Posted by: zabidin | Mei 15, 2008

Bunga Raya, Tuah dan Teja

Oleh Zabidin Haji Ismail

SIAPA di antara anda yang tak kenal bunga raya? Bunga raya (Hisbiscus rosa-sinensis) – kelopaknya ada lima. Di tengah-tengah kelopak itu tumbuh stigma yang bermisai jarang. Bunga raya membiak subur di iklim tropika. Ia serasi tumbuh di tanah yang kurang air tetapi tidak kontang. Benih spesis ini menumbuh melalui batang. Cucuk sahaja ke tanah, dua-tiga minggu kemudian; batang itu bertunas, bercambah dan mengeluarkan daun daripada dahan-dahan kecil. Di celah-celah dedaunan itu akan menerbitkan kuntum-kuntum yang dikenali sebagai bunga raya.
Tetapi pelik ya, ada yang tak kenal bunga raya? Pergilah garden nursery boleh tengok spesis bunga raya pelbagai warna. Yang cantik dan menarik ialah bunga berwarna merah – simbol semangat, cekal dan berani.
+ Benarlah warga di luar sana dakwa anda tidak patriotik.
– Apa kena mengena bunga raya dengan patriotisme?
+ Patriotisme bermakna cinta. Bunga pula lambang cinta. Kan ada persamaan
– Entahlah, suka hatilah nak tafsir apapun. Ah! Ada cerita lain selain isu bunga raya?
+ Ada. Yang boleh dimanipulasikan untuk mengisi kantung. Kalau mahu, besok akan dijelaskan. Tapi jika mahu paksa minda berfikir, klunya: bunga raya juga.
– Ah! Lagi-lagi bunga raya.
+ O.k.lah nak jumpa Tuah sekejap.

2 TUAH – dia ini lelaki moden yang tinggal di pinggir bandaraya metropolitan bernama Hillperdana. Suka sangat dia memakai topi koboi, berseluar jeans biru dan berbaju lengan panjang corak berkotak-kotak. Tidak juga tua sangat – dua tahun lagi mencecah separuh abad usianya. Kerjanya bergaya, berlagak serta mundar-mandir di kebun bunga yang terletak di tepi bukit itu.
Lelaki ini bukan duda tetapi tunggal. Ke mana-mana bersendirian, berlagak dan bergaya. Dunianya mudah; makan, pakai dan menanam bunga raya. Entah kenapa spesis bunga raya hidup segar di kaki bukit itu. Agaknya air tangan Tuah rasi menanam bunga raya.
Di sini- tanah luas sekangkang kera yang dilihat dari udara, bentuknya seperti jantung pisang. Inilah tanah Tuah. Entah tanah warisan keluarga Tuah atau tanah disewanya – kitapun tak ambil tahu. Tuah tidak pernah tergerak nak bagi tahu.
Di sini – jantung pisang si Tuah ini selain dipenuhi spesis pelbagai warna bunga raya – di tengah-tengah tanah itu terdiri pula sebuah mahligai kecil milik Tuah. Asalnya pondok usang beratapkan nipah, tetapi telah dibaik-pulih dan dinaik-taraf.
Proses pembinaan mahligai hasil tangan orang seberang. Bahan-bahan binaan pula diimport, misalnya; lantai binaan daripada jubin made in Italy. Reka bentuk bangunan; cantuman kehalusan seni bina Islam Turki, Taj Mahal dan Melayu. Ciri-ciri keMelayuan terserlah pada bumbung – mempamerkan reka bentuk tradisional yang terkenal dengan bumbung lima. Sekali pandang macam rumah kutai Perak tetapi dua kali padang persis banglo kolonial Inggeris.
Apa pun mahligai itu seperti pemiliknya juga – unik. Tuah pun unik orangnya. Pakaian satu bab keunikan. Kehidupan satu bab keunikan lagi bahkan percakapan pun satu keunikan pula; semua unik. Bila bergebang dengan Tuah – slogan; “Tak kan pupus bunga raya di dunia” acap kali terpancul dari mulutnya. Tak kira ketika baru bersua ataupun kita nak minta diri. Ucap kita;
+ Aku nak balik ni, Assalamualaikum!
-Tak kan pupus bunga raya di dunia.
Uhh! Pelik sungguh si Tuah ini. Ucap salam tidak diterima, sebaliknya dijawab dengan slogan bunga rayanya. Apalah erti bunga raya dengan dia, aku dan kita. Entahlah, barangkali Teja sukakan bunga raya!

3 TEJA – ini perawan jelita. Wajahnya bujur sirih. Rambutnya ikal mayang. Senyumannya manis berbisa. Hidungnya mancung bak seludang. Kulitnya halus putih melepak. Suaranya manja menggoda. Sayang dia sebatang kara.
Keluarganya seramai lima orang – emak, bapa, abang, kakak dan adik lelakinya ‘hilang” lenyap dari dunia fana ini, dua tahun lepas. Terbunuh serta merta dalam satu kemalangan ngeri (kereta itu putus dua) di sebatang lebuh raya moden menuju selatan tanah air. Ketika itu mereka dalam perjalanan balik kampung untuk menyambut hari lebaran.
Teja selamat kerana tidak ikut sekereta – kenderaan milik arwah bapa yang dipandu abangnya sudah penuh muatan. Teja beralah, dia naik bas sahaja.
Si perawan Teja ini bengap sikit – SPM kandas. Hanya memiliki PMR. Sekarang bekerja di kediaman mewah seorang jutawan ke empat puluh sembilan kayanya di Asia. Kediaman itu terletak di Bukit Sentral, kira-kira sepelaungan dari mahligai Tuah di bandaraya Hillperdana.
Teja sebagai orang gaji Tan Sri Aliciarama. Tugasnya tidaklah sesukar mana – menyedia dan melayani makan-minum Aliciarama sewaktu berada di rumah. Teja pandai masak menu tradisional Melayu. Gulai tempoyak keli cukup digemari Aliciarama. Itu sebab Teja kekal lama bekerja di situ, tambahan pula Aliciarama suka sangat mendengar suara manja Teja. Lazimnya Aliciarama hanya empat atau lima hari sebulan makan di rumah, selebihnya di luar mengurus dan memantau bisnes lanskap.
+ Teja, kau minat tak bunga raya?
– Ah… bunga kolot tu? Tak…minat langsung!
+ Cantik apa! …merah, putih, jingga malah warna oren pun ada.
– Tak (seraya mencuihkan muncungnya). Bunga taik ayam o.klah.
+ Sayang sekali, perawan jelita sukakan bunga taik ayam…ka…ka.aaa
Dia Teja, minatnya tidak serupa dengan Tuah. Malah barangkali tidak pula sama dengan Aliciarama. Apatah lagi kita – masing-masing punya cita rasa berlainan, berbeza dan tersendiri. Tapi bunga raya cantik. Bunga raya menarik lambang cinta, ikon patriotisme. “Tak kan pupus bunga raya di dunia” – meminjam kata-kata Tuah.
+ +Tuah…Tuah kenapa kau suka bunga raya?.

4 BUNGA RAYA adalah kepunyaan Tuah. Ia juga kepunyaan Teja, bukan? Malah Adiciarama sendiri cari makan hasil jualan bunga, tentu sekali termasuk bunga raya. Pembina lanskap seperti Adiciarama mesti mengenali bunga raya walaupun tidak menyukainya seperti Teja. Suka atau tidak, bunga raya adalah patriotisme – ikon sebuah kecintaan!
Hari itu Teja bersiar-siar di sekitar Bukit Sentral tetapi terlajak ke pinggir Bandaraya Hillperdana. Dia terjengah di kebun bunga raya Tuah. Bunga raya pelbagai warna sedang kembang memenuhi laman mahligai berlantai jubin Itali dan berbumbung lima itu. Teja merapati mahligai tetapi Tuah muncul dengan segaknya.
+ Tak kan pupus bunga raya di dunia
– Walaupun cantik bunga raya ini tapi saya sukakan bunga taik ayam
+ Nah ambil ni, bunga taik ayam lupakan saja
– Oh bunga raya!
+ Lekatkan pada rambut ikal mayangmu
Tiba-tiba adegan Tuah membantu menyelitkan sekuntum bunga raya ke rambut Teja terbantut kerana sebuah kereta buatan Jerman versi C200 terhenti berhampiran mereka. Keluar seorang lelaki berwajah kacukan Pan Asia berdasi hitam dari kereta itu sambil merapati Tuah.
+ Teja apa kau buat di sini?
– Ti..ti..tidak tuan, saya nak balik
+ Tak apa. Saya nak jumpa pemilik kebun bunga raya ini
– Ti..ti..tidak saya nak masak gulai tempoyak keli untuk tuan
+ Nanti, kita balik sekali
Aliciarama berbincang dengan Tuah. Teja hanya memandang sahaja. Aliciarama dan Tuah bersalam-salaman. Aliciarama melangkah ke keretanya sambil mempelawa Teja masuk. Tuah melambai-lambai tangan kepada Teja. Teja tersipu-sipu. Kereta bergerak menuju Bukit Sentral meninggalkan Tuah dalam kesenyuman yang memanjang. Besok Tuah akan menanam lebih banyak benih bunga raya kerana dia menerima tempahan daripada Aliciarama sejuta batang untuk program kempen menanam pokok bunga raya gesaan pemerintah. Tuah merenung jauh di sebuah jendela mahligainya memandang ke arah Bukit Sentral. Hatinya terusik dengan kejelitaan Teja.

5 DI SEBUAH jendela kediaman Aliciarama menghadap ke pinggir bandaraya metropolitan Hillperdana, kelihatan Teja merenung jauh. Dia cuba menyambung semula adegan terbantut secara tiba-tiba sewaktu Tuah membantu menyelitkan sekuntum bunga raya merah ke rambutnya. Teja mula diresapi cinta bunga raya. Cinta Teja kepada Tuah sudah membunga.

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: