Posted by: zabidin | Mei 18, 2008

Dua Pahlawan Terbuang “kembali” ke Perak

petikan Utusan Malaysia

Oleh: DR. TALIB SAMAT

PADA tahun 2003, saya menulis novel sejarah Tengku Menteri: Kisah Tokoh Korporat Bijih Timah Melayu Terulung Long Jaafar dan Ngah Ibrahim Pengasas Taiping Bandar Warisan 1790-an Hingga 1895 terbitan Karisma Publications Sdn.Bhd. setebal 836 halaman.

Sesudah terbitnya novel itu, beberapa peristiwa di luar dugaan berlaku. Saya dihubungi Hariffudin Kamarudin, Setiausaha Tetap Projek Merungkai Sejarah Tengku Menteri di Pejabat Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama Taiping untuk menghadiri mesyuarat melaksanakan program memartabatkan nama dan jasa Tengku Menteri Ngah Ibrahim yang meninggal dunia pada 4 Februari 1895 di Singapura.

Di antara program yang dilaksanakan ialah mencari pusara beberapa orang pahlawan Perak yang terlibat dalam gerakan menentang penjajahan British iaitu Ngah Ibrahim (1836-1895) yang berasal dari Matang (Taiping), bapa mentuanya, Laksamana Mohd. Amin yang berasal dari Teluk Intan dan Syahbandar Uda Maamor. Mereka bertiga dibuang daerah dan diasingkan ke Pulau Seychelles di Lautan Hindi pada tahun 1877 kerana dituduh terlibat dengan pakatan membunuh J. W. W Birch di Pasir Salak bersama-sama pahlawan Perak yang lain seperti Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor, Seputum dan sebagainya.

Ngah Ibrahim, Mohd. Amin dan Uda Maamor kemudiannya dibenarkan menetap di Singapura sehingga hari-hari terakhir mereka.

Program lain ialah mengadakan Seminar Memartabatkan Tengku Menteri Ngah Ibrahim pada 27 Ogos 2005 di Kompleks Sejarah Matang. Ia dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Perak dan Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Yayasan Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Jabatan Muzium dan Antikuiti Negara dan Kompleks Sejarah Matang.

Seminar itu menghasilkan 19 resolusi yang antara lain menyarankan pusara Ngah Ibrahim sekiranya ditemui hendaklah dibawa dan dikebumikan semula di Kompleks Sejarah Matang kerana di situlah rumah Ngah Ibrahim yang terdiri sehingga sekarang, bukti kewujudannya sebagai jutawan dan korporat Melayu terawal.

Perjuangan mencari pusara Ngah Ibrahim dimulai pada 29 dan 30 Jun 2004 diketuai Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama, Taiping, Datuk Dr.Wan Mohd. Isa Datuk Seri Wan Ahmad yang turut disertai oleh penulis . Operasi ini hanya menemui pusara bapa mentua Ngah Ibrahim iaitu Mohd.Amin Alang Duakap di Pusara Abadi, Chua Chu Kang, Singapura.

Dr.Wan Mohd.Isa tidak berputus asa dan memimpin rombongan kedua pada 3 dan 4 Ogos 2004. Akhirnya sesudah solat di Masjid Sultan Singapura, rombongan ini ke Perkuburan Al-Junid, Jalan Kubor dan menjelang petang, Dr.Wan Mohd. Isa terpandang pusara usang milik Ngah Ibrahim yang sudah berdekad-dekad dicari orang dan para sejarawan.

Hasil kajian dan penelitian keempat-empat peserta operasi kedua ini dan tesis yang ditulis oleh Wee Choon Sing pada tahun 1952 (Universiti Malaya) mengesahkan kubur yang ditemui itu adalah kubur Ngah Ibrahim bin Jaafar Larut yang meninggal dunia pada 4 Februari 1895 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Junid.

Pulang

Dan operasi membawa pulang pusara Ngah Ibrahim dan Wan Mohd. Amin kini hampir menjadi kenyataan apabila pemindahan itu dibenarkan oleh Mufti Singapura baru-baru ini. Dua `pusara’ itu akan dipindahkan ke Perak pada 9 September ini.

Sempena peristiwa itu yang sangat jarang berlaku dalam sejarah Malaysia moden, sebuah buku bagi memartabatkan semula Ngah Ibrahim akan diedarkan di Kompleks Sejarah Matang.

Pengedaran buku itu pada hari dan saat yang bersejarah itu cukup penting untuk membolehkan masyarakat umum, pelajar dan rakyat hari ini mengetahui riwayat ringkas dan susur galur keturunan Ngah Ibrahim, jasa dan sumbangannya membangunkan sosioekonomi negeri Perak. Terkandung juga dalam buku tersebut ialah gambar-gambar pemegang gelaran Tengku Menteri sejak dahulu sehingga sekarang, gambar-gambar eksklusif di sekitar operasi mencari pusara Ngah Ibrahim siri pertama dan kedua serta gambar-gambar lain yang tidak pernah dilihat orang sebelum ini yang tentunya akan memperkaya khazanah keilmuan dan tamadun bangsa.

Jika ditinjau daripada aspek kesusasteraan, sejumlah ratusan puisi tentang Ngah Ibrahim sudah dihasilkan oleh pelajar Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa,UPSI menerusi antologi puisi Matang Di Bumi Larut: Puisi-puisi Tengku Menteri Jilid 1(2005) dan Bara Dari Seychelles: Puisi-puisi Tengku Menteri Jilid 11( sedang mencari penaja).

Begitu juga sebuah antologi cerpen berjudul Sumpah Daerah Perjuangan: Kisah-kisah Tengku Menteri dan Pejuang-pejuang Perak sudah disunting dan menanti masa untuk diterbitkan sekiranya ada penaja.

Pelbagai usaha dan gerak gempur secara konsisten dan terancang untuk memartabatkan kedudukan dan imej Ngah Ibrahim yang hari-hari terakhir kehidupannya di Pulau Seychelles, Sarawak dan Singapura sebagai seorang pejuang bangsa dan ahli sufi.

Kepulangan ‘ jenazah dan pusara’ dua orang pahlawan bangsa itu akan dilakukan dengan penuh adat istiadat dan penghormatan Negara sesuai dengan jasa dan sumbangan mereka kepada perjuangan kemerdekaan negara.

Menurut sumber Jabatan Warisan Negara, aturcara pemindahan dan dokumentasi kedua-dua pusara pahlawan itu akan bermula pada 5 September di tanah perkuburan berkenaan. Ia akan melibatkan kerja-kerja pembersihan, ukuran, lakaran, marking dan krew dokumentasi membuat kerja-kerja montaj, clips dan footage sekitar Singapura.

Pada 6 September, di Pusara Al-Junid, para petugas akan melakukan kerja-kerja mengalihkan kepuk, memisahkan mengikut rekahan, menandakan bata untuk tujuan rekonstrasi dan fotografi kerja-kerja konservasi. Begitu juga kerja-kerja penyediaan prasarana di Pusara Al-Junid, Jalan Kubor dan Pusara Aman digerakkan oleh pekerja WAREES, Singapura.

Pada 7 September, sekitar pukul 7.30 pagi rombongan dan tenaga kerja daripada pegawai dan anggota Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Muzium Etnologi Malaysia kembali ke pusara Ngah Ibrahim di Perkuburan Al-Junid dan pusara Mohd.Amin di Pusara Aman.

Kerja-kerja penggalian akan dijalankan secara serentak di tanah perkuburan berkenaa.

Sekitar pukul 3 petang, remain (jenazah) kedua-dua orang pahlawan itu akan dibungkus dan dimasukkan ke dalam keranda yang ditutup dengan bendera Malaysia. Seterusnya kenderaan jenazah, kenderaan penumpang, lori membawa kepuk berlepas meninggalkan Jalan Kubor membawa ‘jenazah’ Ngah Ibrahim menuju ke Lebuhraya Tuas dan bertemu ‘jenazah’ Mohd. Amin serta kenderaan penumpang dari Pusara Abadi (Aman).

Kenderaan yang membawa kedua-dua ‘jenazah’ akan melalui Link Kedua ke Pelabuhan Tanjong Pelepas di Johor Bahru. ‘Jenazah’ akan dibawa dengan kapal perang TLDM, KD Laksamana Mohd. Amin.

Sebagai catatan, Kapal KD Laksamana Mohd. Amin dinamakan sempena nama pahlawan Perak itu yang terlibat dalam gerakan menentang penjajah Inggeris dan pakatan membunuh J.W.W Birch pada tahun 1875.

Menurut sumber TLDM, kapal KD Laksamana Mohd. Amin (F136) dibina di Ficantieri, Breda, Mestre, Itali pada 22 Mac 1982 dan dilancarkan pada 5 Julai 1983.

Kira-kira pukul 5 petang, 7 September KD Laksamana Mohd.Amin akan belayar ke Pengkalan TLDM Lumut, Perak, merentasi Selat Melaka dan dijangka tiba pada 9 September kira-kira pukul 9 pagi.

Satu upacara penghormatan tentera daripada Pasukan TLDM Lumut diadakan di samping bacaan doa. Seterusnya ‘jenazah’ akan dibawa dari Pengkalan TLDM Lumut ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar mengikut jalan lama. Jenazah Mohd. Amin akan dikebumikan di Perkuburan Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar bersebelahan pusara Sultan Abdullah (rakan seperjuangannya).

Selesai upacara pemakaman di Kuala Kangsar, jenazah Ngah Ibrahim akan dibawa ke Kompleks Sejarah Matang, Taiping. Perjalanan jenazah Ngah Ibrahim akan mengikut jalan lama ke utara iaitu dari Kuala Kangsar, melalui Padang Rengas,Changkat Jering, Bukit Gantang seterusnya ke Matang, Taiping. Daerah-daerah yang dilalui itu juga adalah daerah-daerah yang pernah dilalui oleh Ngah Ibrahim dan ada juga yang ditadbirkan semasa hayatnya seperti Bukit Gantang dan Matang.

Di kompleks ini,jenazah yang dijangka tiba pukul 2.30 petang akan disemadikan di halaman rumahnya sendiri yang dibina pada abad ke-19.


Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: