Posted by: zabidin | Disember 24, 2008

KIYAI SALLEH -Pelopor Sekolah Pondok di Temoh (1865-1961)

<!–[if gte mso 9]> Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE MicrosoftInternetExplorer4 <![endif]–><!–[if gte mso 9]> <![endif]–>
<!–[if gte mso 9]> <![endif]–><!–[if gte mso 9]> <![endif]–>

Oleh : Zabidin Haji Ismail

kiyai-sallehBuku The Modermist Moslem Movement in Indonesia 1900-1942 ( 1973 : 8) karya Deliar Noer menyebut istilah Kiyai berasal dari bahasa Jawa, bererti seorang yang alim dalam agama Islam. Kebanyakan dari mereka menumpukan kehidupan sepenuh masa sebagai guru agama. Kiyai hanya digunakan dikalangan orang-orang Melayu berketurunan Jawa. Manakala perkataan pondok berasal dari istilah bahasa Arab “fundung” iaitu tempat kediaman sementara. Di Indonesia, institusi-institusi pondok digelar “pesantren” terjadi dari perkataan “santri” bererti pelaja-pelajar (Aboebakar, Sejarah Masjid, 1955-411).

 

Bertolak dari dua istilah di atas, kita cuba membicarakan peranan yang dimainkan oleh seorang ulama pondok, Kiyai Haji Salleh Haji Abdul Rahman dalam memperkembangkan bidang pendidikan Islam di Temoh pada sekitar tahun 1912 hingga 1961.

 

Kiyai ini berasal dari Poerworedjo, Jawa Tengah, Indonesia dan dilahirkan pada 1865. Mendapat didikan agama dari beberapa buah pesantren di Tanah Jawa seperti di Tebireng dan Diombang. Dia meninggalkan Tanah Jawa kerana pada awal abad ke-20, Indonesia sedang bergolak serta mengalami tekanan ekonomi oleh perintah Belanda. Kebetulan pula Tanah Melayu ketika itu memerlukan pekerja-pekerja untuk perusahaan ladang getah. Justeru ada kemudahan yang diberikan oleh kedua-dua pihak : Belanda di Indonesia dan Inggeris di Tanah Melayu. Pada tahun 1907 dia tiba di Kuala Langat, Selangor. Kemudian berhijrah ke Batu Gajah, Perak. Di situ dia berkenalan dengan beberapa orang kenalan Jawa dan langsung membawanya ke Chendering untuk bekerja di sebuah ladang getah Jong Landor.

 

Tanah paya di hutan Temoh

 

Selepas tinggal beberapa tahun di Perak, Kiyai Haji Salleh mampu membeli beberapa hektar tanah paya di hutan Temoh, kira-kira 5 km dari Pekan Chenderiang. Di atas tanah tersebut, pada tahun 1912, dia membuka sebuah perkampungan yang dikenali sekarang sebagai Kampung Haji Salleh, Temoh Stesen serta mendirikan sebuah surau yang kemudiannya berkembang menjadi sekolah agama.

 

Penubuhan sekolah agama ini dimulakan mengikut sistem pondok tetapi kemudiannya berkembang mengikut sistem persekolahan moden. Antara mata pelajaran yang ditawarkan di pondok itu termasuk pengajian tauhid, fiqh, Al-Quran, tasawuf, tajwid, faraid, bahasa Arab dan mata pelajaran am.

 

Ia mendapatkan perhatian ramai sehinggakan ulama keturunan Arab, Syeikh Radhi datang mengajar di pondok tersebut. Pada tahun 1918, dua orang guru agama dari Indonesia dijemput ke situ oleh Kiyai Haji Salleh untuk mengajar di pondok tersebut. Mereka ialah Kiyai Annuar Abdul Wahid dan Kiyai Yahaya Haji Salleh.

 

Sekolah pondok itu merupakan sebuah pusat pengajian agama Islam yang terawal pernah wujud di daerah Batang Padang dan dipercayai sebuah institusi pengajian Islam pertama yang dipunyai oleh seseorang yang berketurunan Jawa di Perak. Ketika zaman emasnya, madrasah ini mendapat sambutan hangat, terutama daripada orang Jawa yang menetap di Tanah Melayu.

Pengaruh Jawa yang masih tebal ketika itu menyebabkan ramai pelajarnya digelar “anak-anak santri”.

Struktur pembinaan sekolah yang diasaskan Kiyai Haji Salleh ini agak berbeza dengan sekolah pondok lain seperti yang terdapat di Kedah dan Kelantan atua berlainan juga dengan Maahad Ihya al-Syarif di Gunung Semanggol. Ia merupakan sebuah bangunan panjang 100 kaki x 30 kaki bagi keperluan penempatan pelajar. Selain dari sebuah asrama yang boleh memuatkan lebih kurang 10 orang “anak-anak santri”, Kiyai Haji Salleh telah membina pula sebuah madrasah yang digelar secara mudah sebagai al-Madrasah al-Arabiah yang dibina selepas Perang Dunia Pertama.

 

Dengan adanya kemudahan asrama itu, ramai pelajar berketurunan Jawa dari Selangor, Johor, Negeri Sembilan serta tidak terkecuali dari Perak sendiri khususnya yang berdekatan seperti Teluk Anson, Bagan Datoh, Sungai Sumun, Chenderong Balai, Changkat Petai, Sungai Manik, Tanjong Malim, Tapah, Slim, Parit, Malim Nawar dan Kuala Kangsar datang belajar di situ.

 

Kromo Inggil

 

Namun demikian, asrama itu tidak dapat menampung pelajar dan memaksa Kiyai Haji Salleh membina sebuah lagi madrasah yang lebih besar yang dinamakan al-Madrasah al-Jawawiah. Ia terletak berdekatan dengan al Madrasah Arabiah. Ketika itu jumlah pelajarnya meningkat seramai 400 orang. Sungguhpun madrasah itu adalah sekolah agama, ia lebih merupakan sekolah umum kepada orang Jawa kerana bahasa pengantarnya bahasa Jawa asli, iaitu Kromo Inggil.

 

Menjelang tahun 1934, bangunan tambahan untuk menempatkan lebih ramai pelajar telah dibina dan dinamakan al-Madrasah al-Saadiah, Temoh mengambil sempena nama isteri Kiyai Haji Salleh iaitu Nyai Hajah Saadiah.

 

Pada tahun 1949 madrasah itu memasuki zaman baru apabila Kiyai Haji Salleh membenarkan ia dikendalikan oleh sebuah lembaga pentadbir bagi melicinkan pentadbirannya. Semenjak itu, sistem pengajian madrasah ini berkembang dalam bentuk formal sehingga menenggelamkan pengajian siatem pondok yang masih terdapat di al-Madrasah al-Jawawiah dan lama-kelamaan nama tersebut lenyap dan masyarakat luar cuma mengenalinya sebagai al-Madrasah al-Saadiah, Temoh sahaja.

 

Seiring itu, madrasah berkenaan mula mengambil pelajar perempuan. Pada tahun 1954, kira-kira 60 pelajar perempuan belajar di situ. Pertambahan pelajar perempuan menyebabkan Kiyai Haji Salleh membina sesebuah bangunan baru dinamakan Madrasah al-Salibiah,Temoh dan dirasmikan oleh raja Muda Perak, Sultan Idris pada tahun 1955. Bangunan itu untuk pelajar perempuan sahaja tetapi pentadbirannya masih di bawah satu bumbung dengan madrasah al Saadiah.

 

Selepas perasmian itu, madrasah ini menghapuskan kaedah pengambilan pelajar yang bercirikan kejawaan. Pada tahun tersebut seramai 150 pelajar perempuan Melayu yang terdiri kaum Mandehiling, Rawa, Banjar, Natar, Keribchi, Batu Bara, Perak dan lain-lain turut diterima balajar di madrasah tersebut.

 

Pada tahun 1955 merupakan zaman kemuncak Madrasah al Saadiah-Salihiah kerana jumlah murid yang belajar menjangkau seramai 700 orang yang datangnya dari seluruh negara. Manakala peningkatan palajar bukan Jawa mencapai kadar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di situ.

 

Kiyai Haji Salleh seorang yang dianggap sebagai “pakar rujuk” berhubung hal ehwal agama Islam oleh masyarakat setempat terutama berhubung soal perkahwinan, penceraian, harta pusaka, permasalahan hukum-hukum dan sebagainya. Selain sebagai imam dan guru agama yang disegani dan mengumpulkan ulama dari seluruh tanah air dalam pelbagai majlis yang diadakan seperti majlis Maulud dan Mikraj di madrasahnya.

 

Ulama terkemuka

 

Kiyai Haji Salleh pernah mengundang ulama terkemuka tanah air waktu itu, termasuk Ustaz Abu Bakar Baqir (Gunung Semanggol), Tuan Haji Ahmad Badawi (Kepala Batas, Seberang Perai), dan Ustaz Taqyuddin al Qendil ( Mudir al Madrasatul Alawiah, Arau, Perlis) yang turut menyemarakkan syiar Islam di Temoh.

 

Sungguhpun beliau adalah seorang pendatang dan menjadi ketua kepada keturunannya sendiri di Temoh, namun dia tidak mengasingkan diri daripada masyarakat di luar kawasannya. Beliau telah bersahabat dengan ketua-ketua kampung yang lain di kawasan Temoh seperti AnjangAhmad (ketua Kampung Perak) dan Wan Ahamd Wan Ngah (Ketua Kampung Temoh Stesen).

Perhubungan Kiyai Haji Salleh dengan kaum lain juga baik kerana beliau mempunyai hubungan perniagaan dengan mereka. Kiyai Haji Salleh pernah membuka kedai pada tahun 1937 dan mempunyai saham perlombongan dalam syarikat lombong Cina di Kampar, Perak.

 

Allhyarham juga menjadi sahabat baik dengan Sultan Perak, Sultan Iskandar Shah (1918-1938) juga terkenal sebagai seorang ulama. Di samping itu, dia juga tidak membataskan persahabatan denganorang-orang politik. Beliau selalu dikunjungi tokoh-tokoh politik baik dari kalangan tokoh UMNO seperti Allahyarham Sadon Jubir (Tun; Bekas Gabenor Pulau Pinang) mahupun dari kalangan PAS seperti Allahyarham Dr. Burhanuddin al-Helmi (Bekas Presiden PAS) terutama ketika Tanah Melayu sedang dilanda gelombang nasionalisme Melayu dan kemerdekaan.

 

Sesungguhnya jasa bakti Kiyai Haji Salleh cukup besar dalam menyemarakkan syiar Islam di negeri ini khususnya di Temoh. Usahanya telah meninggalkan kesan, bukan sahaja di kalangan pelajar madrasah yang diasaskannya tetapi juga di kalangan masyarakat tempatan. Sesuai dengan peranannya itu, Sultan Perak, Sultan Yusoff Izuddin Shah telah mengurniakan tauliah Jaksa Pendamai (JP)sebelum Kiyai Haji Salleh meninggal dunia pada tahun 1961. Al-Fatihah buat Kiyai.

 

Rujukan:

Aboebakar, 1955. Sedjarah Masjid, Jakarta : N.V Visser & Co.

Badriyah Haji Salleh (Dr), 1984. Kampung Haji Salleh dan Madrasah Saadiah-Salihiah 1914-1959, KL:DBP

Deliar Noer, 1873. The Modermist Moslem Movement in Indonesia 1900 – 1942. London Oxford University Press

Tajuddin Saman; Ulama Pondok Yang Disegani. Berita Harian 2 Oktober 1992.

 

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: