Posted by: zabidin | Jun 14, 2008

DR BURHANUDIN AL HELMI: Putera Besar Melayu Raya

Putera Besar Melayu Raya

Di atas runtuhan kota Melaka

kita bangunkan jiwa merdeka,

bersatulah Melayu seluruh baka,

membela hak keadilan pusaka…”

Inilah syair klasik karya Dr Burhanuddin yang dirakamkan oleh Hamka dalam bukunya Dari Perbendaharaan lama (1981: 174). Syair itu sebenarnya telah diungkap Dr Burhanuddin ketika menyampaikan ucapan perdananya di Kongres Ke-2 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di Melaka dalam tahun 1946.

Hamka merakamkan puisi lama itu ke dalam bukunya barangkali kerana pengaruh syair itu yang meluas di kalangan pejuang-pejuang tanah air di masa lampau yang sering mengungkapkannya semasa berjuang menggerakkan dan menaikkan semangat orang-orang Melayu supaya bangkit menentang penjajah Inggeris.

Syair yang tidak bermakna itu sudah luput dari ingatan, namun ia tetap penting sebagai karya peninggalan seorang tokoh politik yang telah banyak menyumbangkan peranan penting dalam kebangkitan semangat kebangsaan Melayu pada abad ke-20 di Tanah Melayu.

ZAMAN AWAL : Latar belakang pendidikan

Dr Burhanuddin, anak Perak kelahiran Kampong Changkat Tualang, Kota Baru, dilahirkan pada 29 Ogos 19111. Bapanya, Haji Muhammad Noor, seorang petani yang alim dan ahli tasawuf. Susur-galur sebelah bapanya adalah dari keluarga bangsawan Sungai Jambu, Batu Sangkar, Sumatera Barat, Indonesia manakala ibunya bernama Sharifah Zaharah binti Habib Osman yang berasal dari kampung kelahiran beliau.

Sejak kecil lagi Dr Burhanuddin mendapat asuhan dan bimbingan daripada ibu bapanya dari segi pendidikan agama. Beliau sudah bersembahyang fardu semenjak usianya tiga tahun, khatam al-quran ketika berumur sepuluh tahun dan mampu menghafal lebih separuh isi kitab suci itu.  Orang tuanya telah memberikan pelajaran agama dan didikan kerohanian kepadanya lantaran itulah beliau pernah mengungkapkan keterangan mengenai bapanya;

Ayahanda saya adalah seorang tasawuf dan bertariqat Naqsyabandi dan waraknya. Maka saya pun dari kecil dilatihnya warak dan mesti kuat beribadat mengikut-ikut dia sembahyang berjamaah, membaca Qur’an dan berzanji…(Burhanuddin, 1971: 36)

Pendidikan Dr Burhanuddin secara formal bermula di Sekolah Melayu Behrang Ulu, Tanjung Malim dan kemudian di Sekolah Melayu Bakap sehingga darjah tiga. Selepas itu beliau menyambung persekolahan di Kota Bharu, Perak dan pada waktu yang sama dia mula menceburkan diri ke dalam bidang penulisan dengan menerbitkan sejenis akhbar mingguan Berita Minggu2 (Kamarudin 1980: 4). Pada peringkat awal pendidikannya, antara tahun 1917 sehingga 1923, ajaran agama dan kerohanian lebih menguasai diri Dr Burhanuddin (W. Mohd Azam 1997: 59).

Sesungguhnya, pembentukan jiwa Islam semenjak kecil telah memupuk akhlak mulia serta semangat keIslaman yang tinggi ketika beliau dewasa dan sebagai benteng pertahanan yang kental daripa pelbagai serangan spritual dan fizikal misalnya terpaksa menjalani tahanan ISA semasa berjuang di arena politik tanah air pra-merdeka.

Sebaik sahaja tamat sekolah Melayu pada tahun 1924, beliau dihantar oleh bapanya ke Sungai Jambu, Padang Panjang, Sumatera, Indinesia, untuk belajar ilmu agama (Nabir Hj. Abdullah, 1976: 87). Di sini beliau berguru dengan ulama-ulama Kaum Muda3 dan berfaham progresif tentang Islam. Ulama-ulama ini tidak lagi membawa fahaman lama yang jumud dan beku. Burhanuddin telah menceritakan pendidikan yang dialaminya di Indonesia:

Bila saya lepas belajar keluar di Indonesia dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula ulama’-ulama’ kaum muda dan berfaham progresif dalam Islam, maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan-keterangan moden.(197: 36-37)

Melalui pembacaan dan tunjuk ajar daripada ulama yang berfaham progresif, Dr Burhanuddin berfikiran sealiran dengan guru-gurunya. Di Indonesia juga beliau telah mempelajari bahasa Belanda. Beliau berada di Indonesia selama dua tahun.

Pada tahun 1926 setelah kembali ke tanah air, bapanya telah menghantar Dr Burhanuddin ke Pondok Pulau Pinang, Jitra, Kedah. Beliau tidak lama belajar di institusi terbabit kerana dikatakan sukatan pelajarannya agak rendah dan tidak sesuai dengannya. Lantaran Itu, pada tahun 1927 (Burhanuddin, 1954b: 6) beliau memasuki Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiyyah, Pulau Pinang. Di madrasah ini beliau belajar sehingga tamat tingkatan menengah atas (Thanawi) (Saliha Hj. Hassan, 1997: 23) dan berjaya menguasai bahasa Arab (Kamarudin 1980: 4).

Pada tahun 19284 atas anugerah biasiswa oleh hartawan-hartawan India Islam di Pulau Pinang, Dr Burhanuddin pergi ke India untuk mengembara dan menuntut ilmu (W. Mohd Azam 1997: 23). Di India beliau banyak menimba pengalaman dalam pergerakan kemerdekaan dari Mahatma Ghandi serta pernah berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah, pengasas negara Islam Pakistan dan Pandit Nehru di samping beberapa pemimpin kemerdekaan India yang lain (Kamarudin 1980:4). Pengalaman beliau di India dinukilkannya begini:

Masa saya di India saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis dan dalam mempelajari ilmu kedoktoran Hemeopathy, asas bahasa Belanda memudahkan saya mempelajari bahasa German (1971: 37)

Berdasarkan keterangan di atas, Dr Burhanuddin telah mempelajari lima bahasa iaitu Arab, Belanda, Inggeris, Perancis dan German. Ada pendapat yang mengatakan bahawa beliau menguasai sedikit-sedikit sahaja bahasa Inggeris (Alias Mohamed, 1982:111) adalah tidak munasabah kerana ilmu perubatan hemeopati itu dipelajari dalam bahasa tersebut. Dari segi pembacaannya pula, Dr Burhanuddin menyebut bahawa beliau telah membaca banyak buku:

Maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti “al-Manar”, “al-Fath”, saya pelajari ilmu-ilmu “Usul al-Fiqh”, “Usul al-Ahkam”, “Madhahib al-Arba’ah…(1971:37)

Melalui pembacaan, mindanya terbentuk ajaran Islam secara lebih mendalam berkaitan dengan Fiqh dan sebagainya. Malahan pembacaan yang begitu meluas itu telah mendorong beliau untuk mendalami ilmu tasawuf lebih-lebih lagi ketika menyiapkan tesis Ph.D di Aligarh Muslim Universiti, India. Beliau telah membaca karangan ulam-ulama tasawuf seperti al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifai, al-Rumi. al Qusyairi, Ibn ‘Ata’ dan lain-lain lagi (Burhanuddin 1971:31).

Pengetahuan tinggi terhadap pemukiran-pemikiran moden telah membentuk dirinya sebagai seorang reformis dan ini ditokok-tambah dengan pembelajaran yang begitu luas telah dijadikan beliau sebagai intelektual Islam yang berkelulusan ijazah kedoktoran dalam bidang homeopati: Medical Doctor of Homeopathy (MDH). Menurut satu sumber:

Kecuali mereka yang benar-benar rapat dengannya, saya yakin sedikit sekali orang mengenai beliau sebagai professor dan mahaguru yang mempunyai ijazah-ijazah kedoktoran yang banyak seperti MDH (Medical Doctor of Homeopathy), ND (Doctor of Naturopathy), DD (Doctor of Divinity) dan yang terakhir sekali MDEH, saya tidak tahu gelaran sepenuhnya….(Rashidah Ismail, 1969:23).

Ijazah-ijazah kedoktoran seperti D.D dan N.D yang telah diterimanya daripada negara-negara yang telah diperakui oleh badan perubatan hemeopati antarabangsa dan ini terbukti apabila beliau dianugerahkan pingat emas World Order of Human Merit. Perolehan ijazah-ijazah tertinggi itu telah menyebabkan nama Dr Burhanuddin dicatatkan dengan tulisan emas dalam kamus riwayat hidup antarabangsa (Dictionary of International Biography) (W. Mohd Azam 1997:61).

Dr Burhanuddin bukan sahaja mahir dalam bidang perubatan tetapi juga seorang cendikiawan Melayu yang boleh digelar professor, mampu menguasai dalam beberapa antarabangsa dan memiliki ijazah-ijazah yang tertinggi adalah seorang tokoh yang serba boleh. Abdullah Hussain telah mengiktiraf beliau dengan menyatakan:

Dr Burhanuddin merupakan putera Melayu dilahirkan untuk mengisi dunia intelektual dengan kebenaran, keindahan dan keadilan (Dewan Masyarakat, Nov. 1969:28)

Sesungguhnya kembara dr Burhanuddin di India telah diisi dengan memperolehi berbagai-bagai ijazah kedoktoran. Beliau mendapat ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) daripada Universiti Islam Aligarh, India (Saliha Hj. Hassan 1974: 2) manakala ijazah kedoktoran homeopati daripada Ismaeliah Medical College, New Delhi (Rashidah Ismail 1969: 23). Pencapaian tinggi dalam bidang kedoktoran homeopati telah meletakkan beliau sebagai anak Melayu yang pertama berijazah homeopati.

Pada tahun 1935, beliau telah belayar ke Palestin sebelum kembali ke tanah air ketika berusia 24 tahun setelah melakarkan pelbagai kecemerlangan dalam bidang pendidikan di India.

Keperibadian

Ayahanda Dr Burhanuddin, Haji Muhammad Nor dikatakan berketurunan bangsawan Melayu Jati5 dab menerima pendidikan daripada beberapa oaring guru kenamaan di Makkah termasuk Sheikh Mohammad Khatib Minangkabau. Haji Muhammad Nor digelar oleh rakan-rakannya sebagai Abi Halim kerana beliau tidak mementingkan kebendaan, kesenangan dunia seorang yang tidak mudah marah serta sentiasa tersenyum (Saliha Hj. Hassan 1997:20).

Sempena dengan gelaran bapanya, Dr Burhanuddin menggunakan Al Hulaimi di hujung namanya dan kemudian dipopularkan umum menjadi Al Helmi, yang bermakna “orang yang tidak marah”. Pilihan kata asal Al Hulaimi itu benar-benar melambangkan keperibadian Dr Burhanuddin yang lemah-lembut, santun, tenang, sabar dan pendiam. Istilah Al Hulaimi menurut hukum tatabahasa Arab mempunyai makna yang sama dengan Al Helmi tetapi dalam bentuk yang merendah atau lebih kecil (Saliha Hj. Hassan 1997:20).

Dr Burhanuddin juga dikenali dengan mesra: Pak Doktor di kalangan rakan-rakan seperjuangan dan orang biasa (Saliha 1997:20). Beliau dikenang oleh golongan marhean dan yang pernah bergaul dengannya sebagai seorang yang jujur dan tidak suka berprasangka jahat terhadap rakan seperjuangan atau lawan politiknya.Hal ini dijelaskan oleh Mustapha Hussain, rakan seperjuangannya dalam PKMM dengan menyatakan:

Dalam perdampingan saya dengan Dr Burhanuddin, saya dapati bahawa beliau seorang yang rajin, amat berjiwa rakyat, tulus dan ikhlas. Ilmu agama yang dipelajarinya di Sumatera dan India telah digunakan sepenuhnya untuk perjuangan rakyat. Tetapi beliau ada satu kelemahan. Orang-orang yang dicurigai oleh puak kiri sebagai “musang berbulu ayam” telah diterima dan dilayan seperti adik kandungnya sendiri sehinggakan banyak rahsia parti yang diketahui oleh puak penentang. (Insun Sony Mustapha 1999:493)

Dr burhanuddin mengisi masa lapangnya dengan membaca, menulis dan mendengar radio sehingga jauh-jauh malam atau dengan beribadat. Dari segi amalan peribadinya, beliau bersungguh-sungguh mengerjakan kewajipan sebagai seorang Islam, banyak berzikir dan kerap mengalirkan air mata apabila beliau menginsafi kekerdilan manusia dalam hubungan dengan Penciptanya. Beliau gemar mengamalkan sembahyang tahajud di waktu dinihari dan pengikut setia Tariqat Na’Syabandiah (Saliha 1997:22).

Dr Burhanuddin seorang ahli sufi walaupun beliau tidak pernah mengatakan bahawa beliau seorang ahli sufi. Hal ini dinyatakan oleh seorang rakan seperjuangan beliau dengan menyebut:

Sepanjang hayat saya, saya belum pernah lagi berjumpa sengan orang-orang yang berkebolehan seperti Dr Burhanuddin. Ramai yang sufi tetapi tidak pula alim bahasa, ramai pula orang alim bahasa tetapi bukan pula ahli politik, ramai orang ahli politik tetapi bukannya orang sufi, ada juga agaknya orang yang ahli bahasa merangkap ahli politik tetapi bukannya seorang doctor perubatan, dan doctor jiwa atau, mungkin ada memiliki segala-galanya yang dimiliki oleh Dr Burhanuddin umpamanya tetapi tidak serendah hati beliau terhadap semua manusia (Majid Saleh, 1991:5-6)

Sifat-sifat keperibadian yang dimiliki oleh Dr burhanuddin itu telah menonjolkan beliau sebagai seorang yang istimewa kesabaran dan ketekunannya dalam memperjuangkan cita-cita politiknya iaitu kemerdekaan tanah air, kebangsaan Melayu dan Islam.

ZAMAN PERJUANGAN: bermula di Singapura

Dr Burhanuddin pulang ke tanah air pada tahun 1935 dan terus menjadi guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al Juned, Singapura. Di samping itu, beliau juga aktif di dalam pergerakan Islam di pulau itu (Kamarudin 1980:5) misalnya dengan menyertai Jama’atul Islamiah. Pada tahun 1937, beliau menerbitkan sebuah majalah bernama Taman Bahagia yang secara terang-terangan anti-Bristish. Saliha telah menulis:

When he come back to Singapore in 1938, he edited an anti-British newspaper called “Taman Bahagia”. This effort was shortlived since he was arrested by British authority within one and half hours of its publication (1974:2)

Umur majalah ini tidak panjang hanya sempat beredar untuk keluaran pertama kerana dianggap berbahaya oleh pemerintah Inggeris. Kerana majalah ini dia ditahan oleh polis cawangan khas Singapura. Selepas dibebaskan, beliau membuka klinik homeopati di Singapura dan di Johor Bahru dengan bantuan seorang doctor India bernama Dr.N.Rajah (Rashidah 1969:23).

Zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu

Pada tahun 1939, beliau diperkenalkan kepada Kesatuan Melayu Muda (KMM) oleh Mustapha Hussin – pemimpin KMM. Dr Burhanuddin dianggap tidak bahaya dalam KMM kerana tidak begitu aktif berbanding pemimpin-pemimpin KMM yang lain seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohammad, Ahmad Boestamam dan Sutan Djenain. Justeru itu, beliau terlepas daripada mangsa tangkapan British pada tahun 1940 iaitu menjelang Perang Dunia ke-2.

Semasa pendudukan Jepun, Dr Burhanuddin diberikan jawapan tertinggi bagi orang Melayu iaitu Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu (Advisor on Malay Custom and Culture) dan berpejabat di Markas Pentadbiran Tentera Jepun di Taiping (Kamarudin 1980:5).

Menerusi jawatan ini, beliau menyediakan wadah pembebasan Tanah Melayu dari sebarang bentuk penjajahan. Di samping itu, beliau berkesempatan pula bertemu dan bergaul dengan pemimpin-pemimpin Islam seperti Ustaz Abu Bakar Baqir (Pengetua Maahad II-Ihya AsSyarif).

Beliau turut mengambil peluang daripada jawatannya untuk mendampingi, melindungi dan membantu pusat pendidikan Islam yang termuka dari segi sosial dan politik di Gunung Semanggol, Taiping: waktu itu bernama Maahad II-Ihya AsSyarif (Nabir Hj. Abdullah, 1976: 87-88). Perhatian beliau terhadap Maahad ini begitu tinggi kerana sebelum pendudukan Jepun institusi telah banyak melahirkan guru-guru yang berpendidikan agama.

Dalam tahun 1945, Dr Burhanuddin bersama-sama Onan Siradj, Ibrahim Yaacob dan lain-lain pemimpin KMM menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) yang dirancang dengan sokongan Jepun untuk menguruskan kemerdekaan Malaya dalam konsep Melayu Raya (Kamarudin 1980:5).

Pada 12 Ogos 1945, Dr burhanuddin dan Ibrahim Yaacob mewakili KRIS mengadakan pertemuan dengan Ir. Sukarno dan Dr. Hatta di Taiping bagi membincang untuk mengistiharkan kemerdekaan Tanah Melayu (Malaya) dan Indonesia secara serentak pada 17 Ogos 1945. Rancangan ini gagal kerana tiga hari sebelum tarikh pengistiharan kemerdekaan akan diumumkan iaitu pada 14 Ogos 1945, Jepun secara tiba-tiba terpaksa menyerah kalah kepada kuasa Berikat setelah Nagasaki dan Hirosima dimusnahkan oleh serangan dua butir bom atom Amerika Syarikat pada 6 dan 9 Ogos 1945. Akibat penyerahan Jepun ini telah memberi peluang kepada British menduduki Malaya semula (Saliha 1997:27).

Walaupun Sukarno meneruskan rancangan, Dr Burhanuddin tidak dapat berbuat demikian untuk Tanah Melayu kerana kumpulan-kumpulan yang menentang Jepun telah pun menguasai keadaan. Bayangkanlah sekiranya rancangan ini tidak gagal, kedudukan Dr Burhanuddin dalan politik dan pemerintahan tidak syak lagi menjadi amat tinggi dan penting sekali.

Pasca pendudukan Jepun di Tanah Melayu

Namun begitu, kegagalan ini tidak mematahkan semangat Dr Burhanuddin untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah. Beliau menganggotai PKMM setelah ia ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 dalam satu kongres Melayu di Ipoh. PKMM merupakan pertubuhan politik Melayu yang pertama selepas British kembali semula mencengkam Tanah Melayu. Moktaruddin Lasso ialah presiden yang pertama dan Dr Burhanuddin sebagai naib presiden (Kamarudin 1980: 5).

Ketika PKMM di bawah pimpinan Dr Burhanuddin, PKMM menyertai pakatan 39 pertubuhan Melayu seluruh tanah air untuk menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PEKEMBAR) atau UMNO pada 11 Mei 1946 kerana menentang gagasan Malayan Union tajaan British (Kamarudin 1980: 6). Setelah Malayan Union dibatalkan, PKMM keluar daripada bergabung dengan UMNO. Dr Burhanuddin mempunyai beberapa sebab mengapa perpisahan terpaksa dilakukan. Antaranya beliau berkata:

Setelah kita rasa dan ukur perasaan jiwa perjuangan kita dan rasa jiwa perjuangan Pertubuhan Kebangsaan Melayu berlainan “rail” (landasan). Ada lebih baik buat sementara untuk melapang dan memudahkan masing-masing menuju dan berjuang membela hak dan keadilan putera Melayu (Perjuangan Kita 1946).

Dr Burhanuddin agak radikal dalam sebarang tindakan demi memperjuangkan prinsip politiknya. Ini jelas terbukti pada bulan Februari 1947, PKMM, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan beberapa pergerakan lain bergabung dalam satu pertubuhan bernama Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) untuk menentang UMNO dalam menentukan corak dan lanskap politik Malaya.

Kemudian PUTERA bersekutu pula dengan All Malaya Council for Joint Action (AMCJA) bergabung tenaga untuk menentang UMNO dan British. Gabungan ini dipengerusikan oleh Dr Burhanuddin dengan menegaskan pendiriannya.

Tetapi kita terpaksa berpisah kembali kerana perbezaan anggaran dasar perjuangan, kita akan kecewa selagi kita berada dalam PKMBAR (UMNO) iaitu kita akan menjadi alat penjajah maka terpaksalah kita keluar (1955).

Semasa menjadi Yang DiPertua Agung PKMM, Dr Burhanuddin berjaya menganjurkan “Persidangan Ekonomi-Ugama SeMalaya” pada 22-24 Mac 1947 di Maahad II-Ihya Assyarif, Gunung Semanggol, Perak. Persidangan ini telah mencetuskan penubuhan Pusat Perekonomian Melayu seMalaya (PEPERMAS) dan Majlis Agama Terringgi Se Malaya (MATA) (Nabir 1976: 110).

Pada penghujung tahun 1947, Dr Burhanuddin mengetuai perwakilan Malaya ke Inter-Asian Relations Conference di New Delhi (Kamarudin 1980: 7). Persidangan ini membuka peluang baginya berkenalan dan berbincang tentang gerakan-gerakan menentang penjajahan bersama-sama pemimpin kemerdekaan negara-negara Asia.

Pada 14 Mac 1948, Dr Burhanuddin terlibat menubuhkan Parti Hizbul Muslimin (Nabir 1976: 59) di Maahad II-Ihya AsSyarif Gunung Semanggol. Peranannya dalam parti baru ini tidak menyerlah kerana pada bulan Jun 1948 undang-undang darurat telah diistiharkan oleh British. Lantaran itu, PKMM telah diharamkan dan beberapa pemimpinnya telah ditangkap temasuk tokoh-tokoh Hizbul Muslimin seperti Abu Bakar Baqir dan Ustaz Abrab Tamimi.

Selepas penangkapan besar-besaran itu, Dr Burhanuddin berpindah ke Singapura. Tetapi pada bulan Disember 1950, beliau ditangkap oleh Inggeris kerana disyaki terbabit dalam kes Natrah Hertogh6. Beliau dibebaskan setahun kemudian.

Pada April 1955, Dr Burhanuddin dijemput menghadiri Kongres Pemuda Melayu SeMalaya di Kuala Lumpur. Beliau, kemudian dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemandu dan sekaligus diberi mandat mewakili Malaya ke Persidangan Afro-Asia yang diadakan di Bandung.

Sekembalinya dari Bandung Dr Bahanuddin berkempen dalam pilihanraya kebangsaan pada bulan Julai 1955 atas platform Barisan Kebangsaan Melayu yang telah ditubuhkan oleh Kongres Pemuda Melayu seMalaya (Kamarudin 1980: 8). Mengenai pilihan raya pertama itu, Dr Burhanuddin dikatakan mengkritik UMNO dan Parti Negara (pemimpin Dato’ Onn Jaafar) dan menyatakan keraguan terhadap pilihanraya tersebut (Means 1976: 154-5) tetapi Means tidak pula menyatakan sebabnya.

Selepas pilihanraya itu Dr Burhanuddin turut bersama merancang menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM). Namun setelah PRM dilancarkan pada 11 November 1955 atas persetujuannya, Ahmad Boestamam dilantik menjadi Ketua Umum parti itu (Ahmad Boestamam 1972b: 45-53), sebaliknya beliau menjadi ahli Parti Islam Se Tanah Melayu iaitu pada bulan Disember 1956 (Kamarudin 1980: 8).

Kemudian pada 25 Disember 1956 dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS yang ke-5, beliau terpilih sebagai Yang DiPertua Agung parti itu (Kamarudin 1980: 8). Semasa pilihanraya tahun 1959 Dr Burhanuddin memenangi kerusi Parlimen Besut, Terengganu atas tiket PAS tetapi pada Pilihanraya 1964 beliau didapati tidak layak bertanding kerana sebuah mahkamah mendendanya sebanya $25,360 bersabit satu kesalahan teknikal dalam sebuah syarikat perniagaan7 (K.J Ratham dan R.S Milne, 1967: 17).

Pada Januari 1965, Dr Burhanuddin ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa terbabit menyokong Indonesia dalam konfrontasi Malaysia-Indonesia. Dr Burhanuddin jatuh sakit semasa di dalam tahanan dan penyakitnya tidak baik setelah dibebaskan pada bulan Mac 1966. Pembebasan beliau bersyarat – tidak boleh melibatkan diri dalam politik tetapi pada 22 September 1969 syarat tersebut ditarik balik. Namun pada 25 Oktober 1969 Dr Burhanuddin meninggal dunia kerana keuzuran ketika masih lagi menjadi Yang Dipertua PAS.

KARYA YANG DIHASILKAN

Sebagai seorang penulis, Dr Burhanuddin telah menghasilkan beberapa buah buku dan koleksi pidato. Karyanya merangkumi pelbagai bidang seperti perubatan, politik dan tasawuf. Karangan beliau salam bidang perubatan homeopati ialah Falsafah Perubatan Homeopathy, Biochemistry, Materia Medica, Sejarah Perubatan, Asas Pamkopia Homeopathy dan Mutiara Homeopathy (Deli Muin, 1985: 66).

Karya dalam bidang politik dan tasawuf ialah Perjuangan kita diterbitkan pada tahun 1946, Falsafah Kebangsaan Melayu (1954), Ugama dan Politik (1954), Ideologi Politik Islam (1957), Arab Perjalan Politik Tanah Melayu Sekarang (1963) dan Simposium Tasawuf dan Tariqat (1972 cetakan ke-2).

Kebanyakan karya Dr Burhanuddin bertemakan politik yang khususnya membicarakan pandangan serta konsep pemikiran politik yang diutarakan oleh beliau seperti konsep politik Islam, Falsafah Kebangsaan Melayu, Melayu Raya, Ilmu tariqat dan sebagainya. Jelas bahawa bidang penulisan juga merupakan satu lagi kemahiran yang ada pada diri Dr Burhanuddin.

SIKAP DAN IDEALISME POLITIK

Biografi hidupnya menggambarkan bahawa Dr Burhanuddin seorang yang warak dan begitu aktif dalam arena politik. Hasil daripada pembacaan yang banyak tentang politik, gerakan Islam, pendidikan dan sebagainya, beliau mempunyai kesedaran yang mendalam tentang agama, bangsa dan negara. Baginya politik ialah alat kepada agama, kerana politik boleh berubah-ubah tetapi agama adalah tetap. Beliau mengesahkan dalam karyanya Agama dan Politik pada tahun 1954:

Politik itu berubah-rubah tetapi agama tetap. Agama tidak boleh disesuaikan dengan politik, tetapi politik itulah yang mesti disesuaikan dengan agama. Agama dengan sendirinya berisi berbagai-bagai ragam politik tetapi politik itu bukan agama (Kamarudin 1980: 158)

Kegiatan politiknya dikesan semenjak awal 30-an iaitu apabila beliau ditahan oleh British akibat penentangan terhadap Deklarasi Belfour di Palestin. Beliau telah ditahan beberapa bulan di sana (W. Mohad Azam 1997: 68). Namun penglibatan politiknya di tanah air bermula sekitar tahun 1935 setelah kembali daripada luar negara dan sehingga akhir hayatnya pada tahun 1969.

Dalam tempoh melebihi tiga dekad itu, penulis mengesani bahawa Dr Burhanuddin mempunyai idealisme politik yang tersendiri yang terpancar daripada tindakan, ucapan serta tulisan beliau. Kamarudin Jaafar merumuskan Dr Burhanuddin mempunyai tiga ciri utama iaitu: (i) Merdeka, (ii) Kebangsaan Melayu dan (iii) Islam (Kamarudin 1980: 9).

Kenyataan tersebut diperjelaskan lagi oleh W. Mohd Azam Mohd Amin yang merumuskan idealisme politik Dr Burhanuddin menjurus kepada tiga dasar yang utama: (i) Semangat keIslaman, (ii) Semangat Kebangsaan yang luas dan (iii) Penentangan terhadap penjajah (W. Mohd Azam 1997: 75).]

Idealisme-idealisme politiknya diperjuangkan menurut kesesuaian dengan perkembangan politik mengikut tahap perjuangan. Misalnya dimula dengan proses membangkitkan kesedaran umat Melayu untuk merdeka dan memerintah sendiri. Ini diikuti dengan menyatupadukan jiwa-jiwa yang telah disedarkan dan bermaruah ini ke dalam satu pergerakan yang berkesan dan mampu untuk menentukan rupa bangsa dan asas-asas pemerintahannya sendiri (Saliha 1974: 38-39).

Dalam perjuangan, Dr Burhanuddin tidak terkeluar dari tiga dasar di atas. Perjuangannya yang berasaskan Islam, tanah kebangsaan yang asal dan juga kemerdekaan bangsa daripada penjajahan terbukti sukar ditandingi apabila diberi mandat memimpin satu pergerakan atau pertubuhan. Kepimpinannya menggerakkan KMM (1945), Presiden KRIS (1945), Presiden PKMM (1946), Pengerusi PUTERA (1947), Penasihat PKMM (1947) dan Presiden PAS (1956) tetap unggul dan karismatik.

Implikasi daripada keunggulan ini, Dr Burhanuddin telah digelar dengan pelbagai gelaran seperti Pejuang Islam, Sayap Islam (Funston 1980: 119), Radikal Melayu (Stockwell : 130-145), Sayap Kiri (Saliha Hj. Hassan 1974: 1-5) dan tidak kurang juga dengan tuduhan bahawa beliau terpengaruh dengan komunis dan sosialis (Alias Mohamed 1982: 108). Namun begitu beliau tetap berjuang atas idealisme yang berlandaskan atas tiga dasar yang dibincangkan di atas tanpa menghiraukan lemparan gelaran-gelaran itu, walaupun ada setengahnya sinis, kecaman dan berbentuk provokasi.

KESIMPULAN

Dr Burhanuddin Al Helmi – Putera Besar Melayu Raya (Zabidin Hj. Ismail 1996: 20) ini disifatkan sebagai pejuang yang berdiri atas tiga teras utama, iaitu perjuangan mencapai kemerdekaan negara, Islam dan kebangsaan Melayu. Dalam bukunya Perjuangan Kita (1946), Dr Burhanuddin membayangkan pemikirannya berlandaskan kata masyhur Arab yang bermaksud: “Kasihkan watan itu daripada iman.” Berdasarkan kata-kata Arab inilah beliau mengungkapkan konsep pembinaan ummah serta pembentukan negara merdeka.

Jiwa keIslaman yang kental telah membentuk Dr Burhanuddin bersikap lemah lembut, paling sederhana dan merendah diri, disifatkan sebagai seorang pemikir politik Melayu yang berjaya mengsepadukan perjuangan politik Melayu dengan Islam. Baginya, memperjuangkan kebangsaan Melayu beerti memperjuangkan daulah Islam kerana dalam konteks Tanah Melayu, kekuatan Melayu akan membawa kepada kekuatan Islam.

Beliau juga seorang pemidato dan pengarang kitab Islam sentiasa memusatkan perhatian kepada perjuangan menegakkan syiar Islam di bumi Nusantara. Sepanjang hayatnya, Dr Burhanuddin tidak pernah berhenti memikirkan langkah untuk meletakkan Islam ke tahap tertinggi.

Dalam sebuah tulisannya beliau pernah bertanya: “Bagaimanakah kita dapat memulihkan kesakitan dan penderitaan bangsa kita? Dan bagaimanakah kita akan mengembalikan agama kita hingga Islam dapat berjalan menurut yang dikehendaki Allah, jika belum bebas merdeka dan berdaulat. Tentu tidak boleh , melainkan sudah bebas merdeka dan berdaulat.” Demikian rintihan hati seorang tokoh politik Melayu.


1 Tarikh ini dipetik dari Abdullah Hussain, “Burhanuddin al-Helmi, Pelapor Kebangkitan Semangat Kebangsaan Melayu”, Dewan Masyarakat, Nov. 1996. Tetapi menurut Ustaz Abd. Halim b. Hj. Mohd Nor adik kepada Dr Burhanuddin, tarikh sebenarnya ialah November, 1911 (Lihat Saliha Hj. Hassan, Dr Burhanuddin Al-Helmi, A Political Biography, B.A Graduation Exercise, University Malaya, 1972).

2 Isi kandungan akhbar ini merupakan peristiwa semasa yang berlaku di dalam dan di sekitar kampung Dr Burhanuddin. Berita yang tersiar ditulis sendiri dan diterbitkan hanya beberapa naskhah edaran untuk orang kampung atas pertolongan sahabatnya bernama Ahmad Nurdin. Lihat juga Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, DBP, Kuala Lumpur, hlm. 7)

3 Ulama yang berpendidikan dari Kaherah, Mesir. Mereka mengembangkan pemikiran moden dalam sistem agama dan dakwah Islam. Bagi mereka manusia bebas menggunakan akal untuk memahami kebenaran ajaran Islam dan mengajak umat Islam kembali kepada ajaran al-Quran dan Hadis.

4 Penulis memilih tahun berkenaan seperti yang dinyatakan oleh Kamarudin Jaffar 1980. Dr Burhanuddin Al HelmyPolitik Melayu dan Islam, Kuala Lumpur: Yayasan Anda Sdn. Bhd. hlm.4 dan W. Mohd Azam Mohd Amin, 1997. Antara Asabiyyah dan Nasionalisme Menurut Pandangan Dr Burhanuddin Al-Helmy. Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya hlm.59 daripada tahun 1935 sebagaimana dinyatakan oleh Saliha Hj. Hassan, 1997. “Dr Burhanuddin Al Helmi 1911-1969” dlm Abdullah Zakaria Ghazali dan Adnan Hj. Nawang. Biografi Tokoh Pilihan Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya hlm.23. Petikan ini berdasarkan keterangan Saliha Hj. Hassan (1997: 24) bahawa pada tahun 1936 Dr Burhanuddin dalam perjalanan pulang dari India dan meneruskan lawatan ke Asia Barat. Agak mustahil beliau berada di India hanya setahun dan menyelesaikan pengajian kedoktoran dalam tempoh yang begitu singkat.

5 Istilah Melayu Jati ini popular di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua untuk membezakan keturunan Melayu tulen dengan keturunan Melayu yang berdarah kacukan Arab, India dan lain-lain (Saliha Hj. Hassan 1997:46)

6 Gadis keturunan Belanda yang telah memeluk Islam setelah menjadi anak angkat kepada seorang wanita Islam di Singapura pada tahun 1942. Maria (nama Islamnya ialah Natrah atau Nadra) kemudian berkahwin dengan seorang Islan bernama Mansor Adabi. Tetapi pada tahun 1950 ibu bapa Natrah meminta Mahkamah Singapura mengembalikan hak ke atas Natrah kepada mereka. Setelah keputusan Mahkamah memihak kepada mereka, Natrah telah diKristiankan semula oleh keluarganya dan cuba dibawa ke Belanda, negara asal ibu bapanya. Jawatankuasa Bertindak Natrah menentang keputusan Mahkamah (yang dianggotai oleh Dr Burhanuddin). Peristiwa ini telah menjadi kemarahan orang Islam Singapura sehingga tercetusnya rusuhan hebat.

7 Denda yang dikenakan ke atas Dr Burhanuddin adalah satu taktik politik kerajaan Perikatan. Lihat Saliha Hj. Hassan 1974, Dr Burhanuddin Al-Helmi, A Biogarphy, B.A Graduation Exercise, Universiti Malaya hlm.50

oleh Zabidin Hj Ismail

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: