Melayu ini ialah Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) yang dalam mesyuarat agungnya di Teluk Intan pada 25 Ogos lalu menghasilkan tiga usul penting.”
Isu bahasa Melayu acapkali mengalir dalam denyut jantung Karyawan Pk. Maka, tidak menghairankan ia sering dibahaskan dalam mesyuarat agung, apatah lagi sesuai dengan slogan yang diwar-warkan melalui surat rasminya; “Kami Cinta Bahasa Melayu”.
Kegiatan
Antara program popular Karyawan Pk ialah Gebang Sastera (GS) . Istilah “gebang” lazim digunakan oleh masyarakat Melayu Perak yang membawa maksud proses komunikasi dua hala (sesi perbualan tidak formal). Apabila istilah ini dijamakkan dengan aksara “sastera”, ia bererti sesi wacana yang bertemakan sastera. Rekod penulis sepanjang sepuluh tahun, GS telah menjelajahi pelusuk Perak; Telaga Nanas, Sitiawan (1993), Kuala Kangsar (1994), UPSI-Tanjong Malim (1994), Ipoh (1994), Taiping (1994) Gerik (1994) dan Sungkai (1999). Selain GS, Malam Puisi Menara Condong (Teluk Intan: 10 Dis.1994) juga mendapat perhatian masyarakat penulis tempatan di samping Gebang Puisi (Pasir Salak:11 Dis.1994) dan Gebang Puisi Bersama Penyair Zahari Hasib (Ipoh: 17 Mei 1998). Manakala Seminar Motivasi Sastera Darul Ridzuan (Teluk Intan: 26 Ogos 1995) anjuran bersama PENA dan Utusan Melayu, KL yang disempurnakan oleh mantan Menteri Besar Perak,Tan Sri Ramli Ngah Talib merupakan aktiviti kemuncak yang berkaitan dengan siri GS.
Karyawan Pk tidak hanya menumpukan GS sebaliknya melebarkan kegiatan yang memberi manfaat kepada ahli dan calon penulis seperti Majlis Pelancaran Buku Kaedah Mokhdar karya Makhtar Hj Mansor (Teluk Intan: 9 Mac 1992); Diskusi Buku Revolusi Bahasa Karya Makhtar Hj. Mansor oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh (Teluk Intan: 14 Mac 1992); Lawatan Muhibah Ke Medan – Aceh, Sumatera, Indonesia (18-21 Julai 1992), Bengkel Penulisan Kreatif (Slim River: 18 Jun 1995; Teluk Intan: 25 Jun 1995); Bengkel Asas Kewartawanan (Teluk Intan: 30 Dis.1995);Bengkel Penulisan Teater (Teluk Intan:16 Mei 1996); Lawatan/Penyelidikan ke rumah Gemulah Dato’ Ahmad Boestamam di Kg. Behrang Ulu, Tanjong Malim (14 Julai 1996); Pertemuan Penulis –Penerbit Fajar Bakti bersama A.F Yassin dan Mohd. Ghazali Tocheh (Ipoh: 30 Jun 1996); Pameran kartun & lukisan (Ipoh: 5 Ogos 2000)

Aktiviti penerbitan buku turut ditangani program Siri Projek Penulisan Buku Karyawan Pk (PINTAR). Misalnya, Ridzuan 1 selenggaraan Zabidin Hj Ismail (Cerpen & Puisi: 1994); Menara Condong (Zabidin Hj. Ismail; Puisi: 1994); Danau Hati ( Al Hisyam: Puisi: 2000) dan Suratan (M Shah; Puisi: 2000). Di samping itu, buletin berjudul “Suara Karyawan Pk” yang ditangani Zabidin Hj Ismail selaku Ketua Pengarang, sempat diterbitkan sebanyak empat keluaran (1994-1995). Buletin ini diedarkan ketika GS dijalankan sekaligus berfungsi menarik ahli-ahli baru.

Kekerapan melaksanakan pelbagai kegiatan menjadi faktor penting memupuk kepercayaan dan keyakinan masyarakat penulis terhadap kemampuan Karyawan Pk melebarkan skop keaktifannya di arena persoalan penulis nasional. Keyakinan dan harapan itu diluahkan oleh Jaafar Abdul Rahim (Utusan Malaysia, 6 September 1995:6) dengan menyatakan:

“Soal pembinaan teori kesatuan penulisan bukan soal penulis Perak sahaja bahkan menjadi soal penulis nasional. Tetapi biarlah ia saya kemukakan supaya difikirkan oleh penulis Perak dahulu. Saya fikir para pemimpin Persatuan Karyawan Perak yang cukup aktif mengadakan aktiviti sastera seluruh Perak, cukup berkemampuan untuk mendukung seruan saya ini.”

Namun, sepanjang ingatan penulis, para pemimpin Karyawan Pk tidak tergerak hati untuk mengotakan seruan Jaafar Abdul Rahim itu, meskipun sekali sekala ada dibincangkan secara informal di kalangan mereka. Kecenderungan mereka lebih ter tumpu untuk melahirkan penulis pelapis berbanding membicarakan soal-soal teori penulisan yang tentunya hanya untuk “hidangan” penulis mapan. Citarasa dan fokus objektif yang berbeza mengakibatkan seruan itu lesap dipuput bayu keghairahan GS. Apatah lagi ketika seruan itu dilontarkan, kepimpinan Karyawan Pk dibarisi penulis-penulis yang masih ghairah menempah nama di persada sastera negara.

Pentadbiran
Semenjak mesyuarat agung pertama (1994) hingga kini Karyawan Pk beroperasi di rumah Setia Usaha Satu ( No. 35 Taman Sinar Jaya, Lorong Orkid 4, Jalan Merbuk, Teluk Intan) sebagai alamat berdaftarnya. Justeru pusat pentadbirannya tidak pernah berpindah ke lain tempat, melainkan Teluk Intan walaupun badan penulis ini bertaraf negeri. Namun begitu, barisan kepimpinannya terdiri daripada penulis-penulis yang menetap di luar Teluk Intan kecuali penjawat jawatan utama: Ketua Satu, Setia Usaha Satu dan Bendahari. Rasionalnya, ketiga-tiga penyandang jawatan tersebut perlu menetap di satu kawasan bagi menyenangkan urusan pentadbiran.

Struktur organisasi Karyawan Pk agak tersusun dan kemas mengikut format lazim. Barisan kempinannya (dari Ketua Satu hingga Pemeriksa Kira-kira) terdiri 19 orang. 15 jawatan dipilih dalam mesyuarat agung. Bagi jawatan Setia Usaha Satu dan Dua dilantik dan diumumkan oleh Ketua Satu dalam mesyuarat agung sebelum pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa mengikut perlembagaan fasal 10.2 pindaan 1994. Manakala dua orang lagi ahli Jawatankuasa tambahan dilantik oleh Ketua Satu setelah dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Pertama selepas Mesyuarat Agung.

Bagi melicin dan menyelaraskan aktiviti, sudut-sudut Karyawan Pk dibentuk berdasarkan perlembagaan fasal 11.5 di Bandar-bandar utama di negeri Perak. Sudut ini digerakkan oleh seorang Ketua Sudut. Rekod penulis mendapati Karyawan Pk telah menubuhkan sebanyak 12 sudut; Ipoh (Mohd Zahis Midon), Tanjong Malim (Chai Loon Guan), Teluk Intan (Hj. Idris Mohd. Noor), Kuala Kangsar (M Shah), Lenggong (Mohd. Rashidi Yusof), Parit (Hisham Ariffin), Sitiawan (Al Fadzil Wahi), Taiping (Kamarudin Abdullah), Gerik (Ahmad Kamal Mohd. Taib), Kampong Gajah (Mustapha Ngah Mansor), Bagan Datoh (Nordin Hj Abdullah) dan Chenderong Balai (Mohd. Khairi Karim).
Selain Sudut, Karyawan Pk memiliki biro-biro yang berfungsi melaksanakan kegiatan dalam ketegori serta skop tertentu; novel (Chai Loon Guan), cerpen (Sabariah Bahari), puisi (Al Hisyam), kritikan sastera (Talib Samat), seni khat & sastera rakyat (Dr Hj. Muhamad Bukhari Lubis), teater ( J Jamal), kewartawanan (Hj. Abu Bakar Al Sidek Hashim), seni lukis & kartun (Kasim Abdullah @ Sim) dan ekonomi & korporat (Datuk Hj. Dzulkifli Ismail).

Kemantapan kepimpinan Karyawan Pk kian terserlah menjelang kemunculan alaf baru yang menyaksikan beberapa professional dan penulis mapan turut berminat menggerakkan persatuan. Kehadiran Dr Muhammad Bukhari Lubis, Prof Madya Othman Yatim (Pengarah Muzium Asia, Universiti Malaya), Dr Wahid Kasran, Talib Samat, Raja Sabarudin Abdullah, Zahari Hasib dan Ijamala MN meletakkan Karyawan Pk sebaris dengan badan-badan penulis tersohor tanah air. Mereka berupaya mewangikan Karyawan Pk dalam taman sastera tanah air tanpa menagih imbuhan sebaliknya mencurahkan sebaldi pengorbanan yang sanggup datang dari jauh menghadiri mesyuarat J/kuasa lazimnya diadakan di Teluk Intan.

Pencapaian Matlamat

Setiap organisasi berpegang kepada matlamat utamanya. Justeru Karyawan Pk berpegang kepada prinsip melahirkan penulis. Sepanjang sepuluh tahun ini dilihat matlamat organisasi tercapai. Dengan berbekalkan motto: Selagi Menulis Tetap Menulis, Karyawan Pk telah membesarkan nama-nama ini; Sabariah Bahari, Aminah Abdul Malik, Onn Abdullah, Al Hisyam, Chai Loon Guan, M Shah, Jamaludin Ahmad, Malina M, Yusaini Teriman, Che Su Deraman, Arif Mohamad, Rahmaniah Hj Kantan, Noriah Mohd.Sharif, Nordin Hj Abdullah, Hanifah Hj Ibrahim, Ruziah Jaafar, J Jamal, Ramli Daud, Mahyuddin Ibas, dan Tarmizi Selamat (sekadar teringat) yang walaupun ada setengah daripada mereka sudah terlebih dahulu menulis sebelum kelahiran Karyawan Pk, namun keterlibatan mereka dalam badan penulis ini secara tidak langsung membentuk semangat bersaing untuk menulis dan terus menulis. Di bawah bumbung Karyawan Pk-lah mereka terdorong dan bersemangat menulis dan menerokai banyak genre mengikut kemahiran masing-masing. Justeru Karyawan Pk merupakan pengembleng semangat menulis di antara mereka itu.

Penutup

Karyawan Pk yang mempunyai ahli berdaftar seramai 220 ( setakat 20 Julai 2002) telah memasuki gerbang usia satu dekad kini perlu memikirkan penyediaan pemimpin pelapis yang sanggup berkorban apa saja bagi melansungkan hayatnya. Pancaroba globalisasi serta dugaan dan cabaran alam siber menuntut ketahanan, keyakinan diri serta daya juang yang kental supaya perjalanan ke syurga sastera tidak tempang atau terhenti di persimpangan jalan. Ayuh sahabatku, kitalah pembentuk zaman. Tiada lain, kitalah!

Oleh: Zabidin Haji Ismail, AMN.,AMP.,PJK., Pengasas (Bendahari Penaja 1992-1993; Setiausaha Satu 1994-2002)-20 Julai 2002

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: