Posted by: zabidin | Mei 19, 2008

Pemikiran Zulkifli Muhammad dalam puisi


Pengenalan

Kajian ini khusus menilai pemikiran Zulkifli Muhammad (ZM) yang dilontarkan melalui puisi-puisi pilihan karya beliau yang termuat dalam buku keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertajuk Pemikiran Bahasa dan Sastera Zulkifli Muhammad dari Perspektif Islam (PBSZMdPI) buah tangan Talib Samat (2002). Pada umumnya, buku ini membicarakan ketokohan ZM sebagai intelektual Melayu yang telah menyumbangkan pemikiran positif dalam aspek perkembangan bahasa dan sastera nasional sewaktu hidupnya.

PBSZMdPI merupakan genre biografi, namun skop pembicaraannya tidak menyeluruh yang dapat menggambarkan kebolehan, kemahiran dan kepakaran tokoh kerana ZM bukan hanya berketrampilan dalam bidang bahasa dan sastera tetapi melepasi batasan kesusasteraan itu sendiri seperti bidang politik, perjuangan kebangsaan, penulisan, keagamaan serta pengucapan awam.

Namun hal ini bukanlah menonjolkan kelemahan dan kekurangan sebaliknya pengarang PBSZMdPI berhasrat untuk mempamerkan ketokohan ZM dalam bidang bahasa dan sastera yang sememangnya telah banyak berjasa dalam melakar sejarah perkembangan kedua-dua bidang tersebut di negara ini.

ZM sebenarnya memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk persuratan. Malah bidang penulisan yang diceburi ZM tidak hanya tertumpu terhadap genre kesusasteraan; puisi semata-mata tetapi melebar kepada penulisan buku bercorak agama antaranya; Masyarakat dan Syariat (1953), Pegangan Hidup Umat Islam (1963) dan Analisa Tentang Beberapa Masalah Hidup Manusia (1968) di samping menulis esei untuk majalah dan akhbar yang mengupas pelbagai isu dan persoalan masyarakat Melayu di zaman beliau.

Justeru bertolak dari kandungan PBSZMdPI yang melampirkan sebanyak 13 kuntum puisi karya ZM<!–[if !supportFootnotes]–>[1]<!–[endif]–> yang pernah tersiar dalam beberapa media cetak sekitar tahun 1946 – 1961 telah merangsang penulis untuk menyelongkar pemikiran beliau yang terungkap daripada puisi-puisi berkenaan.

Faktor ini didorong juga oleh tanggapan Robert C. Pooley yang menyifatkan bahawa;

Orang yang menutup telinga terhadap puisi akan terpencil dari suatu wilayah yang penuh harta kekayaan berupa pengertian manusia, pandangan perseorangan, sensitiviti yang menonjol; oleh itu, upaya yang dituntut untuk memahami serta menghayati puisi menjadi sama pentingnya dengan upaya yang dituntut oleh setiap bentuk kehidupan manusiawi lainnya (1984:2).

 

 

Kerana ZM juga merupakan seorang pemikir bangsa, justeru saluran pemikiran itu barangkali telah “dialirkan” melalui puisi-puisinya; sesuai apa yang diutarakan oleh H.B. Jassin, seorang peneliti dan pengkritik kesusasteraan Indonesia yang menafsirkan erti sekuntum puisi seperti berikut:

 

Puisi adalah pengucapan dengan perasaan yang didalamnya mengandungi fikiran-fikiran dan tanggapan-tanggapan (1953:66)

 

Pemikiran yang bagaimana? Tentu sekali pemikiran positif yang mencerminkan ketokohan ZM sama ada sebagai seorang intelek atau pejuang kemerdekaan negara yang lahir daripada sikap dan tekad perjuangan yang terpancar daripada kalbu seseorang penyair.

 

Teori dan Kaedah

Pembicaraan tentang pemikiran yang terkandung dalam puisi-puisi ZM bererti membicara dan menilai dunia pengalaman beliau di luar teks genre sastera itu. Ada hubungan simbiosis antara penyair dengan karya atau antara teks kajian dengan teks sosial. Ini bermakna bagi memahami pemikiran ZM dalam sampel kajian, satu kerangka pengetahuan yang bersifat teori dijadikan landasan bagi mengenalpasti pemikiran beliau sebagai pembuktian bersifat teoretik dan normatif<!–[if !supportFootnotes]–>[2]<!–[endif]–>.

Kerangka pengetahuan yang dimaksudkan ialah teori sastera budaya atau cultural studies theory yang relevan dengan skop kajian kerana teori tersebut berupaya dieksploit untuk melihat hubungan antara teks, pengarang / pembaca dengan budaya seperti mana yang diutarakan Alan Sinfield bahawa teori ini mengkaji segala tindakan manusia memasuki dan membentuk masyarakatnya (1992:291) dengan menganalisis teks daripada pelbagai aspek tetapi ia lebih menjurus kepada budaya dan sosial.

Sebagai teori kontekstual, ia sangat mementingkan fungsi karya dan hubungan dengan khalayaknya yang menekankan terhadap penilaian sudut budaya menerusi kaedah semiotik dan intertekstualiti. Justeru menurut Alan Sinfield teori ini meminjam kaedah semiotik yang cuba mencari makna yang tersembunyi di sebalik pertandaannya. Begitu juga dalam mencari makna yang dikaitkan dengan intertekstualiti dinyatakan: … a correlation between text and the world or text and subject or figurative texts of inherently legible discourse that define our culture (1994:117). Ini boleh disimpulkan teori sastera budaya telah membuka kepada kajian budaya yang lebih mendalam, menyeluruh dan sistematik terhadap teks sastera (Mana Sikana, 2005:443).

Kerangka penyelidikan yang berlandaskan teori sastera budaya dengan menggunakan pendekatan atau kaedah semiotik dan intertektualiti merupakan instrumen penting dan tepat bagi menilai pemikiran ZM tentang pelbagai isu dan persoalan yang berhubung dengan budaya masyarakatnya.

 

Mengenal Zulkifli Muhammad

 

Tanggal 6 Mei 2006 ini genaplah 42 tahun gemulah Prof. ZM bersemadi di alam barzakh setelah pada tahun 1964 allahyarham bersama isterinya Ustazah Asiah Kamaruddin terbunuh dalam satu nahas jalanraya di Kuantan, Pahang.

Seorang yang bergelar ulama, penulis, pemikir, politikus dan pejuang Islam tulen malah melebar pula sebagai penyair adalah tokoh yang sukar ditandingi dalam banyak hal meskipun hayatnya begitu singkat sekali. Selaku penyair, ZM menulis di akhbar dan majalah seperti Majlis, Utusan Melayu, Medan Masyarakat dan Kencana. Seangkatan dengan Tongkat Warrant, Burhan Md. Yaman, A. Samad Said, Mariam Abdul Ghani, Siti Aishah dan beberapa lagi, ZM menggarap puisinya dengan tema gerakan kebangsaan menuntut kemerdekaan selain keagamaan. Beliau menyampaikan fikirannya kepada masyarakat menerusi puisi selain daripada pidato mahupun penulisan buku.

Dilahirkan pada 22 Mac 1927 sebagai anak kedua daripada 10 adik beradik di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak. Bapanya Muhammad Arshad, seorang kerani besar Rumah Sakit Umum, Kuala Kangsar manakala ibunya bernama Hajjah Arbiah. Ketika berusia dua tahun, ZM diserang penyakit polio hingga menyebabkan sebelah tangan dan kakinya lumpuh. Namun kecacatan itu tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya dalam bidang pelajaran.

Dia mula bersekolah ketika berusia empat tahun enam bulan. Setelah tamat darjah lima (darjah tertinggi sekolah Melayu ketika itu), ZM melanjutkan pelajaran ke sekolah agama rakyat di Madrasah Aziziah, Parit hingga tahun 1937.

Menurut Mokhtar Petah dalam bukunya bertajuk Zulkifli Muhammad : Pelopor Angkatan Islam di Malaysia, kegeligaan dan kecerdasan allahyarham terus diperlihatkan ketika menuntut di Madrasah Aziziah;

 

Dalam sekolah agama itu, Zulkifli salah seorang pelajar pintar dan dia boleh bertutur bahasa Arab dengan baik. Kerana kepintarannya, kawan-kawan sedarjahnya selalu meminta tunjuk ajar segala matapelajaran yang mereka tidak faham.” (hal. 7-8).

 

Apabila mudir Maahad Al-Ehya Al-Syarif, Gunung Semanggol, Sheikh Abu Bakar Al-Bakir bercadang membuka kelas tinggi Islam (al-aliah) pada tahun 1947 dan mempelawa pelajar seluruh negara menyertainya, ZM berjaya dalam ujian kelayakan. Oleh kerana dia seorang sahaja yang lulus ujian itu, kelas tersebut dibatalkan kerana bilangan murid tidak mencukupi.

Kerana suratan takdir itu, dia berguru pula dengan Mufti Kerajaan Perak di Simpang Penaga bernama Ismail Hamzah, yang kemudiannya menasihatkan ZM melanjutkan pelajaran ke Mesir. Di Mesir dia memasuki fakulti undang-undang Universiti Al-azhar pada tahun 1947. Ketika di sana dia pernah menjadi Yang Dipertua Persekutuan Putera-putera Semenanjung Mesir di samping menjadi pegawai Kesatuan Pelajar-pelajar Melayu dan Indonesia. Ini memberi kesempatan kepadanya berdamping rapat dengan ramai pelajar Asia Tengah.

Malang menimpa ZM di Mesir, pada tahun 1950 dia terpaksa pulang ke tanah air kerana mengidap sakit buah pinggang. Namun, sebelum kembali ke kampungnya dia sempat memasuki fakulti pendidikan di Universiti Amerika, Kaherah. Namun begitu, tiada sekeping ijazah pun yang dapat dibawanya pulang.

Sekembali di tanah air, dia turut bersama-sama Aminuddin Baki (Bapa Pendidikan Moden Malaysia), menggerakkan Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sekitar tahun 1952 dan pernah menjadi Naib Yang Dipertua badan pelajar itu.

Kegiatan politik partisan bermula ketika menyertai UMNO pimpinan Dato’ Onn Jaafar. Menerusi parti itu, dia bersama ramai pejuang kebangsaan menentang gagasan Malayan Union (MU) tajaan Inggeris. Dalam UMNO, beliau pernah ditawarkan jawatan Setiausaha Agung peringkat pusat tetapi enggan, sebaliknya ZM meninggalkan UMNO setelah Parti Islam Semenanjung Tanah Melayu (PAS) ditubuhkan.

ZM sebetulnya mempunyai minat dan kecenderungan memperbaiki nasib bangsa Melayu dan pernah menceburkan diri dan bergerak cergas dalam Gerakan Perikatan Pemuda Melayu Perak sekitar tahun 50an. Antara kata-kata nasihat kepada bangsanya: “Kalau bangsa Melayu tidak menyedari hakikat perjuangan, dalam masa yang tidak lama lagi bangsa Melayu akan tenggelam dalam gelombang bangsa yang menumpang.”

Kemuncak kerjaya politiknya apabila ia dipilih sebagai Ahli Parlimen Bachok, Kelantan atas tiket PAS dalam Pilihanraya Umum tahun 1959.

Walaupun bergelar politikus, semangat keIslaman tidak pernah luntur bahkan kian menebal di jiwa ZM. Ini terbukti, usahanya mengasaskan Kolej Islam di Johor Bahru. Apabila kolej itu berpindah ke Kelang, Selangor pada tahun 1955, dua tahun kemudian dia dilantik menjadi pensyarah Kesusasteraan Melayu, Perundangan, Tata Negara dan Kesusasteraan Arab.

ZM turut menyumbangkan buah fikiran dalam penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang tercetus ketika Kongres Kesusasteraan dan Bahasa Melayu (Khadijah Mohd. Hambali, 1990:138). Dia juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Universiti Malaya bagi penggal tahun 1960-61.

ZM amat aktif di bidang penulisan, pendidikan, politik dan keagamaan. Beliau juga tersohor sebagai pemidato yang tiada tolok banding di zamannya<!–[if !supportFootnotes]–>[3]<!–[endif]–>, kerana kebolehan yang kepelbagaian itu, beliau dianggap sebagai mahaguru (profesor). Asas inilah yang mendorong Universiti Saweregading, Jakarta, Indonesia menganugerahi beliau Profesor Kehormat pada 15 Julai 1957.

Kemudian pada tahun 1963, Universiti Islam Sumatera Utara, Medan, Indonesia pula menganugerahkan Doktor Kehormat setelah tesis beliau bertajuk Analisa Tentang Beberapa Masalah Hidup Manusia diperdebatkan oleh Lembaga Senat Universiti tersebut.

ZM sewaktu mudanya dikenali seorang pemuda alim dan progresif, berpegang kuat kepada al-Quran dan Hadis serta ajaran Islam itu telah menerima pengiktirafan mantan Menteri Luar Indonesia, Haji Agoes Salim dengan menyifatkan beliau putera Semenanjung Tanah Melayu yang akan menjadi tokoh setanding dengan pujangga Pakistan, Iqbal. Namun dia belumpun sempat menjadi Iqbal terlebih dahulu pergi ke alam baqa sewaktu berusia 37 tahun tetapi dua bulan selepas kematian beliau, Sultan Kelantan menganugerahkan pula darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato’ iaitu pada 11 Julai 1964.

Analisis Pemikiran ZM dalam Puisi

 

ZM hanya sempat menulis 13 kuntum puisi sepanjang hayatnya. Kesemua puisi tersebut dirakam kembali dalam PBSZMdPI (2002:171-184) yang sebelumnya pernah tersiar dalam beberapa media cetak seperti jadual 1 di bawah ini:

Jadual 1: Senarai Puisi-puisi Zulkifli Muhammad

Bil

Tajuk

Tarikh Siaran /Media

1

2

3

4

5

6

7

8

9

 

10

11

12

13

Alangkah Indahnya

Seruan Pemuda

Edaran Dunia

Zaman yang Kurindui

Oh Penuntut

Tahun Baharu

Watanku Indah

Penderitaan Kita

Jasamu Oh Guru

 

Bangunlah

Derita

Aku Merintih

Aku Hamba Tuhanku

26 Ogos 1946: Majlis

6 Sept 1946: Majlis

10 Sept 1946: Majlis

Dis.1946: Medan Masyarakat

14 Dis 1946: Majlis

Januari 1947: Medan Masyarakat

Februari 1947: Medan Masyarakat

Mac 1947: Medan Masyarakat

(?): 1947 (sumber: Gema Suci (1975)

(?): 1947 (sumber: Gema Suci (1975)

Julai 1956 : Bingkisan LEPAS

13 Jun 1959: Utusan Melayu

27 Mac 1961: Berita Minggu

 

Meskipun menghasilkan sebanyak 13 kuntum puisi, ZM beruntung kerana berjaya menempatkan nama dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden di negara ini kerana antara karyanya dimuatkan dalam beberapa kumpulan puisi seperti Gema Suci (1975), Puisi-puisi Kebangsaan 1913-1957 (1988) dan Mengenang-Mu (1989). Justeru kajian ini tidak akan menilai ketokohan ZM sebagai penyair sebaliknya cuba menyelongkar khazanah pemikiran beliau yang disampaikan menerusi unsur-unsur instrinsik manipulatif yang dapat membentuk mesej atau falsafah sekaligus dikaitkan dengan budaya yang dialami penyair di luar teks.

Kajian mendapati bahawa dua aspek mesej iaitu nasionalisme dan Islam menunjangi corpus pemikiran yang dirakamkan dalam puisi-puisinya.

 

<!–[if !supportLists]–>i) <!–[endif]–>Nasionalisme

Nasionalisme menurut Hans Kohn dalam The Idea of Nationalisme (1969:19) merujuk sebagai satu pemikiran kenegaraan yang melibatkan majoriti penduduk yang mengenali negara bangsa mereka sebagai satu bentuk organisasi politik demi membentuk kesetiaan jitu warga terhadap negaranya. Bagi pemikiran yang berkait dengan nasionalisme itu dapat dilihat dalam puisi berikut:

 

Bangunlah putera-puteri serentak memalu tambur

menyedarkan bangsa melaksanakan cinta murni luhur

membela agama bangsa nusa kampung halaman

sedarah daging senasib untung handai dan teman

bersatu daya berpadu tenaga memutus ikatan

mengubah nasib ‘azab penderitaan’

 

(Penderitaan kita:Medan Masyarakat: Mac 1947)

 

ZM mengajak masyarakatnya membela nusa kerana Tanah Melayu (kini: Malaysia) ketika itu di zaman penjajahan Inggeris. Apatah lagi gagasan MU diperkenalkan pada tahun 1946 ingin menjadikan Tanah Melayu sebagai crown colony bagi Inggeris. Gerakan menentang MU yang diketuai Dato’ Onn Jaafar turut disertai ZM. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) (1945) dan UMNO (1946) telah ditubuhkan bertujuan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Gelora menuntut kemerdekaan kian memuncak. Gesaan supaya bersatu tenaga membebaskan nusa daripada penjajahan merupakan mesej ZM dalam puisi ini.

Walaupun gerakan kebangsaan sudah menebal di jiwa bangsa Melayu tetapi ZM masih tegar meniupkan semangat nasionalisme demi mengotakan cita-cita pembebasan dan kemerdekaan watan. Menerusi Tahun Baharu (Medan Masyarakat: Januari 1947) ZM mengungkapkan mesej nasionalismenya;

Oh…angkatan baharu

Dengan semboyan genderang

Alamat “Tahun Baharu” menjelang

Bangunlah bergerak maju

Tampil ke muka berjuang

Sepanjang Tahun Baharu gemilang

 

 

Tumpuan ZM kepada generasi muda agar mereka kuat semangat bagi meneruskan perjuangan; “sekarang susunlah barisan dinda / membantu beta berjuang mara / bersama-sama menuju bahagia / membela bonda dari dinoda” (Seruan Pemuda; Majlis, 6 September 1946). ZM memiliki semangat kebangsaan yang kental dan dibuktikan dalam salah satu ucapannya;

Kalau kita masih mahu bertolak ansur dan mahu tunduk kepada penjajah dan mahu menerima perjanjian ini (MU) sudah barang tentu bangsa Melayu hanyut tinggal satu kaum sahaja… kita rakyat Melayu tidak rela diperbudak-budakkan selama, dan tibalah masanya kita bangun menentang (Mokhtar Petah: 28)

 

Dalam persoalan kemajuan Melayu, ZM meneliti peredaran dunia dengan mata hati dan lantas merenungi bangsanya yang masih asyik mengepung angan-angan sedangkan masa bergerak pantas. Baginya masa itu emas. Melayu perlu mengejar masa dan merebut nikmat Tuhan untuk kebahagian dunia dan akhirat. Lihat puisinya bertajuk Edaran Dunia yang membimbangkan ZM terhadap kealpaan bangsanya;

Tetapi kenapa?

bangsaku menonton dia

laksana bayang-bayangan

tak memberi kesan pengajar!

mereka asyik ria

dilambung angan-angan

 

(Majlis, 10 Sept.1946)

 

Pemikiran ZM yang menjurus terhadap aspek nasionalisme begitu dominan di dalam puisi-puisi beliau. Kajian berhasil menemukan 9 puisi iaitu Alangkah Indahnya, Seruan Pemuda, Edaran Dunia, Zaman yang Kurindui, Oh Penuntut, Tahun Baharu, Watanku Indah, Penderitaan Kita dan Bangunlah yang membawa mesej nasionalisme.

 

ii) Islam

Falsafah perjuangan ZM ialah menegakkan pemerintahan Islam di Tanah Melayu. Katanya; “di dalam perjuangan saya, dan sekarang ini dalam PAS, kalah menang dalam pilihanraya nanti bukan soal saya, yang saya mesti sedar sebelum saya meninggal dunia ini ialah saya mahu menjalankan kerja-kerja Allah s.w.t” (Suara Islam, Dis 1961). Kenyataan demikian menggambarkan betapa ZM amat mencintai Islam. Kecintaan ini dirakamkan dalam beberapa kuntum puisinya. Lihat Aku Merintih dengan penuh keinsafan dia menyuarakan kepiluannya kerana ajaran Islam telah mula “ditinggalkan” oleh umatnya:

Ini umatmu, bercukup dengan rumah ibadat

dengan riuh bacaan, dengan teriak suara semata

lupa pada amal, pada kerja mencipta

inilah umatmu, hina berbungkar kesatuan pengikat

aduh aku merintih padamu Nabi…

bila Quran kembali digunakan di hayat kami?

 

(Utusan Melayu, 13 Jun 1959)

 

Pemikiran reformis ZM dalam Islam memang diperakui. Beliau menolak pemikiran yang berasaskan Barat seperti pendapat Darwin, Marx, Comte dan Aristotle. Dalam bidang falsafah, ZM lebih suka menekankan kepada tiga aspek iaitu Tuhan, alam dan manusia. Justeru tujuan hidup manusia menurut Islam semata-mata adalah untuk menyembah Allah s.w.t dan untuk pengertian itu, ZM bermadah begini:

Aku datang, aku mengerang, aku pulang

kerana-Nya dan untuk-Nya

 

(Aku Hamba Tuhanku, Berita Minggu, 27 Mac 1961)

 

 

Bagi ZM, Islam memiliki unsur-unsur keadilan, kesejahteraan, kebahagian, kebijaksanaan dan pemeliharaan kepentingan umat manusia yang Islam dan yang bukan Islam. Ia menjadi rahmat kepada sekelian alam. ZM menjelaskan falsafah perjuangannya seperti berikut:

Matlamat perjuangan kita telah tidak asing lagi ialah kepada masyarakat, iaitu menegakkan sebuah negara yang menjalankan hukum-hukum Allah dan Rasul di dalam negeri dan berusaha bagi mengembalikan hak-hak kebangsaan Melayu sebagai tuan punya tanah air ini..”

 

 

Kenyataan di atas mencerminkan sikapnya terhadap Islam dan tanggungjawabnya kepada nusa bangsa. Falsafah perjuangan itulah yang digarap dalam beberapa buah puisinya. Justeru kajian mendapati hanya tiga buah puisinya iaitu Derita, Aku Merintih dan Aku Hamba Tuhanku yang tepu dengan mesej keIslaman. Pemikiran Islam dalam puisi-puisi ZM dapat menggambarkan kewujudan pelbagai isu dan persoalan keagamaan yang melanda umat Islam ketika itu.

 

Penutup

Kajian terhadap buku PBSZMdPI berjaya menemukan pemikiran ZM dalam puisi-puisinya yang menjurus kepada aspek nasionalisme dan Islam yang selari dengan perjuangannya di luar teks kajian. Jadual 2 di bawah ini mencerakinkan kandungan aspek pemikiran di dalam puisi-puisi ZM yang memperlihatkan bahawa mesej nasionalisme mendominasi karyanya berbanding keIslaman.

 

Jadual 2: Kadungan Aspek Pemikiran

dalam Puisi-puisi Zulkifli Muhammad

Bil

Tajuk

Aspek Pemikiran

 

1

2

3

4

5

6

7

8

9

10

11

12

13

 

Alangkah Indahnya

Seruan Pemuda

Edaran Dunia

Zaman yang Kurindui

Oh Penuntut

Tahun Baharu

Watanku Indah

Penderitaan Kita

Jasamu Oh Guru

Bangunlah

Derita

Aku Merintih

Aku Hamba Tuhanku

 

Nasionalisme

Nasionalisme

Nasionalisme

Nasionalisme

Nasionalisme

Nasionalisme Nasionalisme

Nasionalisme

-

Nasionalisme

 

 

 

 

 

 

 

 

 

-

 

Islam

Islam

Islam

 

 

Aspek nasionalisme yang agak dominan dalam puisi-puisi ZM adalah disebabkan suasana persekitaran ketika itu – negara masih dibelenggu penjajahan dan mendorong beliau menulis tentang isu yang berhubung kait dengan semangat kebangsaan, gerakan membebaskan tanah air daripada penjajahan serta patriotisme. Sebabnya puisi diyakini mampu menyampaikan mesej secara halus dan membekas di kalbu pembaca. -zabidin hj ismail

Nota Hujung

[1]<!–[endif]–> Puisi-puisi tersebut kemudiannya dibukukan dalam antologi Gema Suci (1975), Puisi-puisi Kebangsaan 1913-1957 (1988) dan Mengenang-Mu (1989)

<!–[if !supportFootnotes]–>[2]<!–[endif]–> Teoretik dan normatif di sini bermaksud pendirian atau kesimpulan yang tidak semestinya berdasarkan kepada fakta atau data yang diperolehi secara sistematik dan objektif, sebaliknya ia didasarkan kepada keyakinan dan kepercayaan tentang apa yang ditanggapi sebagai benar.

<!–[if !supportFootnotes]–>[3]<!–[endif]–> Beliau pernah mencipta sejarah penting apabila berucap lebih empat jam di Parlimen sewaktu membahaskan Malaysian Bill mengenai pembentukan Negara Malaysia pada 19 Ogos 1963. Keistimewaan pidato ZM bukan hanya terletak pada isi pengucapannya, dan gaya retorik deliberatif yang tersendiri, tetapi juga meliputi ciri-ciri pemikiran, falsafah dan pandangan hidup beliau yang disampaikan dengan seni bahasa dan nilai sastera yang indah. Keindahan bahasa yang digunakan sewaktu berpidato dan berucap tentunya hasil daripada pembacaan luas, kefahaman serta penguasaan bahasa Melayu yang bermutu (Talib Samat 2002:158).

Rujukan

Chamber, Iain (1994). Migrancy, Culture, Indentity. London: Routledge

H.B Jassin (1953). Tifa Penyair dan Daerahnya. Jakarta: Gunung Agung

Han Kohn (1969). The Idea of Nationalisme. Ontario, Canada: The Macmillan Company

Henry Guntur Tarigan (1984). Prinsip-prinsip Dasar Sastera. Bandung: Penerbit Angkasa

Khadijah Mohd Hambali (1990). Pengaruh Al-Azhar Terhadap Perkembangan Pendidikan Islam di Malaysia (Latihan Ilmiah B.A Hons ) Fakulti Usuluddin, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Mana Sikana (2005). Teori Sastera Kontemporari. Bandar Baru Bangi: Penerbit Pustaka Karya

Mokhtar Petah (1983). Zulkifli Muhammad: Pelopor Angkatan Islam Malaysia. Subang Jaya : Tra-tra Publishing & Trading Co.

Sinfield Alan (1992). “Art as Cultural Production”. Dlm. Wolfreys, Julian (ed), Literary Theories. Edinburgh: Edinburgh University Press

Talib Samat (2002). Pemikiran Bahasa dan Sastera Zulkifli Muhammad dari Perspektif Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Zabidin Haji Ismail. “Mengingati Gemulah Zulkifli Muhammad” dlm. Berita Harian, 17 Mei 1993

Zulkifli Muhammad (1968). Analisa Tentang Beberapa Masalah Hidup Manusia. Pulau Pinang: Pustaka H.Abdullah B.M Nordin Arrawi

_______

*Makalah ini dibentangkan dalam Majlis Bicara Karya Sastera Penulis Perak di Dewan Tun Hamdan, Sekolah Menengah Kebangsaan, Clifford, Kuala Kangsar, Perak pada 25 April 2006 jam 8.30 pagi yang dianjurkan oleh Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dengan kerjasama DBP Wilayah Utara, Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dan SMK Clifford, Kuala Kangsar, Perak.

 

 

 

 

zi/seminar Bkarya Pk/(C)/19.4.06

<!–[if !supportFootnotes]–>

<!–[endif]–>

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: